Tolong Baca! Dr Safiya Dedah Implikasi Pergerakan Anak Kecil, Tingkat Risiko Penyebaran COVID-19

Bukan ibu bapa saja sibuk memulakan rutin hidup norma baharu, golongan kanak-kanak juga tidak terkecuali bakal back-to-school tak lama lagi.

Meskipun kita tawakal dengan SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), tapi bimbang juga dengan risiko penyebaran virus COVID-19 di kalangan anak kecil.

Hal ini turut disuarakan oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan UniSZA, Dr Safiya Amaran. Sebagai ibu, Nona berkongsi kupasan beliau tentang isu kecil yang boleh menjadi gelombang besar jika tidak dikawal itu.

Dr Safiya Amaran

Jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak agak unik.

Masa awal pandemik dulu, ramai ingat kanak-kanak tidak kena jangkitan Coronavirus macam orang dewasa dan warga emas.

Malah, ada yang jangkakan kanak-kanak ada daya tahan dan imunisasi tersendiri terhadap jangkitan ini. Bukan apa, memang jarang sekali kanak-kanak dibawa ke klinik sebab nak test COVID-19.

Mereka tidak alami apa-apa gejala dan kalau ada kes positif pun, hanya tahu lepas buat contact tracing.

Menurut Profesor Dr Andrew Pollard, iaitu profesor dalam bidang jangkitan dan imuniti pediatrik, Universiti Oxford (Sinha et al., 2020), gejala yang dialami kanak-kanak adalah jauh lebih ringan berbanding orang dewasa dan warga emas.

Tahukah kita, kebanyakan kanak-kanak ini (yang bergejala COVID-19) cuma alami demam, batuk, hidung tersumbat, selsema dan sakit tekak.

Sama macam jangkitan lain?

Ya, sama sahaja! Tak nampak beza yang ketara.

Kenapa kanak-kanak kurang mengalami komplikasi COVID-19?

Sebenarnya memang ada kanak-kanak yang alami komplikasi akibat COVID-19 tetapi tidak ramai, sikit sangat. Menurut kajian oleh Sinha et al. (2020), ada beberapa penjelasan yang boleh diberikan berkenaan keadaan ini.

PERTAMA, SARS-CoV-2 perlukan protein di permukaan luar sel saluran pernafasan untuk ia masuk ke dalam sel badan kita. Protein ini namanya Angiotensin Converting Enzyme II (ACE-2) receptor.

Bagi kanak-kanak, bilangan protein ini ada sikit sahaja di bahagian paru-paru, sebaliknya lebih banyak di bahagian rongga pernafasan atas, iaitu mulut dan hidung.

Ini mungkin sebab kenapa gejala COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak adalah lebih kepada demam, batuk, selesema dan sakit tekak manakala dalam kalangan dewasa dan warga emas lebih kepada jangkitan kuman paru-paru dan sindrom akut kegagalan pernafasan.

KEDUA, kanak-kanak di taska, tadika atau sekolah sudah biasa terdedah kepada jangkitan kuman di saluran pernafasan.

Mereka mungkin sudah terdedah kepada jangkitan empat jenis Coronavirus yang lain seperti 229E (alpha coronavirus), NL63 (alpha coronavirus), OC43 (beta coronavirus) dan HKU1 (beta coronavirus).

Empat jenis Coronavirus ni tidak bahaya, malah memang biasa menjangkiti manusia dan tidak menyebabkan jangkitan yang teruk.

Pendedahan dengan keluarga Coronavirus yang lain mungkin menyebabkan daya imunisasi kanak-kanak terhadap jangkitan SARS-CoV-2 adalah lebih tinggi berbanding dengan golongan dewasa dan warga emas.

KETIGA, cytokine storm.

Cytokine storm ni adalah satu tindak balas dari sistem imunisasi badan kita untuk melawan SARS-CoV-2. Tapi dalam usaha nak serang SARS-CoV-2, cytokine storm ini juga boleh pergi serang badan sendiri dan mengakibatkan kerosakan organ badan yang terlibat!

Kalau bandingkan dengan orang dewasa, kanak-kanak ni sistem imunisasi badan mereka tak berapa matang dan sebab tu mungkin belum mampu untuk hasilkan cytokine storm untuk lawan SARS-CoV-2.

Jadi inilah tiga sebab kenapa gejala untuk kanak-kanak jauh lebih ringan berbanding orang dewasa.

Majalah Pa&Ma

Bolehkah kanak-kanak menjangkiti orang lain?

Ini soalan paling kritikal. Ramai nak tahu ni.

Kajian menunjukkan walaupun kanak-kanak tidak mengalami apa-apa gejala atau cuma mempunyai gejala ringan, mereka mampu menjangkiti orang lain di sekitar mereka, sama seperti orang yang mempunyai gejala yang teruk.

KANAK-KANAK PENYEBAR SENYAP

Apabila mereka tak ada gejala, ini yang buat penyakit ini boleh tersebar dengan cepat tanpa disedari (Sinha et al., 2020). Malahan kanak-kanak berpotensi menjadi penyebar senyap yang merbahaya dalam komuniti kerana orang tidak menyangka mereka sebenarnya pembawa virus SARS-CoV-2.

Oleh itu, ibu bapa janganlah bawa anak-anak ke tempat awam dan KENA ELAKKAN percampuran sesama kanak-kanak dan juga dengan orang tua.

Kesimpulannya golongan kanak-kanak pun berisiko untuk dapat penyakit COVID-19 sepertimana golongan dewasa.

Walaupun golongan kanak-kanak ni kurang berisiko untuk dapat komplikasi yang teruk tetapi mereka juga perlu dilindungi, terutama sekali kanak-kanak yang tidak mempunyai tahap kesihatan yang optima.

Bukan banyak, tapi hanya dua harapan saya…

  • Lindungi kanak-kanak.
  • Lindungi orang tua.

Kedua-duanya perlu kita lindungi sama-sama! Kredit: Facebook (Dr Safiya Amaran)

Share
Published by
Norzalina