Terkenal dengan imej seksi dan menggoda, pelakon Bollywood, Kareena Kapoor telah membuka lembaran baharu dalam sejarah hidupnya apabila terbuka pintu hati untuk mewujudkan akaun Instagram peribadi miliknya.
Lebih mengujakan adik kepada Karisma Kapoor ini apabila hanya tiga hari kewujudan akaun atas nama @kareenakapoorkhan sudah pun memiliki 1.5 juta (ketika artikel ini ditulis) pengikut dan mendapat pengesahan ‘blue tick’ dari Instagram.
Sudah pasti peminat Kareena Kapoor adalah orang yang paling teruja kerana berpeluang melihat sendiri sisi peribadi pelakon kesayangan mereka ini bersama suami tercinta, Saif Ali Khan dan anak mereka Taimur.
Baru-baru ini dalam sebuah program bual bicara kelolaan Kareena Kapoor, Dabur Amla What Women Want, pelakon filem Kabhi Khushi Kabhie Gham ini telah menjemput anak tirinya, Sara Ali Khan sebagai tetamu jemputan. Sara Ali Khan adalah anak kepada suaminya daripada hasil perkahwinan terdahulu bersama Amrita Singh.
Apa yang menariknya apabila Sara Ali Khan mengatakan bahawa dirinya merupakan peminat setia kepada Kareena Kapoor walaupun sebelum bapanya mengahwini wanita itu.
“Saya kagum dengan Kareena Kapoor dan hasil kerjanya. Beliau sangat profesional dan selalu beri yang terbaik dalam bekerja. Gaya Karena bekerja telah menyuntik inspirasi kepada saya untuk berjaya sepertinya,” kata Sara Ali Khan yang sudah mula menjinakkan diri dalam industri perfileman Bollywood.
Sedar tak sedar rupa-rupanya Kareena kini hampir mencecah usia ke 40 tahun. Namun Kareena masih kelihatan awet muda, kulitnya juga masih cantik dan anjal persis seorang wanita berusia 20-an. Agaknya apalah rahsia Kareena yang boleh diinspirasikan? Adakah dengan statusnya yang bergelar artis tersohor maka dia sanggup melaburkan wang yang banyak untuk rawatan kecantikan?
“Saya kurang gemar membeli barangan kosmetik yang mahal mahupun melakukan sesuatu yang berlebihan pada kulit. Ia antara aset penting yang perlu diberi penjagaan yang rapi dan betul,” kongsi Kareena.
Di samping itu, rahsia Kareena kekal menawan pada usia 40 tahun adalah kerana dia turut mengamalkan rutin diet secara konsisten biarpun sudah bergelar isteri dan ibu.
“Bagi saya semua ini berkat usaha diet yang saya amalkan di samping meminum banyak air kosong. Selain itu, saya turut mendisiplinkan diri dengan membersihkan kulit wajah dengan air suam pada setiap hari. Apa pun saya sangat bersyukur dikurniakan kulit yang sihat dan cantik kerana ibu saya juga memiliki kulit yang luar biasa cantiknya,” ungkap Kareena.
Kecantikan seseorang bukan hanya perlu dirawat dari luar sahaja malah perlu meminum air kosong yang banyak seperti yang diamalkan oleh Kareena kerana ia bukan sekadar mampu menjadikan kulit kekal cantik dan bersih bahkan bebas daripada kedutan kerana air membantu melembapkan kulit.
This website uses cookies.