Tragedi 6 anggota bomba lemas ketika operasi menyelamat remaja Mohd Ilham Fahmi Mohd Azzam, 17, di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, masih segar dalam ingatan semua.
Salah seorang yang terkorban adalah Adnan Othman, 34 tahun. Bertanya khabar tentang isteri yang ditinggalkan oleh anggota bomba ini begitu menyentuh hati.
Shahmiza Salleh, walaupun sedia maklum tentang tugas suami sebagai Pegawai Bomba yang sentiasa menempuh bahaya tetapi tidak menyangka sepantas ini suaminya pergi meninggalkan buat selama-lamanya ke negara abadi.
Kehadiran Ramadan tanpa suami di sisi buat pertama kali bukan seperti selalu menyuntik dimensi yang asing buat wanita yang lebih mesra disapa Miza ini. Meskipun cuba membina kekuatan dan menyembunyi segala kepedihan sesekali roboh juga benteng yang cuba dibinanya.
Saat bertanyakan tentang persiapan ibu kepada dua orang anak perempuan ini menyambut Ramadan, Miza terdiam, memejam mata sambil menghela nafas yang panjang sebelum menjawab persoalan yang diajukan kepadanya. “Cakap pasal bulan puasa pun sudah mengundang rasa sayu dan sebak sebenarnya.
Aktiviti yang paling dirindui ketika bulan puasa sudah pasti ketika berbuka puasa bersama-sama dan makan sahur bersama-sama. Sebab biasanya setiap kali kedatangan Ramadan kami berdua akan merancang bagaimana untuk menyambut puasa bersama-sama. Tidaklah merancang begitu dan begini tetapi sekadar rancangan untuk menyediakan juadah berbuka puasa dan bersahur.
Seperti selalu, saya sering mendahulukan selera arwah. Seperti orang lain tika hari pertama berbuka saya masak sedikit istimewa. Tahun lepas, puasa pertama arwah minta saya masakkan Butter Prawn. Walaupun saya tidak begitu mahir masak resipi tersebut tetapi bila tengok cara-cara memasaknya, saya cuba sebaik mungkin. Nasib baik menjadi,” terlerai tawa dari mulut Miza bagai menyembunyikan gelora dijiwanya.
Ads
Walaupun jelas kelihatan rindu masih bertamu di hati wanita yang bertugas sebagai Pengajar di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini namun cuba mencipta kekuatan. “Arwah suami lebih gemar berbuka dan bersahur di rumah berbanding di luar.
Namun, berpuasa tahun lepas memang kami lebih kerap berbuka puasa di rumah. Kalau nak bandingkan berbuka di luar boleh dikira dengan jari. Pergi bazar Ramadan pun tak, kecuali nak beli air lemon asam boi yang menjadi kegemarannya.
Arwan memang suka makan pedas-pedas seperti sambal namun sejak kehilangannya sampai sekarang saya belum lagi ada keupayaan untuk masak sambal. Makanan kegemaran suami secara tak langsung jadi kegemaran anak-anak juga.
Baju: Scaffeya
Ada juga anak bertanya sudah lama ibunya tak masak makanan kegemaran mereka, saya jawab pada mereka “Ibu belum beli barang lagi,”. Saya belum ada kekuatan nak masak makanan kegemaran arwah.
Ads
Mungkin ketika Syawal nanti saya akan cuba membina kekuatan dan memberanikan diri masak makanan kegemaran mereka,” tutur Miza sambil cuba menyeka air mata yang mula bertakung.
Apabila jasad sudah terpisah hanya memori sahaja yang ditinggalkan untuk dikenang oleh insan tersayang yang terpaksa meneruskan hidup. Miza juga terpaksa meneruskan hidup sambil mengingati memori bersama suami tersayang.
“Memori bersama arwah masih basah lagi di ingatan ini. Bila arwah suami tak ada rasa hidup ini macam kosong saja. Sebab tak ada lagi orang yang kacau kita di rumah, arwah memang suka menyakat.
Ads
Lepas tragedi yang meragut nyawa suami, saya merawat hati dengan cara yang tersendiri. Saya dah jarang masak kerana perasaan itu berlainan sangat. Dahulu arwah banyak tolong saya kat dapur tapi kini dah tak ada.
Bagaimana saya kuatkan semangat? Nak kata saya kuat sangat tak juga, bila sendirian pasti akan teringat dan mula menjadi lemah. Mencipta kekuatan itu saya sendiri tak tahu nak ungkap macam mana. Saya hanya banyak berdoa kepada Allah SWT dan mengadu padaNya.
Masa awal-awal kehilangan arwah dahulu, saya banyak meratap dan menangis. Tapi anak saya yang sulung tu tiba-tiba bertanya “Kenapa ibu menangis, ibu rindu ayah ya? Mia pun nak ayah,” dan akhirnya dia pun akan menangis sama.
Bila dua tiga kali jadi macam tu, saya bercakap dengan diri sendiri, aku tak boleh jadi macam ini. Kalau terus hidup begini bagaimana dengan perasaan anak. Kalau dia terus tengok saya macam itu bagaimana mereka mahu membesar dengan postif dan sihat.
Kalau asyik menangis sahaja, kesihatan juga akan merudum. Perlahan-lahan saya cuba bangkit dan bina semangat. Kalau saya sendiri tak kuat bagaimana mereka nak menghadapi hari-hari mendatang. Saya mesti kuat. Apa pun selepas itu saya hanya memikirkan perasaan anak dan melebihkan mereka.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Aura selebriti Rozita Che Wan bukan hanya menyinari dirinya sahaja malah adik-beradik perempuannya juga turut terkena tempias aura glamornya. Ayu Raudhah sudah tentu kerana melibatkan diri dalam dunia lakonan dan berkahwin dengan bintang bola sepak, Mohamad Zaquan Adha bin Abd. Radzak. Manakala kakaknya sulung dan adiknya, Datin Jaja Che Wan walaupun tidak terlibat dengan bidang seni namun turut dikenali ramai.
Foto: Instagram @rozitachewan1
Seorang lagi adik perempuan Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, Ruby Che Wan terlibat secara tidak langsung dalam dunia seni kerana menguruskan kerjaya seni suaminya, Lan Pet Pet. Penampilan Ruby yang kini selesa berpakaian longgar dan bertudung labuh telah mencuri perhatian dan ramai yang memujinya.
Foto: Instagram @rozitachewan1
Cerita Ruby tentang penghijrahannya, “Saya melakukan transformasi diri dengan melabuhkan sedikit tudung selepas pulang daripada mengerjakan haji. Perubahan ini berlaku apabila saya terfikir sudah beberapa kali mengerjakan umrah namun apabila tiba masa mahu meninggalkan tanah suci timbul rasa tidak seronok.
Ruby Che Wan bersama suaminya, Lan Pet Pet
Apabila saya berada di tanah suci dan kembali ke Malaysia umpama berada dalam dua dunia yang berbeza. Sepatutnya ke mana sahaja kita berada amalan dan pakaian kita adalah sama.
Oleh itu sejurus pulang daripada mengerjakan haji, saya nekad untuk mengubah penampilan. Penghijrahan ini bukan untuk menunjuk alim dan sebagainya tetapi mahu menyarung pakaian yang boleh di bawa solat tidak kira masa dan tidak kira tempat,” terang ibu kepada empat orang anak ini.
Tambah wanita yang mudah mesra ini, setiap kali menemani suami menghadiri majlis tertentu ramai wanita yang bertanya tentang pakaian yang tersarung di tubuhnya. “Memang baju dan tudung yang saya pakai sekarang tidak ada dijual di mana-mana. Rekaannya saya buat sendiri dan jahit sendiri.
Dahulu saya memang tidak suka menjahit dan hanya tahu mereka pakaian sahaja. Akibat takut tukang jahit tidak faham keinginan saya justeru saya jahit sendiri. Benar kata orang jika kita buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh pasti akan berjaya,” bicara Ruby tentang baju yang selalu dipakainya.
Pernah bertugas sebagai Perancang Kewangan, Ruby juga mempunyai pernah mempunyai rangkaian produk kecantikan di bawah RCW Beauty Empire. Kini Ruby mempunyai jenama pakaian sendiri di bawah label MaliqaJilbabSyari’i. Semoga Ruby terus sukses mengendalikan perniagaan yang dekat dengan hatinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Cukup suka dengan cara Cikgu Zack Kirana menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Tak dinafikan, dia mempunyai strategi tersendiri memartabatkan Bahasa Melayu. Sekaligus menarik perhatian para pelajar menguasai bahasa kebangsaan.
Inisiatif Cikgu Zack Kirana atau nama sebenarnya Saliza Ibrahim menggunakan platform media sosial miliknya sebagai medium untuk memperbetul tatabahasa mahupun ejaan Bahasa Melayu wajar diberi pujian.
Apatah lagi, media sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter dan Tik Tok sering menjadi rujukan generasi muda hari ini. Bukan hanya medium untuk berniaga dan berinteraksi secara alam maya tetapi juga menimba ilmu.
Terkenal dengan gaya ranggi, Cikgu Zack Kirana diketahui ramai sebagai guru selebriti yang mesra orangnya. Difahamkan dia mula menceburi bidang pendidikan kira-kira sembilan tahun lalu. Semuanya bermula kerana niat mendalam untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat khususnya dalam subjek Bahasa Melayu.
Bertugas sebagai guru di sebuah pusat tuisyen sejak tahun 2014, penglibatan Cikgu Zack sebagai pendidik bermula apabila dia diminta menggantikan rakannya yang mengambil cuti bersalin selama tiga bulan.
Sebelum menceburi kerjaya ini, Cikgu Zack yang mempunyai Ijazah Sarjana Pengajian Melayu dari Universiti Malaya pernah terlibat dalam industri radio namun terpaksa pulang ke kampung halaman menemani ibu selepas kematian ayah.
Dia membantu ibu menguruskan perniagaan katering keluarga sehinggalah rakan baik memintanya jadi guru ganti selama tiga bulan di pusat tuisyen kerana cuti bersalin.
Sejak itu, minat Cikgu Zack terhadap bidang pendidikan semakin menebal dan tidak menyangka para pelajar menerima penampilannya yang lincah dan ranggi.
Jelas Cikgu Zack, dia selesa menjadi diri sendiri dan mengajar dengan cara sendiri yang berbeza daripada pembelajaran formal di sekolah. Katanya, ini antara pendekatan yang dilakukan untuk menarik minat pelajar berbilang bangsa mencintai Bahasa Melayu.
Baru-baru ini Cikgu Zack Kirana dmembuat laporan polis terhadap seorang individu yang didakwa cuba menjatuhkan maruahnya. Selain menghina dan mencercanya dengan kata-kata kesat di media sosial.
Terdahulu, Cikgu Zack Kirana menjadi tular selepas menegur kesalahan tatabahasa dalam lirik lagu popular, Casablanca.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kuasa seorang wanita kini tidak perlu dipertikaikan lagi dan sudah diiktiraf di peringkat kepimpinan sebuah negara. Begitu juga dengan kepimpinan pemimpin muda dilihat mula terserlah membantu perjalanan politik sesebuah negara.
Foto: Instagram @shammaFoto: Instagram @shamma
Jika dahulu pemimpin muda kurang diberi ruang untuk ‘berdamping’ dalam pentadbiran negara, kini pemikiran itu sudah jauh ketinggalan. Malah, sudah banyak negara yang membariskan pemimpin muda untuk menerajui tampuk kepimpinan negara.
Foto: Instagram @shammaFoto: Instagram @shamma
Begitu juga dengan wanita cantik yang bernama Shamma Al Mazrui, 27 tahun ini. Shamma Al Mazrui telah mencipta sejarah dan memahat namanya sebagai menteri termuda di dunia.
Pengiktirafan sebagai menteri termuda ini telah tercatat di Guinness of World Records 2018. Wanita yang tampil cantik berhijab ini memegang portfolio Menteri Hal Ehwal Belia bagi negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada usia 22 tahun lagi.
Foto: Instagram @shammaFoto: Instagram @shamma
Shamma Al Mazrui merupakan satu di antara lapan orang wanita yang menganggotai ahli kabinet UAE yang jumlah keseluruhannya 29 orang. Wanita yang mempunyai akaun Instagram dengan nama @shamma dengan 345 ribu pengikut bukan calang-calang wanita. Shamma Al Mazrui telah dilahirkan dan membesar di Abu Dhabi.
Foto: Instagram @shammaFoto: Instagram @shamma
Shamma Al Mazrui memegang Bachelor of Arts in Economics dari New York University Abu Dhabi. Kemudian beliau meraih Ijazah Sarjana Public Policy from the University of Oxford in 2015. Wanita hebat ini merupakan pelajar pintar di University of Oxford dan merupakan satu-satunya warga UAE dan satu-satunya wanita yang mendapat biasiswa Rhodes yang sangat terkenal itu.
Wanita ini juga telah mendapat banyak pengiktirafan di mata dunia dengan meraih penghargaan Distinction Award Mansour bin Zaid Al Nahyan, meraih penghargaan Coutss Future Leader Award pada tahun 2015, malah saluran berita CNBC telah memasukkan namanya di antara tujuh wanita muda yang dapat mengubah dunia. Shamma Al Mazrui juga aktif di PBB sehingga menjadi perwakilan UAE di PBB.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!