Tragedi Kembara Titanic: TITAN Meletup, 5 Individu Termasuk Dua Jutawan Disahkan Maut!

Kesemua lima penumpang kapal selam Titan yang dalam perjalanan untuk meneroka sisa bangkai kapal persiaran mewah, Titanic dilaporkan telah meninggal dunia.

Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) berkata, kapal selam berkenaan yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu itu dipercayai meletup berdekatan dengan Titanic.

Kapal selam, yang dikenali sebagai Titan, memulakan penurunannya pada hari Ahad untuk meneroka Titanic dengan bekalan sokongan oksigen selama kira-kira 96 jam.

Serpihan kapal selam berkenaan yang ditemui pasukan pencarian dan penyelamat berhampiran Titanic sekali gus menjadi petunjuk Titan telah berakhir di Laut Atlantik.

Bahagian ekor Titan bersama serpihan lain ditemui kira-kira 500 meter dari bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 4,000 meter di bawah laut berkenaan.

Dalam perkembangan sama, syarikat yang mengedalikan ekspedisi berkenaan, OceanGate berkata, kesemua penumpang Titan termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Stockton Rush, dipercayai telah meninggal dunia.

Empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Shahzada Dawood serta anaknya Suleman Dawood, jutawan British Hamish Harding dan Paul-Henri Nargeolet.

“Dengan penuh rasa duka, kami kini mempercayai bahawa CEO kami, Stockton Rush, Shahzada Dawood dan anaknya Suleman Dawood, Hamish Harding, dan Paul-Henri Nargeolet, telah hilang,” kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Dawood merupakan seorang ahli perniagaan berbangsa Pakistan-Britain dan anaknya berusia 19 tahun.

Harding, 58, pula seorang billionair Britain, manakala, Nargeolet merupakan seorang peneroka berusia 77 tahun dari Perancis.

“Mereka adalah pengembara sejati yang berkongsi semangat pengembaraan yang unik, dan semangat yang mendalam dalam meneroka dan melindungi lautan dunia. Hati kami bersama lima jiwa ini dan setiap ahli keluarga mereka dalam masa yang tragis ini,” kata OceanGate lagi.

OceanGate mengenakan bayaran sebanyak AS$250,000 (RM1.2 juta) setiap seorang bagi menyertai ekspedisi ke bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 3,800 meter dan 700 kilometer selatan St John’s, Newfoundland.

Kapal selam OceanGate yang dilaporkan hilang itu mampu memuatkan lima orang dengan bekalan oksigen selama empat hari.

Bagaimanapun, OceanGate tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai bagaimana ia mengesahkan kesemua penumpang meninggal dunia.

Sumber: Astro AWANI

Share
Published by
Wan Firdaus