Separuh dirinya hilang bagai direntap, semangat dan jiwa kental yang selama ini menjadi ‘tembok kekuatan’ Rusmilawati Saidin goyah setiap kali terkenangkan wajah ceria anakanda tersayang, Muhammad Ilham Fahmi Mohammad Azzam Naim. Tiada lagi kucupan mesra, pelukan hangat dan gurauan manja Ilham Fahmi lebaran ini.
Yang tinggal, hanya secebis kenangan indah dan pusara bernisan sebagai medan kunjungan di pagi raya. Allahu, peritnya menanggung sebuah kerinduan tidak berpenghujung.
Tragedi remaja lemas di sebuah lombong Taman Putra Perdana berdekatan kawasan perumahan D’Islands, Puchong pada 3 Oktober tahun lalu nyata meninggalkan sejuta rasa di lubuk hati ibu kepada tiga anak ini. Meskipun reda dengan ketentuan takdir, namun perasaan kesal masih tersisa di benak Rusmilawati.
Masakan tidak, beberapa jam sebelum insiden hitam itu Ilham Fahmi sempat meluangkan masa bersamanya di rumah.
“Dua minggu sebelum dia hendak ‘pergi’ boleh dikatakan setiap dua hari sekali dia pergi memancing di sana bersama kawan-kawan. Bila saya tanya kenapa kerap ke sana, dia cuma kata hendak happykan kawan-kawan. Sebagai mak memang saya risaukan keselamatan dia tapi memandangkan dia sudah besar dan mampu jaga diri, saya hanya berpesan agar berhati-hati.
Tapi masa hari kejadian dia beritahu mahu pergi berlepak dan bukan memancing seperti biasa di kawasan lombong tersebut. Sebelum dia keluar, dia sempat tolong dan picit badan saya. Dalam pukul 3.30 petang macam tu, dia cakap kawan dia dah lama tunggu. Petang itu jugalah dia jatuh dan tinggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya.”
Sambil menghela nafas panjang, suri rumah berusia 46 tahun ini menyambung cerita. Katanya, tiga hari sebelum arwah Ilham Fahmi disahkan lemas dan meninggal dunia… anak kedua daripada tiga beradik tersebut bersungguh-sungguh meminta dibelikan sebuah telefon bimbit baru.
Entah mengapa, Rusmilawati mengakui dia langsung tidak marah apabila anak lelakinya itu meminta hadiah berkenaan dan hanya menuruti kemahuan arwah tanpa berfikir panjang.
“Hari Isnin tu balik dari sekolah saja, tak sempat masuk rumah dan buka baju dia minta pinjam duit nak beli telefon baru. Memang beberapa hari sebelum dia meninggal semua kemahuan dia, saya tunaikan. Pelik juga sebenarnya sebab selama ini kalau dia minta apa-apa, saya akan marah tapi hari itu saya ikut je.
Saya minta dia tunggu sampai hari Rabu sebab ayah dia dah gaji. Dia berkeras tak nak, katanya dah janji dengan kawan-kawan. Tak sangka pula hari Rabu itu juga hari dia jatuh dekat lombong.
Kehilangan Allahyarham Ilham Fahmi yang jatuh ke dalam lombong menjadi gempar apabila ia turut mengorban enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA). Ketika operasi mencari dan menyelamat Ilham Fahmi, kesemua enam anggota bomba berkenaan mengelut dalam arus deras di lombong tersebut dan dipercayai lemas kira-kira pukul 9.45 malam. Jenazah Ilham Fahmi hanya ditemui pada keesokan harinya pada waktu petang.
Mengimbas kenangan Aidilfitri yang masih segar di ingatan, ibu penyayang ini lantas menyusun kata. “Tahun lepas masa beraya di rumah adik. Memang seronok sangat kami satu keluarga waktu tu. Dapat bergurau dan bergambar dengan dia. Kebetulan, masa nak ambil gambar cahaya matahari terkena terus ke muka dia.
Bila tengok gambar dekat handphone, dia cepat-cepat beritahu abang dia yang ada ‘nur’ di mukanya. Berkali-kali juga dia cakap macam tu. Tak sangka itu adalah raya terakhir dengan dia. Bahkan sebelum dia pergi, memang selalu dia cakap muka dia ada ‘nur’.
Arwah ini seorang yang manja, sensitif dan suka senyum. Adik-beradik semua rapat dengannya dan bila dia tiada semua sedih terutamanya yang bongsu. Sebab arwah suka kenakan adik bongsu ni sampai menangis dibuatnya. Bila nak tidur, dia akan angkat tangan dan berdoa untuk abang dia. Saya pula memang hari-hari tak putus berdoa.”
Ditanya mengenai persiapan raya yang bakal tiba, Rusmilawati berkata, “Tahun ini tak ada hati nak sambut raya. Nak balik kampung pun tak terasa nak pulang. Rasa tak seronok beraya di kampung tanpa arwah. Iyalah, selama ini raya mesti ada dia tapi tahun ini
tak ada dah. Mak saya pun faham situasi kami sekeluarga. Mungkin mereka yang akan datang beraya di rumah kami nanti.”
This website uses cookies.