‘Transform’ Kek Marble Jadi Jelita, Makeup Artist 7 Anak Ini Terima Tempahan Luar Biasa!

Kecur tengok kek hasil air tangan makeup artist ini! Kreativiti Mimie Romyza membuat hiasan corak abstrak ala bunga berwarna pastel menjadikan kek ini tampak lebih menyelerakan. Ditambah pula taburan pearl sugar di atasnya menyerlahkan lagi kek marble jelita! Patutlah Mimie tak menang tangan terima tempahan pelanggan.

Ketika dihubungi Nona, Mimie yang sudah lebih 10 tahun bekerja sebagai makeup artist sama sekali tidak menyangka keputusan untuk menjual kek marble

jelita ini mampu
menambah pendapatannya. Apatah lagi, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dia ‘hilang’ punca pendapatan memandangkan tiada tawaran. Demi niat untuk membantu kewangan suami dan wang poket sendiri, Mimie yang mempunyai tujuh cahaya mata nekad menceburi bidang ini.

Ditanya dari mana datangnya idea untuk menghasilkan kek ini, semuanya bermula selepas dia melihat pembuatan kek ini di Internet. “Sebenarnya ia cuma butter cake biasa je. Kalau setakat kek marble, banyak kedai yang jual. Tapi sebab nak bagi orang tertarik, saya cuba ‘bermain’ dengan color dan corak dalam penghasilan kek ini. Buatlah lorek-lorek sedikit. Tak sangka pula orang suka.”

Mengakui baru mula menjual Kek Marble Jelita pada bulan lalu namun sambutan yang diterima daripada para pelanggan sangat memberangsangkan. Setiap hari, ada sahaja yang tempahan yang diterima. Memang tak menang tangan tapi jelas Mimie dia terpaksa mengehadkan kuantiti pengeluaran kek ini disebabkan beberapa faktor.

“Jujurnya, saya bakar kek-kek ini dengan menggunakan oven yang kecil je. Satu kek hanya muat satu kuantiti dalam oven. Dengan kekangan masa untuk tunggu kek masak, dalam sehari saya mampu sediakan sekitar 10 biji kek. Harga bagi sebiji Kek Marble Jelita bersaiz 8′ ialah RM35 dan bagi saiz kecil 8′ X 2.5′ pula berharga RM15.”

Ujar Mimie, dia menjual kek ini dengan niat agar semua orang dapat merasa dan membeli kek ini dengan harga berpatutan dan sedap.

Memandangkan kini segala aktiviti ekonomi kian rancak dan dia dapat kembali ‘berkarya’ menyerlahkan seri wajah seseorang, Mimie bagaimanapun bersyukur kerana dia memiliki satu lagi cabang bisnes untuk menyara kehidupan.

 

 

Facebook: Mimie Romyza

Share
Published by
Suzi