Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang merupakan karnival pendidikan terbesar di Selangor bakal berlangsung bermula 8 hingga 10 September 2023 bermula pukul 9 pagi hingga 7 petang di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.
Karnival yang mengetengahkan konsep memacu pendidikan generasi digital itu memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar dan guru mengenai pembelajaran luar bilik darjah.
Menurut Pengarah Projek, Meen Tahrin, karnival julung kali yang diadakan itu merupakan Karnival Pendidikan terbesar di negeri Selangor yang pernah dianjurkan.
Tambah beliau, karnival tersebut diadakan dengan kerjasama antara Sinar Harian, Sinar.Bestari; dan juga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.
“Karnival ini terbuka kepada orang ramai dan masuk adalah percuma. Para pengunjung terutama pelajar sekolah boleh menyertai pelbagai pertandingan yang telah kami aturkan dan mereka akan menyertainya melalui penglibatan sekolah masing-masing.
“Pada masa yang sama, penglibatan pelbagai agensi kerajaan pastinya memberi kelainan dalam karnival pendidikan ini kerana kita dapat melihat dengan lebih dekat peranan masing-masing,” ujarnya yang juga merupakan Editor Eksekutif Gaya Hidup dan Hiburan Sinar Harian.
Tambah Meen, karnival tersebut turut dilihat menjadi platform kepada ibu bapa dan juga masyarakat dalam mengenali lebih dekat dunia pendidikan yang berasaskan digital pada hari ini.
Dalam pada itu, Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang berlangsung selama tiga hari itu bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik kepada para pengunjung.
Antaranya demo Unit Beruniform daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Bomba; Pameran Digital Skil dan Kerjaya serta 60 pempamer yang lain seperti Planetarium Negara, Farm Fresh, AirAsia Academy, Grup Buku Karangkraf, Petrosains, Les’ Copaque dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Selain itu, turut berlangsung SinarPlus Makan Fest, rumah hantu, uji bakat TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) serta zoo mini dan kereta kuda yang disediakan kepada orang ramai yang hadir.
Turut diadakan juga 17 pertandingan untuk pelajar sekolah seperti robotik, Sinar Bestari Got Talent, bola keranjang, dikir barat, crossword puzzle
dan banyak lagi.Tidak ketinggalan persembahan silat dan program kids Quran Hour daripada pelajar-pelajar sekolah sekitar negeri Selangor.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bakal merasmikan Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Jumaat, 8 September 2023, pukul 3 petang.
“Selain guru dan pelajar, karnival ini juga memberi peluang kepada ibu bapa dan orang ramai Untuk membawa anak mereka sekali gus menyaksikan pelbagai pameran menarik secara percuma,” katanya.
Maklumat lanjut, orang ramai boleh layari http://sinarbestari.sinarharian.com.my
This website uses cookies.