Sesungguhnya ketulusan sebuah doa muncul kala kesakitan yang perit dan ketulusan bertasbih terucap dari hati yang sakit. Bukan selamanya rasa sakit itu harus dibenci kerana kemungkinan ia boleh mendatangkan kebangkitan pada seseorang. Sesungguhnya perancangan Allah itu sebaik-baik aturannya.

Terkadang penderitaan itu boleh memberi kenikmatan pada kita suatu hari nanti. Bangkitlah dengan semangat dan jiwa yang kuat. Kita yang tidak menanggungnya hanya mampu melihat, janganlah pula mudah menyentuh hati mereka dengan pelbagai andaian negatif. Resapilah segala kesulitan dan keresahan yang mereka alami. Mungkin hari ini, ujian itu milik mereka, esok lusa mungkin kita pula penggantinya. 

Ads

Ini kisah yang saya lalui dan penghujungnya, saya iringkan doa agar semua dipermudahkan dan kembali pulih semula. Saya, Sharifah Huzaimah Wan Abd Rahman, berusia 38 tahun, berasal dari Kuching, Sarawak dan merupakan anak sulung dari tiga beradik.

Trauma 25 Sekeluarga Positif COVID-19, Usah Dicemuh & Viralkan Mereka Sesuka Hati

Abah saya bernama Wan Abd Rahman Wan Zen, 62 tahun, dan mak saya, Hamdiah Hj Zen, 60 tahun. Kami semua tinggal berasingan, kecuali keluarga adik bongsu, serumah dengan Mak dan Abah.

Segalanya bermula pada 17 Mac, pukul 5 petang, di dalam group WhatsApp keluarga besar kami (2 keluarga besar bergabung, keluarga Nenek saya dan keluarga adik Nenek). Kami dimaklumkan Nenek Usu Kayah (Allahyarhamah Hajah Rokayah Drahman), bertegas mahu balik ke rumah, semasa sedang menjalani rawatan di hospital swasta.

Nenek dimasukkan ke hospital selama satu malam kerana simptom demam, batuk dan sesak nafas (sampel darahnya telah dihantar ke Kuala Lumpur). Dia balik ke rumah petang tersebut dihantar oleh ambulans, berbekalkan tong oksigen disewa anak-anak dari hospital swasta.

Pada pukul 11 malam hari yang sama, Mak, Abah dan suami saya pergi melawat Nenek Usu yang sedang sakit (demam dan sukar bernafas) di rumahnya. Ada juga beberapa keluarga lain di sana. Saya tak dapat ikut kerana sedang bekerja shif.

Pada jam 2 pagi, kami dimaklumkan Nenek Usu telah meninggal dunia. Pada pagi 18 Mac, keluarga dan kawan-kawan terdekat mulai datang menziarahi rumah Nenek dan jenazah dimandikan, serta dikebumikan seperti biasa selepas Zohor di kubur Semariang, Kuching.

Waktu jenazah nenek dibawa ke kubur, anak-anak Nenek Usu (sepupu Abah), Norafizah dan Norismadi kelihatan demam dan sesak bernafas. Keluarga yang menziarah ada memaksa agar mereka dihantar ke SGH dengan segera. Untuk makluman, semua yang hadir di majlis pengebumian tersebut memakai topeng muka.

Trauma 25 Sekeluarga Positif COVID-19, Usah Dicemuh & Viralkan Mereka Sesuka Hati

Pada 20 Mac, pagi tersebut group WhatsApp keluarga kami kecoh kerana keputusan darah Norismadi positif COVID-19. Semua ahli keluarga kami ketakutan, bercampur baur rasa sedih dan mula tertanya-tanya dari mana asal jangkitannya.

Kami semua bingung. Bermulanya perasaan stres dan takut dalam setiap diri kami, hanya Allah yang tahu betapa risaunya kami sekeluarga. Nama dan kad pengenalan diri setiap waris yang hadir ke majlis pengebumian, satu persatu dikumpul, kami cuba jejak hadirin yang datang dan KKM memanggil seorang demi seorang untuk screening COVID-19 di SGH.

Hari yang sama, seorang demi seorang ahli keluarga kami admitted ke hospital. Dan kami terima berita anak-anak Nenek Usu kritikal dan kemudian meninggal (Norafizah dan Norismadi). Ya Allah, seluruh ahli keluarga dalam kesedihan dan kami tidak dapat melawat mangsa, apatah lagi menghadiri majlis pengebumian mereka.

Kami cuma mampu melihat video yang diambil oleh pihak berkenaan semasa proses membawa jenazah dari SGH sehingga dikebumikan. Masing-masing rasa sedih dan takut dengan masa depan kesihatan kami sendiri.

Bayangkan setiap hari dihantui perasaan trauma. Asalkan ada mesej WhatsApp baru, kami tahu ada ahli keluarga akan diambil ambulans, dibawa ke SGH kerana positif COVID-19. Sehinggakan kami jadi trauma setiap kali mendengar notifikasi telefon. Keadaan ini berlarutan selama lebih seminggu.

Jangkitan Merebak

Pada 27 Mac, perkara yang paling ditakuti akhirnya berlaku. Mak dan Abah saya disahkan positif.  Abah ada history sakit jantung dan mak pula ada penyakit diabetic and high blood. Keadaan kesihatan mereka amat merisaukan hingga dunia kami adik-beradik terasa kelam. Kami juga sedih tak dapat hantar Mak dan Abah ke SGH. Hanya lambaian dan doa mengiringi pemergian mereka.

Saya tak mampu berbuat apa-apa kecuali berdoa kepada Allah agar menjaga Mak dan Ayah, serta seluruh ahli keluarga yang lain. Dalam kesedihan ini, saya tetap bersyukur suami, anak-anak serta saya sendiri, tidak ada sebarang simptom hingga sekarang. Saya dan suami sudah dua kali menjalani swab test. Anak-anak tidak diperlukan swab (atas nasihat doktor) kerana tiada direct contact dengan ahli keluarga yang positif.

Ads

Trauma 25 Sekeluarga Positif COVID-19, Usah Dicemuh & Viralkan Mereka Sesuka Hati

Suami sebagai ketua keluarga, alhamdulillah beliau sering membantu saya dalam menguruskan kehidupan seharian kami kerana saya hampir depressed. Saya sedih dengan kejadian yang menimpa keluarga saya. Sejak 20 Mac lagi, wad COVID-19 di SGH dipenuhi ahli keluarga kami saban hari.

Anak Nenek Usu, cucu Nenek Usu, adik-beradik Abah, anak saudara Abah, memang ramai admitted. Tapi alhamdulillah semua menunjukkan kesembuhan kecuali beberapa ahli keluarga yang masuk ICU. 

Pada 27 Mac, lebih 25 orang ahli keluarga besar kami positif COVID-19 dan admitted di SGH dan mulai dari itu saya tak nak kira lagi dah. Keadaan sekarang, anak sulung Nenek Usu, Haji Mohamad Ghazali Abd Rahman (kini kritikal dan di intubasi, wad ICU SGH).

Perkembangan Abah

Hari ini, 9 April jam 4.00 petang:

Atas doa semua. Alhamdulillah miracle, Abah tadi progress stabil dan dikeluarkan daripada ICU, dan kini telah dipindahkan ke wad COVID-19 biasa.

Ads

Trauma 25 Sekeluarga Positif COVID-19, Usah Dicemuh & Viralkan Mereka Sesuka Hati

SYUKUR ALHAMDULILLAH MBOK Sharifah Huzaimah War Al-Edruce.. im Happy for you!!!AGAIN.. THE POWER OF DU'A ❤❤❤❤

Posted by Azizah Alaydrus on Thursday, April 9, 2020

Ahli keluarga lain-lain telah dipindahkan ke Kompleks Belia Dan Sukan (KBS) dari SGH untuk dipantau dan dirawat sebagai pesakit COVID-19 berisiko rendah.

Macam tak percaya, sekelip mata Allah turunkan ujian buat kami sekeluarga. Apabila result KKM keluar menyatakan source COVID-19 berasal dari kes import, kami dapati jangkitan pertama (tidak disengajakan) daripada kawan sepejabat anak Nenek Usu.

Selepas kematian Norismadi, saya mula post di FB tentang kesedaran dan bahayanya COVID-19. Bagaimana simptom mangsa dan sebagainya untuk kesedaran orang ramai. Bila ada ahli keluarga yang meninggal atau disahkan positif, mereka akan terus admitted ke hospital dan kita tak boleh datang melawat. Semuanya terhenti di situ dan mungkin itulah kali terakhir kita melihat mereka.

Saya harap agar semua orang mengikut arahan PM dan kerajaan, demi masa depan kita semua dan keluarga tersayang. Kalau boleh, saya nak masyarakat tahu, pesakit COVID-19 ni bukan penyakit yang kita minta! Jangan dicemuh, jangan diviral sewenang-wenangnya kerana video keluarga kami ramai diambil secara curi oleh kejiranan dan ditularkan.

Fahamilah! Tiap pesakit ada aibnya sendiri. Dahlah sakit, video diambil curi, tulis kapsyen macam pesakit tu zombie atau kena AIDS pula. Sedih sangat dengan sikap masyarakat yang suka berkongsi tanpa mencari kesahihannya. Kalau sakit mata anda memandang, lebih sakit lagi bahu kami yang memikulnya. Ini semua ketentuan dan takdir Allah. Baik atau tidak, semuanya dari Maha Pencipta.

Sehingga ke hari ini, KKM masih lagi memantau kesihatan keluarga kani untuk keselamatan semua. Saya dan keluarga masih disuruh untuk melakukan swab test. Doakan semoga kami terus negatif dan sihat, dilindungi dari wabak ini dan mudah-mudahan semuanya akan segera berakhir.

Akhir bicara, saya mohon agar semua dapat mendoakan kesihatan yang baik dan diberi kesembuhan buat Abah serta sepupu Abah saya (Mohd Ghazali) yang kini berada di ICU. Kepada frontliners, saya doakan agar semuanya selamat, diberikan kesihatan dan dilindungi Allah SWT.

Terima kasih atas usaha dan layanan doktor, jururawat di SGH dan KBS yang merawat keluarga saya. Semuanya sangat baik, mesra dan kami bersyukur dapat dirawat dengan baik. Alhamdulilah.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI