Trend Selebriti Sekarang Buat VENEER Gigi, Patutlah Gigi Mereka Nampak Putih Berseri!

Orang kata kalau senyum ikhlas nampak cantik. Namun Pakar Pergigian pula kata senyuman manis berlaku apabila gigi putih bersih, berseri dan berbau segar. Macam mana nak dapat senyuman yang cantik? Amalan penjagaan kesihatan gigi dan gusi yang betul dapat menentukan senyuman yang semula jadi juga boleh kelihatan menarik sekiranya sihat dan bersih.

Setiap individu perlu menitikberatkan kesihatan pergigian mereka. Statistik dari American Academy of Aesthetic Dentistry menunjukkan 62 peratus sanggup berbelanja untuk mengekalkan kualiti dan kesihatan gigi mereka. Malah 85 peratus pula mengatakan seseorang yang mempunyai gigi yang baik dan sihat adalah lebih menarik dan menawan.

Antara rawatan pergigian yang semakin mendapat permintaan yang tinggi adalah rawatan pergigian kosmetik. Rawatan pergigian kosmetik merangkumi rawatan yang dapat menghasilkan penampilan gigi dan gusi yang akan kelihatan lebih baik dan sihat daripada yang sebelumnya.

Perkembangan Dalam Bidang Pergigian Kosmetik

Rawatan pergigian yang asas seperti restorasi atau tampalan gigi yang biasa kini dipertingkatkan apabila permintaan terhadap restorasi kosmetik semakin diminati pelanggan. Antara rawatannya adalah membuat:

  • Prosedur memutihkan gigi
  • Crown dan bridge
  • Veneer iaitu lapikan permukaan gigi
  • Tampalan menggunakan bahan yang menyamai warna gigi
  • Implan gigi

Peredaran zaman teknologi ini, semakin ramai sudah tahu mengenai crown dan bridge iaitu secara ringkasnya mengganti dan menyarungkan gigi asal dengan bahan seramik, komposit atau logam. Implan gigi pula adalah prosedur menggantikan gigi dengan struktur akar dari bahan titanium, seramik atau logam lain.

Proses implan gigi ini secara ringkasnya adalah proses yang berlawanan kepada proses mencabut gigi. Menggunakan biusan yang sama seperti untuk mencabut gigi, struktur akar titanium akan diletakkan dengan perlahan ke dalam tulang rahang. Seterusnya struktur crown atau kepala gigi akan disiapkan.

Dalam industri perkhidmatan perawatan pergigian, sehingga kini terdapat banyak peningkatan dalam teknologi dan bahan yang digunakan oleh doktor pergigian. Antaranya adalah teknik pemutihan gigi yang lebih berkesan, selamat dan tidak mengilukan. Implan gigi pula kini boleh dibuat menggunakan satu struktur implan di mana pelanggan boleh terus mendapat gigi gantian pada sesi rawatan pada hari yang sama implan gigi di masukkan.

Hasilnya implan gigi akan menyerupai gigi asal yang telah dicabut malah lebih kuat dari yang semula jadi. Kadar kejayaan rawatan implan gigi selalunya adalah lebih 95 peratus.

Rawatan kosmetik juga boleh memperbaiki gusi pelanggan. Gusi yang terlalu menyerlah atau yang terlalu menyusut, boleh dibentuk semula supaya dimensi gigi akan kelihatan sesuai dengan bentuk gigi dan muka pelanggan. Ini boleh dibuat menggunakan rawatan laser atau pengkonturan gusi secara surgeri.

Sumber: Dr Halina Haron, Pakar Pergigian Klinik Pergigian Halina, Bangsar

 

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan