
Tak puas mata memandang kecantikan Marian Rivera. Sememangnya aktres Filipina ini bertuah kerana dikurniakan rupa paras yang cantik dan berbakat dalam bidang seni. Tidak hairanlah pada usia mencecah 40 tahun, Marian Rivera kekal popular dalam industri seni di Filipina dan antara selebriti berjaya serta kaya di sana.
Apatah lagi Marian baru saja menggondol Best Actress Award Cinemalaya 2024 baru-baru ini. Sekaligus menjadi hadiah ulang tahun kelahiran yang disambut pada 12 Ogos lalu.
Genap meniti usia 40 tahun, jelitawan Filipina ini bagaimana pun kelihatan muda remaja dan cantik. Biarpun sudah bergelar ibu, penampilan Marian Rivera Gracia Dantes kekal popular dan mempersona.
Pendek kata, persis anak dara. Pandai isteri Dingdong Dantes ini jaga badan!
Bertuah empunya badan dikurniakan pakej lengkap. Patutlah sering menjadi buruan
Lahir pada 12 Ogos 1984 di Madrid, Sepanyol, anak kepada Francisco Javier Gracia Alonso dan Amalia Revera ini bukan calang-calang wanita. Dia memiliki pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari De La Salle University Dasmarinas.
Bapa Marian merupakan warganegara Sepanyol manakala ibunya pula rakyat Filipina. Disebabkan perkahwinan campur tersebut, Marian mampu bertutur dalam tiga bahasa iaitu Sepanyol, Inggeris dan Tagalog.
Bakat Marian juga mula bersinar selepas kejayaan drama Marimar, Dyesebel, Amaya dan Temptation of Wife. Bahkan Marian juga ada bakat menyanyi. Sebelum ini Marian sudah menghasilkan dua album iaitu Marian Rivera Dance Hits dan Retro Crazy.
Marian Rivera berkahwin dengan aktor kacak Dingdong Dantes pada 30 Disember 2014. Hasil perkongsian hidup hampir sedekad, pasangan romantis ini dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Maria Letizia dan Jose Sixto G Dantes IV.
Selain aktif dengan aktiviti seni, Marian juga sebenarnya pengasas perniagaan bunga bungaan segar Flora Vida by Marian.
Selain perniagaan bunga segar, Marian juga mengeluarkan koleksi fabrik dan dekorasi kediaman rumah serta melancarkan jenama pakaian miliknya sendiri.
Kacukan Filipina-Amerika, Liza Soberano Cantik & Berbudi Pernah Dinobat Wanita Tercantik Dunia

Bagi peminat drama dari Filipina pasti mengenali figura cantik manis ini. Memiliki 16 juta pengikut di laman Instagram, Liza Soberano atau nama sebenarnya Hope Elizabeth Soberano yang kini berusia 23 tahun dinobatkan sebagai wanita paling cantik di dunia untuk tahun 2019.

Pemilihan aktres Filipina ini sebagai wanita tercantik dunia dibuat oleh blog hiburan iaitu Starmometer. Liza Soberano telah mengalahkan Selena Gomez dan Deepika Padukone.
Kenali Liza Soberano dan 10 Fakta tentang wanita cantik ini;
1. Gadis ini lahir di Santa Clara, California, Amerika Syarikat pada 4 Januari 1998. Memiliki kerakyatan Amerika dan Filipina. Mempunyai darah kacukan Filipina di sebelah bapanya, John Castillo Soberano dan Amerika di sebelah ibunya, Jacqulyn Elizabeth Hanley. Membesar di California sebelum berpindah ke Manila di usia 10 tahun, mengikut bapanya yang sudah berpisah dengan ibunya.

2. Liza Soberano memulakan kariernya sebagai model ketika berusia 12 tahun. Ketika itu Liza telah ditawarkan untuk menjadi model iklan percetakan. Sejak itu, Liza mula mendapat tawaran berlakon walaupun tidak begitu fasih berbahasa Tagalog.

3. Wajahnya mula muncul di layar kaca membintangi drama berseiri yang berjudul Mac pada tahun 2011. Karier Liza meningkat naik setelah membintangi drama berjudul Forevermore pada tahun 2014.

4. Di Filipina, Liza Soberano juga telah mendapat jolokan wanita paling cantik dan sering menjadi pilihan produser drama dan filem juga produk kecantikan sebagai duta mereka.

5. Tidak bergantung kepada rupa paras semata-mata, Liza pernah meraih penghargaan Most Influential Film Actress dan Push Female Movie Performance of the Year.

6. Mempunyai ketinggian 1.69 meter dan berat 51 kilogram, Liza juga aktif dalam misi kemanusiaan dan sering menyokong kempen Save the Children Philippines serta menjadi duta kempen tersebut.

7. Gadis cantik ini juga bergelar seorang penyanyi apabila melancarkan album runut bunyi bertajuk Choose Amore, Choose Love berduet bersama kekasih hati Enrique Gil.

8. Hobi di masa lapang, Liza gemar menonton filem, membaca buku, mengambil video dan main monopoli.

9. Liza Soberano tamat persekolahan di sekolah tinggi St. Patrick’s School of Quezon City pada tahun 2015. Liza merupakan seorang pelajar yang aktif di sekolahnya.

10. Liza bercita-cita mahu menjadi peguam dan mempunyai mata berwarna coklat. Wanita yang menjadi inspirasi kepada gadis tercantik di dunia ini ialah Kendall Jenner.
Zakiah Anas ‘Belanja’ Gambar Di Usia 54 Tahun, Maintain Cantik & Sopan Berhijab!

Selain pemimpin negara yang menyambut Syawal dalam keadaan serba sederhana, golongan selebriti dan personaliti popular tanah air juga tidak ketinggalan meraikan Aidilfitri tahun ini dengan apa adanya. Sedang ralit melihat foto-foto raya di media sosial, gambar terkini Zakiah Anas ‘singgah’ di timeline penulis. Wow, macam tak makan dek usia! Tetap anggun dan memukau seperti dulu. Paling tak sangka, sudah ‘besar panjang’ anak-anak Zakiah Anas ini. Segak dan lawa. Iyalah, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Memang mewarisi kecantikan ibunda tersayang.
Menyambut ketibaan Syawal dengan penuh sederhana tahun ini, Zakiah bagaimana pun akur untuk tidak pulang berhari raya di kampung halaman dek kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan wabak Covid-19. Walau pun tak dapat berkumpul dengan sanak saudara seperti kebiasaan tapi tetap mengenakan persalinan sedondon dengan suami tercinta.

Menerusi foto Aidilfitri yang dikongsikan kelihatan Zakiah anggun memakai baju kurung polos. Sementara suami pula segak menyarung kurta. Turut ada dalam gambar Syawal tersebut ialah empat anaknya. Tahun lalu, Zakiah sekeluarga berpeluang beraya di Bagan Serai, Perak dan Melaka namun berbeza pula suasananya tahun ini.
Bukan saja tak dapat beraya di kampung bahkan perniagaan baju yang diusahakan juga terpaksa dibatalkan sejak Ramadan lalu akibat Covid-19. Kongsi Zakiah, “Rindunya suasana di Busana Mara Ramadan tahun lalu. Tahun ni tak dapat berkampung di Bazar Ramadan / Raya Busana Mara, Menara Mara. InshaAllah tahun depan pulak.”
Agak lama tidak mendengar khabar tentang Personaliti TV Popular ini. Nama Zakiah Anas seakan menyepi dari dunia penyiaran, lebih-lebih lagi sebaik dia mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Raja Shahrul Azmi Raja Sahar pada 12 Disember 2012. Pastinya, tumpuan Zakiah Anas kini lebih kepada keluarga tercinta namun kerinduan terhadap dunia pengacaraan masih menebal. Apatah lagi, dengan pengalamannya selama lebih 20 tahun dalam bidang tersebut. Sayang rasanya kalau bakat itu disia-siakan begitu saja.


Jika dulu wajahnya sering menghiasi program di kaca televisyen tetapi kini Zakiah Anas dilihat lebih selesa menjadi pengacara di majlis-majlis rasmi anjuran syarikat swasta dan kerajaan. Tidak hanya manis dengan penampilan sopan dan bertudung, figura yang sudah melewati usia 50 tahun ini juga kekal sihat dan menawan seperti zaman kegemilangannya suatu masa dulu.
Berkongsi di IG miliknya, Zakiah bukan hanya aktif mempromosikan produk busana ‘by Zakiah Anas’ bahkan ibu cantik ini juga berkongsi wajah anak-anak yang semakin meningkat usia. Anak lelaki sulung, Aiman Muzzammil misalnya bakal meniti usia 26 tahun sementara anak kedua pula berumur 23 tahun. Biarpun anak-anak dah besar tapi jelitawan ini tetap mencuri perhatian kerana penampilannya yang kekal awet muda.

Melihat perkembangan terkini Zakiah seolah-olah tiada apa yang berubah melainkan penampilannya yang lebih sopan selepas memutuskan untuk berhijab. Ternyata, nampak lebih ayu dan manis dipandang. Terdetik juga rahsia Zakiah mengamalkan susuk tubuh langsing. Rupa-rupanya jelitawan ini gemar mengikuti sukan lasak. Lebih menarik, minat yang sama turut dikongsi suami dan rakan-rakan. Patutlah kekal slim!
Antara rakan-rakan yang berkongsi hobi sama seperti Zakiah termasuk Datin Nor Azlina Redzuan, Che Puan Azrinaz Mazhar Hakim dan Ruhil Shafinaz. Difahamkan Zakiah Anas pernah menawan beberapa puncak gunung seperti di Gunung Keriang, Kedah.
Kredit: Instagram Zakiah Anas
Wanita Sanggup Buat Apa Saja Untuk KURUS Termasuklah Ambil Pil Yang Bahaya Ini. Awas, Boleh Rosak ORGAN DALAMAN!

Kebanyakan wanita mahu kurus tapi tidak mampu mengawal pemakanan dan melakukan senaman secara konsisten. Lantas mereka mengambil jalan mudah dengan mengambil pil pelangsing tanpa mengambil kira faktor kesihatan.
Yang penting dapat kurus dengan cepat dan boleh makan macam-macam. ‘Doktor’ dan ‘pakar perunding kesihatan’ sudah sedia di hujung jari. Berbagai-bagai produk untuk menguruskan badan juga sedia terhidang hanya dengan kata kunci ‘pil pelangsing’.
Namun, tanpa rundingan daripada doktor yang bertauliah berbagai-bagai masalah pasti akan timbul. Terdapat dua kes yang popular melibatkan pil pelangsing ini.
2002
Seorang pelakon warga Singapura, Andrea De Cruz, nyaris maut gara-gara mengambil pil pelangsing keluaran syarikat dari China. Penggunaan pil pelangsing menyebabkan hatinya rosak dan gagal berfungsi secara tiba-tiba. Andrea terpaksa menjalani pemindahan hati untuk menyelamatkan nyawanya. Andrea memenangi kes saman terhadap pengedar pil itu dan diberi ganti rugi berjumlah hampir S$900,000 (RM1.9 juta) oleh Mahkamah Tinggi Singapura.
2007
Seorang suri rumah berusia 33 tahun meninggal dunia di Hospital Alor Setar (HAS), dipercayai akibat mengambil ubat pelangsing dan teh herba buatan China. Mangsa dilaporkan tidak berpuas hati dengan berat badannya yang naik mendadak selepas melahirkan anak ketiga. Dia membeli sekotak ubat pelangsing mengandungi 60 kapsul dan teh herba mengandungi 30 sachet yang berharga RM350. Selepas hampir tiga bulan, berat badannya menurun namun dia mula mengadu sakit pinggang dan menjalani rawatan di HAS sebelum doktor mengesahkan buah pinggangnya rosak.
Obsesi untuk cantik membuatkan ramai individu memilih jalan singkat, pantas dan efektif bagi mendapatkan imej tubuh yang diidamkan terutama wanita.
Pil diet merupakan salah satu trend penurunan berat badan yang menjadi pilihan bagi mencapai matlamat individu yang mengalami masalah berat badan. Malah sering menjadi pilihan pesakit yang berjumpa pakar di hospital.
Pil pelangsing sering kali digunakan bagi individu yang mempunyai keinginan untuk menurunkan berat badan secara cepat kerana sering dianggap sebagai langkah singkat tanpa perlu bekerja keras.
Penggunaan pil diet boleh menyebabkan tekanan darah tinggi seterusnya menyebabkan kadar denyutan jantung dan nadi turut meningkat. Pengguna juga akan mengalami rasa pening, masalah sukar tidur (insomnia), mulut kering dan masalah sembelit.
Individu juga boleh mengalami masalah untuk mengawal pembuangan air besar. Kesan ini mungkin hanya sementara tetapi boleh berlarutan jika pengambilan makanan tinggi lemak tidak dikawal.
Selain itu, terdapat pil diet yang boleh menyebabkan rasa loya, muntah dan letih. Bagi penghidap diabetes, kesan pil diet boleh mengakibatkan paras gula dalam darah menjadi terlalu rendah (hipoglisemia). Oleh yang demikian, pengawasan pakar adalah penting sebelum mengambil sebarang produk pil diet.
Jika pengguna bekerja dalam situasi yang memerlukan fokus dalam pengendalian mesin atau mengendali kenderaan, kesan ubat boleh menyebabkan rasa letih dan seterusnya rasa mengantuk.
Jika keadaan ini berterusan, dikhuatiri pengaruh pil akan menjejaskan status nutrisi dan mengakibatkan kurang zat makanan yang boleh membawa kepada penyakit lain.
Pengambilan pil tanpa kawalan juga boleh mempengaruhi kecacatan bayi baru lahir, meningkatkan kadar denyutan jantung, atau masalah penglihatan. Jika seorang individu mengambil pil diet tanpa pengawasan doktor , ia boleh memberikan kesan yang pelbagai bergantung kepada jenis produk atau respons badan individu.
Info
Pada tahun 2010, Institut Diabetes, Pencernaan dan Masalah Ginjal Kebangsaan, Amerika Syarikat telah menggariskan beberapa bahan kandungan yang terdapat di dalam kebanyakan pil pelangsing atau pil kurus boleh memberikan kesan negatif kepada tubuh badan manusia.
Bahan Berbahaya
(1) Phentermine
Phentermine adalah ubat perangsang yang sama dengan amphetamine. Ubat ini adalah ubat penahan selera makan yang mempengaruhi sistem saraf pusat. Phentermine diambil bersama diet dan senaman untuk mengubati obesiti untuk orang yang mempunyai faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi atau kencing manis.
Mengambil phentermine bersama-sama ubat diet lain seperti fenfluramine atau dexfenfluramine boleh menyebabkan penyakit maut paru-paru. Jangan ambil ubat phetermine dengan apa-apa ubat diet lain tanpa nasihat doktor anda.
Phentermine boleh menjejaskan pemikiran atau tindakan anda. Berhati-hati jika anda memandu atau melakukan kerja yang memerlukan perhatian tinggi. Pengguna phentermine tidak digalakkan untuk mengambil minuman alkohol kerana ia boleh meningkatkan kesan sampingan ubat ini.
Phentermine juga boleh disalahgunakan kerana ubat ini hampir sama dengan pil ecstasy dan pil-pil perangsang lain. Jangan kongsi ubat ini terutamanya kepada orang yang mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah.
(2) Sibuteramine
Sibutramine digunakan dalam kombinasi dengan penurunan kalori diet dan latihan khusus membantu orang-orang yang mempunyai berat badan berlebihan dalam menurunkan berat badan dan untuk mengekalkan penurunan berat badan.
Ia berada dalam kelas ubat yang disebut sebagai perencat nafsu makan dan bertindak di otak dengan merencatkan pusat yang mengendalikan nafsu makan. Sibutramine dikawal di bawah Akta Racun 1952, dan temasuk dalam ‘Group B Poison List’
Pening kepala, perubahan selera makan, sembelit, pedih ulu hati, mulut menjadi kering, sakit di bahagian belakang, badan menjadi lemah, gemuruh, kesusahan untuk tidur, selesema, simptom mirip selesema (flu-like symptoms), kepanasan, dan kesakitan semasa haid.
Selain itu, sibutramine juga boleh menyebabkan denyutan jantung menjadi laju, sakit dada, sesak nafas, mual, sakit perut, muntah, keseronokan melampau (extreme excitement), resah, gelisah, murung, pening, kepala menjadi ringan, pitam, keliru, pergerakan luar kawalan, kekejangan otot, tangan menggeletar, sawan, menggigil, peluh berlebihan, demam, sakit tekak, anak mata menjadi besar, ruam dan gatal.
(3) Diethylpropione
Diethylpropione juga merupakan sejenis bahan yang terkandung dalam pil pelangsing yang digunakan untuk menahan nafsu makan dan selera makan. Sebagaimana bahan-bahan yang telah dinyatakan di atas, diethylpropione juga memberi kesan yang negatif kepada tubuh badan sekiranya tidak diambil dengan betul.
Di antara kesan yang paling negatif disebabkan pengambilan bahan ini adalah menyebabkan tekanan jantung meningkat dan degupan nadi menjadi semakin laju. Ada beberapa kes melibatkan kematian akibat pengambilan diethylpropione tanpa pengawasan profesional.
(4) Orlistat
Orlistat merupakan ubat yang tergolong dalam kumpulan perencat enzim lipase. Ia berfungsi mengurangkan penyerapan lemak ke dalam badan. Orlistat tersedia dalam dua kekuatan iaitu, 120mg dan 60mg. Buat masa ini, terdapat enam produk mengandungi Orlistat yang berdaftar di Malaysia dan ianya hanya boleh diperoleh melalui preskripsi doktor.
Orlistat adalah untuk rawatan obesiti dan ia merupakan rawatan jangka masa panjang (maksima 2 tahun). Orlistat diberikan apabila pesakit obes gagal menurunkan berat badan selepas enam bulan mengamalkan diet sihat dan melakukan senaman.
Di antara kesan sampingan pengambilan orlistat adalah seperti najis berminyak, tidak mampu menahan untuk membuang air besar, cirit-birit, kembung dan sakit perut, pening, penat dan resah. Hamizatul Maizan Mohamed