Siapa sangka dari seorang model yang aktif memperagakan fesyen di pentas fesyen berubah nasib menjadi seorang puteri raja. Jodoh tidak pernah salah alamat dan jodoh memang telah ditetapkan oleh Sang Pencipta.
Wanita yang dahulu hanya dikenali sebagai Kendra Spears, dilahirkan di Seattle, Washington Amerika Syarikat, 31 tahun yang lalu. Wanita langsing dan tinggi lampai ini telah bertemu jodoh dengan seorang kerabat diraja, Putera Rahim Aga Khan.
Kendra Spears memulakan karier dalam dunia peragaan dan mudah mendapat perhatian pereka jenama terkenal antarabangsa. Menjadi pilihan pereka tersohor dan telah memperaga jenama mewah serta terkenal di pentas fesyen di New York, Milan dan Paris. Malah wanita cantik ini turut terpilih sebagai penghias muka depan beberapa majalah berprestij di sana.
Mengimbau perkenalan pasangan sama cantik sama padan ini, dikhabarkan mereka telah diperkenalkan melalui seorang rakan rapat pasangan ini. Khabar angin yang bertiup kencang mengatakan rakan rapat yang dimaksudkan adalah Supermodel Noami Campbell.
Keluarga Putera Rahim Aga Khan telah mengumumkan pertunangan anak sulung mereka ini pada bulan April 2013. Pasangan ini kemudian berkahwin setelah 6 bulan melalui fasa pertunangan. Perkahwinan gilang-gemilang pasangan ini berlangsung di Geneva, Switzerland. Sebelum berkahwin Kendra Spears telah dikurniakan dengan nama Puteri Salwa Aga Khan.
Kini pasangan ini telah dikurniakan dua orang putera, Putera Irfan, 4 tahun dan Putera Sinan, 2 tahun. Keluarga Aga Khan ini merupakan keluarga diraja tanpa kerajaan tetapi menjadi ketua komuniti Ismaili.