Sebut sahaja nama Aishwarya Rai pasti ramai yang mengenang rupa paras anggun milik aktres popular Bollywood ini. Selain dikurniakan raut wajah mempersona dan susuk tubuh langsing, Miss World 1994 ini juga berbakat besar dalam bidang seni.
Bersandarkan pakej lengkap tersebut tidak hairanlah jelitawan ini sering mendapat tawaran sebagai duta produk. Bahkan sejak berumah tangga dan mempunyai anak, penampilan Aishwarya tetap meraih perhatian ramai.
Pendek kata, populariti isteri Abhishek Bachchan ini sudah berada dalam kelas tersendiri.
Dah namanya pun bekas Ratu Cantik mestilah ramai pengikut, kan? Walaupun sudah berkahwin dan ada anak tapi Aishwarya Rai buktikan dirinya tetap bersinar seperti dulu. Masih ‘ditemani’ peminat setia dan menjadi buruan lensa kamera serta lamaran jenama terkenal untuk menghiasi kempen promosi mereka. Untung jadi orang cantik!
Dilahirkan pada 1 November 1973, Aishwarya kini meniti usia 48 tahun. Bergelar isteri kepada aktor Abhishek Bachchan pada tahun 2007, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Aaradhya Bachchan yang bakal berusia 10 tahun pada 16 November depan.
Meskipun tidak lagi aktif dalam dunia lakonan namun Aishwarya mempunyai nilai eksklusif yang menarik perhatian banyak jenama mewah bertaraf antarabangsa. Buktinya, dia dilantik menjadi duta jenama jam tangan mewah Longines sejak dari tahun 1999.
Selain Longines, Aishwarya juga sebelum ini pernah menghiasi kempen promosi bagi pelbagai jenis produk termasuk kecantikan, minuman dan barangan kemas. Antaranya Lux, L’Oreal Paris, Coca-Cola, Lakme Cosmetics dan De Beers Diamonds.
Kredit foto: Instagram Aishwarya Rai
Dah Setahun Jadi Isteri Tengku Mahkota Kelantan, CHE PUAN SOFIE Makin Selesa Berselendang & Baju Kurung!
19 April lalu, genap setahun usia perkahwinan Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia (YTM) Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra di samping isteri tercinta, Yang Amat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson. Mengimbas kembali detik bersejarah tersebut, pasangan diraja ini telah melangsungkan majlis pernikahan pada Jumaat malam, 19 April 2019 dalam suasana ringkas tetapi meriah yang diadakan secara tertutup di Istana Balai Besar Kota Bahru, Kelantan.
Che Puan Sofie meskipun bukan berasal dari Malaysia dan menjalani perbezaan budaya sebelum bergelar suri hati kepada YTM Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, namun beliau dilihat bijak menyesuaikan diri. Malah biarpun baru setahun menjadi keluarga diraja, penampilan dan kemunculan Che Puan Sofie telah disedari ramai bukan hanya dalam kalangan rakyat Kelantan bahkan seluruh rakyat Malaysia.
Ini kerana penampilan yang digayakan Che Puan Sofie cukup sopan dan manis dipandang. Masih terbayang kelibat wanita kelahiran Sweden ini yang muncul di khalayak buat pertama kalinya ketika mengikuti Tengku Muhammad Fa-iz Petra mengunjungi rakyat Kelantan yang terlantar sakit dan kurang bernasib baik. Waktu itu, Che Puan Sofie baru empat hari bergelar isteri. Lebih manis, penampilan sopannya menggayakan persalinan tradisional baju kurung biru dan berselendang polos warna senada berjaya mencuri perhatian ramai.
Begitu juga ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang menyaksikan Che Puan Sofie hadir bersama Tengku Muhammad Fa-iz Petra. Setia berada di sisi suami tercinta, beliau kelihatan cukup anggun dalam persalinan kebaya labuh songket dan selendang kuning. Pada sebelah malam pula ketika Majlis Santapan Diraja, Che Puan Sofie menggayakan baju kurung emerald green yang digandingkan dengan selendang rona senada.
Apa yang pasti, Che Puan Sofie bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik semata-mata. Sebaliknya, beliau juga seorang wanita yang tidak kekok bertemu masyarakat, aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, ligat di dapur, gemar berbasikal dan pandai menjahit. Wah, memang beruntung Tengku Mahkota Kelantan!
Menerusi perkongsian Che Puan Sofie di laman media sosial miliknya, terserlah bakat menjahit beliau. Istimewanya, mesin jahit yang digunakan adalah pemberian Raja Perempuan Kelantan, YMM Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid.
Pada bulan Ramadan lalu pula, Che Puan Sofie menyantuni orang ramai semasa jualan amal ‘meat ball’ dan ‘cinnamon bun’ hasil air tangannya sendiri di bazar Ramadan di Kota Bharu. Difahamkan beliau menggunakan sebanyak 7 kilogram daging untuk jualan ‘meat ball’ berkenaan selain tidak melepaskan peluang menyediakan juadah berbuka buat suami tercinta.
Sekitar Februari lalu, Che Puan Sofie mengenakan persalinan kurung moden berwarna biru ketika membuat kunjungan ke Sabah dan melawat Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Di sana, beliau berkesempatan melawat kelas pengajian Al-Quran bagi golongan kanak-kanak istimewa. Selain itu, Che Puan Sofie turut melawat Muzium Sabah dan mempelajari budaya serta sosioekonomi masyarakat di Negeri Di Bawah Bayu. Awal Mac lepas, beliau membuat kunjungan ke tempat pembuatan songket dan wau di Kelantan.
Semoga Allah SWT memelihara rumah tangga YTM Tengku Mahkota Kelantan dan Che Puan Sofie.
Sumber: Instagram Che Puan Sofie Louise Johansson
Manis Bertudung, Penampilan REEN RAHIM Berhijab Promosi Produk Jadi Perhatian. Semoga Jadi Asbab Berhijab Kelak!
Sejak bergelar isteri, nampaknya rezeki Reen Rahim semakin murah bukan sahaja dalam bidang lakonan, malah turut dilamar beberapa jenama sebagai duta jenama mereka. Baru-baru ini, satu produk kosmetik tempatan, Zeeta melantik Reen Rahim sebagai duta produknya.
Namun begitu, pihak Zeeta mempunyai syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh selebriti yang bakal menjadi duta jenama tersebut. Zeeta tetap dengan pendirian tegas meletakkan syarat di mana-mana selebriti yang menjadi duta atau wajah promosi serta kempen perlu mengenakan hijab.
Keputusan nekad itu seiring dengan cerminan dua nilai teras diperjuangkan jenama berkenaan selama ini iaitu terinspirasi dan terpelihara (Be Inspired dan Be Protected).
Menurut pengasasnya, Zaiti Noordin, pihak mereka bukan melawan arus sebaliknya sedar pegangan serta prinsip diperjuangkan itu sudah diguna pakai kebanyakan ahli perniagaan mahupun pengasas produk. Kata Zaiti lagi yang sudah membangunkan jenama tersebut sejak 2013, ia disifatkan sebagai dakwah kecil.
“Mungkin selama ini pilihan artis atau selebriti tidak bertudung lebih diutamakan. Tapi kami sedari dulu lagi, setia dangan prinsip meletakkan wajah atau duta produk semestinya bertudung. Sekalipun ada selebriti tidak bertudung, kami meminta jasa baik dan kerjasama mereka untuk sekurang-kurangnya menutup aurat ketika mempromosikan produk.
“Contoh terbaharu ialah Reen Rahim yang sudah mempersetujui syarat dan kehendak berkenaan selepas menjalinkan kerjasama dengan kami,” kata Zaiti.
Kata Zaiti lagi, dalam konteks memberi inspirasi, Zeeta ingin memecah tembok pemikiran wanita berhijab di Malaysia sekali gus memperkasa golongan berkenaan.
“Kami ingin mengubah stereotaip. Jangan ingat wanita bertudung tidak mampu ke depan. Dalam konteks memelihara pula, ia lebih jelas sebagaimana kita balut buku untuk memelihara kulit depan dan belakangnya atau memakai langsir di tingkap untuk mencantikkan.
“Tak lupa keselamatan makanan terjaga dengan mengguna penutup saji. Begitu juga dengan cara Islam menghargai dan memelihara keindahan wanita. Malah ejen berdaftar kami juga bagai faktor dorongan atas usaha ini yang memilih untuk menggunakan kandungan bahan atau video wanita menutup aurat sahaja,” katanya.
Terdahulu, jenama yang beribu pejabat 2-23, Sentral Business Suite, Kompleks Sentral Point, Jalan TKS 1, Kajang ini pernah menggunakan khidmat artis seperti Nad Zainal dan Fazlina Ahmad Daud.
“Alhamdulillah asbab daripada kerjasama terjalin ada hikmah berharga. Nad dan Fazlina kini seperti diketahui umum juga sudah bertudung. Kami sendiri teruja dan terharu apabila mereka diketuk hidayah selepas menunaikan tuntutan tugas untuk berhijab ketika kerjasama terjalin. Hijrah mereka sangat memberi inspirasi kepada wanita di luar sana kerana perubahan sebegitu boleh berlaku sekelip mata dengan izin Allah,”katanya.
Sementara itu, jenama ini yang mengeluarkan sekitar 10 produk ini mempunyai tarikan tersendiri selain sokongan lebih 5,000 ejen berdaftar.
“Kami menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dari 2010 hingga 2013. Produk yang kami jual termasuk Mandi Bunga, Sabun Badan, Energy Booster Aromatherapy, serum wajah, sabun jeli, sabun beras batik dan macam-macam lagi.
“Harga produk juga berpatutan dari sekitar RM12 hingga ke RM60. Insya-Allah kami sasarkan jualan bulan sebanyak RM150,000 ke RM200,000. Manakala sasaran jualan setahun pula sebanyak RM3 juta.
Sejak melebarkan empayarnya, ia berjaya meraih pelbagai penghargaan dan anugerah. Terbaharu jenama itu diiktiraf sebagai Excellence Women CEO Award In Beauty & Cosmetics Industry 2021 daripada Asia Business Leadership Excellence.
Sementara itu, Reen Rahim yang baru-baru ini tular mengenakan hijab ketika menjayakan sesi fotografi jenama Zeeta mempromosikan produk baharu, Perfect Match (set satu sabun badan dan mandi bunga) mengakui ia pengalaman pertama diminta ‘client’ untuk bertudung.
“Mula- mula memang pihak client takut Reen kecil hati dengan permintaan bertudung ini. Tetapi sebenarnya, Reen sangat gembira dan menerimanya dengan hati terbuka.
“Dalam hidup ini, apa yang Allah SWT susun tiada yang kebetulan. Doakan semoga segenap hati Reen nanti menutup aurat kerana-Nya. Amin,” kata pelakon 7 Hari Mencintaiku 3 itu.
Majlis pelancaran berlangsung 8 Julai lalu di Colony, KL serentak dengan Mesyuarat Tahunan jenama itu bersama ‘top leader’ yang dilakukan serentak di platform Facebook, Instagram dan TikTok.
“Secara rahsianya, Reen menjadi pengguna produk itu sejak 2020 lagi. Masa itu Reen menyokong dengan membeli tanpa meminta tajaan.
“Dipendekkan cerita, pihak mereka tahu Reen pengguna setia dan mula mendekati diri ini. Jujur, jika produk ini tak bagus dan berkesan, Reen takkan pakai dari tiga tahun lalu lagi.
“Salah satu sebab Reen ingin mewakili jenama ini kerana mahu semua golongan wanita memakainya kerana ia cukup berbaloi digunakan. Malah Reen syorkan kepada ibu dan kakak, ternyata ia bagus serta efektif untuk aura, minda juga ketenangan.
“Mungkin dengan pembabitan Reen ini, akan lebih ramai mencuba dan mengambil tahu fasal produk berkenaan. Nak tahu dan faham keberkesanannya, memang kena cuba sendiri,” kata Reen seraya mengakhiri perbualan.
Anggun & Jelita Usia 52 Tahun, Tengku Permaisuri Selangor Cantik Berhijab Buat Ramai Terpaku!
Terserlah keanggunan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin tatkala mengenakan hijab baru-baru ini. Ramai yang terpegun dengan kecantikan Baginda ketika berangkat ke Majlis Hi-Tea Persatuan Badan Kebajikan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (BAKAJASA) pada 10 Jun lalu.
Baginda tampil dalam persalinan kurung rona kuning dan hijab warna senada serta rantai leher mutiara sebagai lengkap gaya.
Majlis berkenaan berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam yang turut dihadiri Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Masdiana Muhamad.
Dalam majlis itu, Baginda berkenan menyampaikan sumbangan kebajikan kepada 20 ahli BAKAJASA yang ditimpa bencana alam, kematian ahli keluarga serta mendapat cahaya mata baharu.
Melihat aura Tengku Permaisuri Norashikin, Baginda menyambut Ulang Tahun Hari Kelahiran ke-52 pada 4 Jun lalu. Bersandarkan personaliti dan penampilan Baginda yang elegan, ramai tidak menyangka Tengku Permaisuri Selangor ini sudah pun mencecah usia 52 tahun.
Dari hari pertama melihat wajah Baginda, ramai yang mengakui tertawan dengan kecantikan dan kelembutan yang dimiliki Tengku Permaisuri Norashikin yang juga merupakan bekas penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pernah memenangi Anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa.
Penampilan Tengku Permaisuri Selangor ketika berada di khalayak sering mencuri perhatian. Malah, ramai wanita menjadikan Tengku Permaisuri Norashikin sebagai sumber inspirasi bukan sahaja dari segi keperibadian Baginda bahkan gaya dan cita rasa fesyen.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/simple-pun-cantik-gaya-anggun-tengku-permaisuri-selangor-dengan-rantai-mutiara-raih-perhatian/