Di sebalik kontroversi gelek dan bicaranya yang lantang, siapa sangka kalau Ifa Raziah sebenarnya seorang wanita yang sangat kelakar serta usahawan yang sangat menginspirasikan. Selama lebih dua dekad dalam industri, kini beliau mengadaptasi seluruh pengalamannya sebagai anak seni untuk memajukan bisnes pengurusan acara, Starvendors Event Sdn Bhd.
Seorang yang tegas berpendirian, karakter Saripah Raziah Mustapha selaku Pengarah Urusan dan Pengasas StarVendors menjadi kekuatannya dalam mengendalikan urusan syarikat.
Tidak seperti di layar perak, selebriti itu bijak memainkan peranan sebagai pemimpin, sekaligus menambah keyakinan sesiapa pun yang datang berurusan. Daripada individu berprofil tinggi seperti Menteri, pegawai kerajaan dan swasta, agensi atau badan korporat, ahli perniagaan hinggalah petugas media serta orang ramai, Ifa Raziah sentiasa profesional ketika bekerja.
Terkenal dengan imej Miss Diva dan sering tampil memakai barangan kemas seperti loket hati gergasi, Ifa Raziah juga merupakan pengasas Serifa Beauty & Health. Produk pelangsingan Solid Molid dan produk Miss Diva Skincare yang diasaskan sejak lima tahun lepas antara yang mendapat permintaan tertinggi ketika musim PKP lalu. Beliau juga giat menjual korset Ifa Raziah Wonder Suit by Jovian.
“Selagi masih larat dan kudrat mengizinkan, saya mahu terus aktif dalam bidang seni. Sebenarnya saya banyak menerima job daripada stesen TV, antara yang terbaru adalah sebagai peserta dalam program Terpaling Juara. Kehadiran saya sedikit sebanyak menaikkan rating dan membantu menularkan program tersebut.
Saya sebenarnya seorang individu yang bersemangat dan suka memberikan komitmen dalam setiap pekerjaan. Termasuklah dalam arena bisnes.
Harapan saya agar suatu hari nanti semua kerja keras ini dapat meninggalkan legasi kepada anak-anak. Mungkin bila dah berusia nanti, saya dapat abadikan diri beribadah sepenuh masa sambil monitor saja bisnes yang mereka uruskan.” Ifa Raziah
VERSATIL
Terkenal sebagai seorang wanita yang ekspresif, statement beliau iaitu, “Jadilah wanita yang berduit kerana wanita yang cantik dah banyak!” mencuit perhatian.
Pernah menjulang trofi Artis Versatil Popular dua tahun berturut-turut di ABPBH29 & ABPBH30, Ifa Raziah yang berstatus Dato’ mula terlibat dalam industri seni sejak tahun 90-an lagi. Seterusnya, bakat beliau berkembang sebagai pelakon, pelawak dan pengacara sebelum kini sebagai Pengasas serta Pengarah Urusan StarVendors Event Sdn Bhd.
Tidak keberatan berkongsi sejarah, wanita jelita berdarah peranakan Melayu-Arab dan ibu kepada dua cahaya mata itu tenang bercerita. Menurutnya, bakat nyanyian yang terpendam sebenarnya mula dikesan sejak zaman kecil lagi.
Ketika berusia 17 tahun, beliau pernah mewakili Malaysia ke pertandingan akhir Asia Bagus (1992) tapi disebabkan peperiksaan SPM ketika itu, Ifa terpaksa menarik diri.
“Saya mengeluarkan album solo pertama bergenre pop balada iaitu I Miss You, I Love You pada tahun 1996. Zaman itu Malaysia dilanda gelombang dangdut, jadi saya cabar diri hasilkan album dangdut pula setahun kemudian.
Single lagu Ser…Ser…Ser… berjaya melonjakkan nama saya sebagai penyanyi dangdut popular. Saya juga mula aktif berlakon pada waktu yang sama, malah untuk rekod pernah membintangi beberapa buah filem dan teater, berpuluh drama serta telefilem tempatan.
Menjelang era 2000-an, saya tubuhkan syarikat rakaman sendiri iaitu Ifa Raziah Entertainment dan keluarkan album ketiga iaitu Gemerincing Rindu.
Saya juga pernah keluarkan single lagu Panas bersama penyanyi Cat Farish yang berjaya layak ke Separuh Akhir Muzik-Muzik 2008 dan peringkat akhir Hits 1 RTM tahun yang sama.” Ifa Raziah
Bakat Ifa Raziah seterusnya berkembang dalam bidang pengacaraan TV apabila beliau ditugaskan sebagai pengacara program Wanita Hari Ini selama tiga tahun bermula 2008.
Tidak sekadar petah berbahas isu semasa, wanita kelahiran Jitra, Kedah itu sekali lagi membuktikan bakatnya sebagai pelawak apabila menyertai Maharaja Lawak Mega bersama kumpulan Syok.
Berkat sifat disiplin yang tinggi, rezeki Ifa Raziah dalam bidang seni terus mengalir tanpa henti. Bekas peserta program GegarVaganza ini terus mencatat satu demi satu kejayaan berskala besar ekoran strategi hidupnya, ingin sentiasa relevan dengan trend semasa.
Kerana itulah gaya dan penampilan diri beliau sentiasa berevolusi, stail mekap pun up-to-date!
USAHAWAN
Menyedari betapa luasnya manfaat berniaga, Ifa Raziah mengorak langkah berani sebagai pengasas StarVendors pada tahun 2019. Sebagai syarikat pengurusan acara, StarVendors dianjurkan sebagai festival membeli-belah dengan penyertaan ramai selebriti dan pelbagai jenama terkenal di Malaysia.
Menggunakan pengaruh seni, pengunjung yang datang juga boleh bertemu mesra artis kesukaan mereka dan menikmati persembahan yang diadakan.
Pencapaian terbesar Ifa Raziah adalah apabila acara Festival StarVendors Mega Raya yang dianjurkan pada bulan Ramadan lalu melakar sejarah di The Malaysia Book of Records sebagai penganjuran paling lama selama 75 jam tanpa henti.
“Dengan rekod keseluruhan pengunjung mencecah 2.8 juta orang, saya sebenarnya amat terharu dengan pengiktirafan ini dan tidak menjangka mendapat sambutan yang amat luar biasa.
Jadi saya nak menjemput lebih ramai artis dan usahawan untuk sertai StarVendors. Kami dah susun banyak program hebat di 11 venue sepanjang 2023.
Inilah satu-satunya platform yang dapat memperkenalkan branding anda dengan baik selain online. Usahawan boleh turun padang berjumpa pengunjung secara fizikal sambil mereka pegang sendiri produk anda.”
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Bobo Cinta
Dandanan: Hamidi Jamili
Busana: Daniel Zharif, Jovian Mandagie, Maglifestyle
Lokasi: W Kuala Lumpur Hotel
This website uses cookies.