Dianugerahkan seraut wajah yang cantik dan lembut bukan tiket mudah untuk Datin Elvina Mohamad mencipta nama dalam dunia lakonan. Sejak tujuh tahun bergelar pelakon, Datin Elvina berterima kasih apabila dilamar untuk membawa watak antagonis sebagai Ruhila, dalam drama Takdir Yang Tertulis.
Wanita yang pernah mencipta nama apabila bergelar Datin di usia 23 tahun setelah berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Haniff Borhan ini ternyata telah berjaya keluar dari sisi selesa dalam dunia lakonan. Datin Elvina atau nama sebenarnya Norazlina Mohamad dikecam atas lakonannya yang berkesan ini dan berterima kasih kepada Pengarah terkenal, Sharulezad Mohameddin.
Namun, itu hanya sebuah lakonan dan sebenarnya Datin Elvina seorang wanita yang baik hati dan ibu yang penyayang. Bercerita sikit perkembangan anaknya “Karl Mateen sekarang dah berusia 2 tahun 2 bulan. Dia dah pandai bercakap dan mula pergi play school. Jadi, rasanya dah boleh bagi Karl adik baru,” tutur Datin Elvina bergurau ketika dihubungi.
Selain berlakon, Datin Elvina juga bergelar Pengasas produk kecantikan, L’Pure Beauty. Terlintas di fikiran bagaimana ibu kepada seorang anak ini membahagikan masa antara karier seni, perniagaan dan keluarga.
“Alhamdulillah saya ada pembantu dan dia memang banyak membantu menguruskan hal rumah kalau saya sibuk di set penggambaran. Lagi pun biasanya saya akan susun jadual kerja dengan teliti. Contoh macam dah shoot direct 2 bulan, kemudian saya akan beritahu pengurus nak berehat sekejap seminggu atau dua untuk fokus dekat famili dan bisnes,” jelas Datin Elvina yang membongkar rahsia kulit cantik kerana pakai L’pure Beauty.
Sebagaimana usahawan lain, wanita yang kini berusia 26 tahun ini juga mengakui terkesan dengan penularan wabak COVID-19. “Sedikit terjejas, sebab semua benda jadi tergendala dan apa yang dah rancang semuanya tak boleh nak buat. Tapi, alhamdulillah produk penjagaan kulit saya dapat sambutan di media sosial. Justeru, buat masa sekarang saya fokus kepada perniagaan di atas talian,” ulasnya jujur.
Datin Elvina juga berharap seluruh rakyat Malaysia berusaha untuk mengekang penularan pandemik COVID-19. “Sila jaga SOP, jaga Kebersihan dan kena biasakan hidup dalam normal baharu. Sebab COVID-19 ini takkan hilang, jadi apa yang perlu kita buat ialah sentiasa jaga kebersihan, sentiasa cuci tangan dan patuhi SOP serta elakkan berkumpul ramai-ramai,” tegasnya.
Apabila ditanya tentang pandangannya cara yang efektif untuk membasmi amalan rasuah, “Kerajaan kita perlu komited dan telus membanteras gejala salah guna kuasa serta rasuah,” jawabnya ringkas.
*Ada beberapa jam lagi untuk membeli-belah sempena 2.2 hari ini.