
Dua hari lalu DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim telah mengaktifkan laman Instagram rasmi milik peribadi baginda. Memilih nama akaun @tuankuzarasalim, seluruh rakyat kini boleh melihat sisi peribadi yang dikongsi oleh Tuanku Zara Salim di media sosial.

Menerusi status yang dimuat naik dalam laman Instagram rasmi baginda, Tuanku Zara Salim telah menzahirkan penghargaan terhadap kesungguhan anggota barisan hadapan negara mengekang penularan wabak COVID-19 tanpa mengenal erti lelah dan tidak mengira masa.

“Terima kasih kepada wira dan wirawati di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan hospital di seluruh negara yang berjuang tak kira penat, tak kira bahaya, tak kira kepentingan diri,” tulis Tunku Zara Salim.

Menarik perhatian dua anakanda baginda, Raja Azlan Muzzaffar Shah Sultan Nazrin Shah dan Raja Nazira Safya yang masing-masing memegang kertas menyatakan penghargaan terima kasih kepada pasukan keselamatan negara.

“Terima kasih abang dan kakak, askar dan polis,” demikian ucapan penghargaan yang dipegang Raja Azlan Muzzaffar, manakala Raja Nazira Safya memegang kertas dengan lukisan berbentuk hati antaranya tertera terima kasih, ‘Arigato’, ‘Merci’ dan ‘Grazie.

Status di Instagram dengan tanda pagar #askar#pdrm#dudukrumah yang dimuat naik Tuanku Zara turut disertakan gambar Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bersama Raja Azlan Muzzaffar dan Raja Nazira Safya masing-masing dalam pakaian Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Sumber: BERNAMA
Foto: Instagram @tuankuzarasalim
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bagaimana KERJA SYIF Boleh Undang Keletihan Melampau, Doktor Dedah Impak Negatif Bila Individu Terpaksa Berjaga Malam!

Tidak ada satu pekerja pun yang mahu bertindak lalai atau culas dalam melaksanakan tugas. Senario pekerja kelihatan lesu, mengantuk dan terlelap di kaunter perkhidmatan atau meja kerja pada waktu malam di pejabat yang kebanyakannya beroperasi 24 jam merupakan insiden yang sukar dielak.
Bukan mahu mempersoal atau mengiyakan tindakan tersebut, tetapi sebagai seorang manusia yang diciptakan punya hati, perasaan, rasa letih dan penat, mana-mana pekerja pun tidak terlepas mengalami situasi sama apabila mereka terpaksa berjaga sepanjang malam.

Usah cepat menghukum sebaliknya lihat pada perspektif positif tentang realiti kerjaya bagi mereka yang terpaksa bekerja syif ini. Nampak remeh namun sebenarnya ia bukan tugas mudah. Jelas Doktor Kesihatan Pekerjaan, Mohd Fadhli Mohd Fauzi, hal ini melanggar jam biologi yang ditetapkan dalam sistem badan manusia.
“Kerja syif adalah ‘hazard’ pekerjaan yang popular walaupun di pandang enteng oleh sesetengah pihak yang kurang empati. Banyak kajian yang telah dibuat dan ada kemalangan di tempat kerja yang dikaitkan dengan kerja syif.
Ada juga kajian yang mengaitkan faktor genetik dengan keupayaan untuk kerja syif atau ‘circadian rhythm’ manusia, yang mungkin menjawab persoalan mengapa ada yang mampu bertahan dan mungkin terlena. Yang mampu bertahan, jangan bongkak.
Kajian berkaitan ‘chronotype’ iaitu menilai sama ada seseorang itu adalah jenis ‘morningness person’ atau ‘eveningness person’ atau ‘indifference’ juga ada dilakukan. Ada yang boleh tidur waktu siang selepas kerja syif, dan ada juga yang langsung tak boleh,” terang Pegawai Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia ini.

“Jam 3 hingga 4 pagi adalah antara puncak rasa mengantuk dalam kebanyakan individu dan ia mempunyai hubungkait dengan circadian rhythm. Saat itu, suhu badan adalah pada tahap terendah. Jangan marah mereka kerana ia adalah jam biologi mereka.
Ini belum lagi sentuh bab kerja oncall dan microsleep. Hanya yang pernah bekerja lebih 24 jam berturut-turut yang mampu memahami situasi. Anak bini terabai, penat fizikal, penat mental, malah ada yang kehilangan nyawa dalam perjalanan pulang dari kerja. Yang kerja 8 hingga 12 jam pada syif malam pun berisiko menghadapi efek yang sama.
Ia bukan hanya terpakai untuk doktor, jururawat atau dressar, tetapi juga kepada pemandu lori, pemandu bas, operator kilang, pengawal keselamatan dan segala macam jenis pekerjaan lagi. Semua ada situasi sendiri yang perlu sama-sama kita fahami.

Nak atau tak nak, kerja syif tetap perlu ada dalam sektor pekerjaan yang kebanyakan perlu beroperasi 24 jam. Tak salah, namun perlulah ada langkah menangani kesan negatif akibat daripada kerja syif.
Belajarlah untuk memahami dan empati. Ini terpakai bukan hanya kepada masyarakat sebagai klien, tetapi juga untuk bos-bos di jawatan lebih tinggi. Fahami situasi staf anda, jangan bertindak hanya dengan ‘spinal reflex’ sahaja. Bos perlu berperanan sebagai pemangkin membakar motivasi dan membantu mencari intervensi serta solusi.”
Sumber: Facebook Mohd Fadhli Mohd Fauzi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Satu Malam Sahaja, DATO’ SHEILA MAJID Bakal Hiburkan Peminat Di Konsert SHEILA MAJID BIG BAND LIVE IN KUALA LUMPUR

Sejak kebelakangan ini, banyak konsert dari artis tempatan dan luar negara memenuhi hujung minggu rakyat Malaysia setelah lebih dua tahun tidak dapat mengadakan persembahan berskala besar akibat pandemik.

Bagaikan satu trend, konsert yang pada awalnya dijadualkan satu hari terpaksa ditambah menjadi dua hari memandangkan sambutan yang luar biasa terhadap jualan tiket.
Namun bagi bintang lagenda muzik Jazz, Dato’ Sheila Majid, 57, lebih suka penganjuran konsertnya berlangsung satu malam saja berbanding dibuat secara lanjutan untuk malam kedua ataupun ketiga.
Sheila berkata, konsert satu malam lebih istimewa kerana hanya boleh dirasai penonton pada malam itu saja dan tiada lagi selepas itu.

“Selalunya untuk konsert besar seperti penganjuran Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 sebegini, saya lebih suka tiada malam kedua dibuat, kerana itu lebih istimewa.
“Kalau untuk konsert amal lainlah, saya mungkin boleh lakukannya untuk malam kedua atau seterusnya. Tapi, tidak bagi konsert solo saya yang dibuat atas permintaan peminat juga.
“Sebabnya, kadang-kadang kita tak boleh terlalu bercita-cita tinggi. Kalau peminat nak lagi, mereka boleh datang pada konsert seterusnya. Buat apa anjurkan dua atau tiga malam, tapi tak laku.
“Jadi siapa yang nak tengok konsert saya ini kena beli tiket cepat. Saya tahu ada yang ingat bila penganjur umumkan tiket habis, mereka tak percaya dan ingat bila pergi ke lokasi, tiket masih ada dijual lagi,” katanya ketika ditemui pada sidang media Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 semalam.

Konsert berkenaan bakal berlangsung pada 18 Mac tahun hadapan bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Sebagai penyanyi yang telah lama berkecimpung dalam arena muzik tanahair, Sheila menjanjikan persembahan yang berbeza dari konsertnya sebelum ini apabila Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 akan membabitkan seramai 23 orang pemuzik tempatan dengan penyusunan lagu-lagunya yang lebih segar.
JenniferThompson akan diberi kepercayaan menerajui konsert manakala Mac Chew sebagai Pengarah Muzik untuk konsert kali ini.
“Ini kali pertama saya akan menampilkan Big Band, yang mana ia (Big Band) adalah satu konsep muzik berbeza daripada apa yang pernah saya persembahkan sebelum ini.

“Saya sendiri tak sabar dan teruja nak tengok penyusunan muziknya oleh pengarah muzik, Mac Chew. Kami pastinya akan memberikan sebuah persembahan yang menarik buat penonton,” katanya yang akan membuat persembahan selama dua jam setengah.
“Sheila Majid BIG BAND Live in Kuala Lumpur 2023 ini akan mengubat kerinduan saya kepada peminat dan begitu juga buat peminat untuk kembali berhibur dengan untaian lagu-lagu yang akan didendangkan nanti.
Peminat tidak pernah berhenti memberi sokongan buat pelantun lagu Sinaran, Pengemis Muda dan Antara Anyer dan Jakarta ini untuk tersu relevan dalam industri seni meskipun sudah lebih tiga dekad mengjadi penghibur.
Ditanya mengenai persiapan dari segi stamina, penyanyi berusia 57 tahun ini sememangnya menjadikan senaman sebagai rutin harian untuk mengekalkan tahap fizikal serta menjaga kualiti suara dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang.

Kali terakhir beliau mengadakan konsert melalui Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 yang mana tiket habis terjual, Sheila mengakui mempunyai harapan yang sama buat konsert kali ini.
Sudah pasti para peminat Dato’ Sheila Majid tidak sabar untuk menyaksikan kelainan yang bakal dibawakan olehnya untuk konsert kali ini!
Maklumat mengenai tiket boleh diperoleh di www.Jiobuddy.asia.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
1 Rejab Malam Mustajab Doa, USTAZ DON DANIYAL Kongsi 9 Aktiviti Malam Boleh Dilakukan

Sungguh indah keajaiban doa. Sesungguhnya hanya Allah Maha Mengetahui apa yang terkandung di dalam hati kita. Dia jualah yang menentukan perkara terbaik untuk kita.
Sedar tak sedar, hari ini sudah masuk hari terakhir bulan Jamadil Akhir. Saat berkumandangnya azan Maghrib maka masuknya 1 Rejab. Dan esok (23 Januari 2023) bermulalah bulan Rejab 1444H.

Pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid memuat naik satu video pendek di Instagram peribadinya menyeru umat Islam agar mengambil peluang malam terakhir bulan Jamadil Akhir ini dengan melipatgandakan amalan ibadah.

Tulis Ustaz Don Daniyal: –
“Dalam kitab As-Syafie, ia adalah malam mustajab doa. Kebiasaanya para ulama akan buat ibadah atau ‘event ibadah’ seperti berzikir, bermunajat, membaca Al-Quran.
“Maka saya menyeru kepada semua, malam ini jangan tinggal peluang untuk berdoa untuk malam mustajab doa, Insha-Allah. Selamat menyambut bulan Rejab.”
Berikut 9 cadangan aktiviti malam 1 Rejab 1444H oleh Ustaz Don Daniyal: –
1) Majlis ilmu. Dalam majlis ilmu sentiasa ada doa.
2) Majlis bacaan Yaasiin & tahlil arwah.
3) Majlis bacaan doa selamat.
4) Majlis Zikir. Zikir-zikir dalam wirid, ratib, hizib, dan lain-lain yang kita biasa baca tu, semua tu doa la tu.
5) Majlis bacaan maulid. Ini pun penuh dengan doa dan mohon syafaat Rasulullah SAW.
6) Belanja makan. Sekurang-kurang ada doa makan yang minta keberkatan. Cuma, jangan lupa doakan juga orang yang belanja kita.
7) Bagi sedekah. Bukan online saja. Pi bagi betoi-betoi nu kat rumah anak yatim ka, orang susah ka, orang miskin ka, member atau keluarga yang dalam belenggu hutang ka. Paih tu, minta depa tolong doa kat kita. Apa hajat kita, bagitahu dia. Minta tolong dia doa.
8) Perbanyak solat sunat. Dalam solat dan hujung solat, dan lepaih solat banyak momen untuk doa.
9) Baca Quran. Sambil-sambil baca ayat pasai azab, doa minta lindung. Sambil-sambil baca doa nikmat dan syurga, minta masuk. Sambil-sambil tu, ready jugak nak sambut Ramadhan. Kan?
Selamat beramal semua.
I Love You All

Selain waktu mustajab, rajinlah juga berdoa kepada Allah pada setiap masa tanpa hanya menunggu waktu-waktu tertentu sahaja kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Mengasihi.
Semoga amalan kita yang berterusan dapat diterima di sisi Allah dan dapat mempersiapkan diri kembali bertemu denganNya dengan timbangan amal yang cukup.
Kredit Foto: Instagram Ustaz Don Daniyal
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!



