Ingat lagi zaman tudung instant, sarung saja dah siap? Pada waktu tu, antara jenama gergasi yang menjadi pilihan wanita adalah Ariani, Fareeda, D’Haja, Pearl Haya serta beberapa lagi yang terkenal dengan koleksi tudung ‘awning’.
Kini meskipun trend sudah berganti, pertemuan Nona dengan pengasas D’Haja Group iaitu Ija Ahmad membuka lembaran baharu.
Sama-sama hadir memenuhi jemputan majlis bersejarah baby shower Elisya & Haq di Genting Highlands, Ija Ahmad ditemani suami, seperti biasa mesra orangnya. Seperti satu keluarga, hubungan akrab beliau dengan Fasha Sandha serta Sheila Rusly terjalin erat.
Benar kata Ija Ahmad, hubungan Nona dan D’Haja juga sudah bertaut lama. Kalau dikenang semula, teringat zaman photoshoot hijab dulu-dulu. Memang meriah betul zaman tu, macam-macam rekaan, macam-macam ragam!
Di sebalik permintaan terhadap tudung sarung yang tidak semeriah dulu, D’Haja sebenarnya terus merevolusi pasaran dengan menghasilkan tudung yang mesra haji dan umrah.
Masih mengekalkan DNA serupa iaitu potongan ‘berlapis’ menggunakan beberapa jenis kain, peminat D’Haja terus setia mendapatkan tudung eksklusif yang diasaskan oleh Ija Ahmad atau Nor Hasniza Ahmad ini.
“Sebenarnya diam-diam D’Haja tak bermakna kami dah tak berniaga. Tapi sebaliknya D’Haja masih aktif di HQ kami di Seremban 2 dan buat masa ni lebih menumpukan pada jualan online.” Ija Ahmad
Tudung sarung ini, meskipun sudah tidak sepopular dulu namun masih mempunyai pengikut setia yang tersendiri. Sifatnya yang mudah dan selesa dipakai, selain cantik membuatkan ia terus evergreen di hati penggemarnya.
Seperkara yang menarik, wanita berusia 41 tahun ini pantang mengalah biarpun trend tudung silih berganti. Antara ikhtiar beliau mempertahankan empayar bisnes sejak tahun 2008 itu adalah dengan mempelbagaikan produk selain hijab, seperti ‘Pewangi Fasha Sandha by D’Haja’ serta ‘RTW Rita by D’Haja’.
Selain itu, Ija Ahmad juga fokus memasarkan produk penurunan berat badan yang dihasilkan oleh D’Haja Beauty iaitu C Hat Dietz. Ligat sungguh beliau mempromosikan produk ini selepas berpuas hati dengan kesannya.
Semoga semua usaha Ija Ahmad dalam melebarkan empayar bisnes D’Haja dipermudahkan dan diberikan rezeki yang melimpah ruah.