Sebagai rakyat jelata kita pasti akan tertanya-tanya apakah menu santapan harian Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Pada kita, pasti akan membayangkan baginda berdua sering bersantap di hotel mewah dan menikmati hidangan ‘bandar’ mahupun western sahaja setiap hari.
Tukang masak Istana Abdulaziz, Hasnah Koming yang kini berusia lewat 60an pernah mendedahkan kepada Bernama, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebenarnya peminat masakan Melayu dan gemar bersantap masakan yang disediakan di istana.
Hasnah juga mengakui Seri Paduka berdua tidak cerewet dalam memilih juadah santapan harian. Antara lauk yang biasa dihidangkan ialah Opor Pahang. Opor, sama ada menggunakan bahan utama ayam, daging atau burung adalah juadah kegemaran Sultan Abdullah selain ikan patin masak tempoyak, kari ikan dan ikan masak taucu.
“Tunku Azizah pula gemar bersantap masak kicap, asam pedas atau stew daging. Untuk sayur, kegemaran baginda berdua adalah petola tumis air, sayur campur goreng, sawi masak sos tiram dan kobis masak lemak.
“Ramai yang sukar percaya bila saya katakan juadah kegemaran Tuanku adalah lauk-pauk ringkas. Mereka beranggapan menu di Istana Abdulaziz istimewa setiap hari,” katanya.
Hasnah secara berseloroh mengakui beliau tidak pandai memasak juadah yang rumit kerana kemahiran yang ada padanya diperoleh secara ‘tidak rasmi’ selepas diterima masuk bekerja pada 1980 di Istana Abu Bakar, Pekan sebagai pembantu dapur.
Dari situ, Hasnah mula mempelajari selok-belok memasak daripada tukang masak sebelumnya, dan kini ‘tradisi’ itu diturunkan pula kepada pembantu dapur yang lebih muda.
SERASI DENGAN SELERA SERI PADUKA
Kerana sudah terlalu lama memasak, Hasnah yang digelar ‘Mak’ dalam kalangan kakitangan istana yang bersara pada 2015 dititahkan untuk kembali bekerja kerana air tangannya sudah serasi dengan selera Seri Paduka.
“Jika memasak untuk Sultan Abdullah, kepedasannya di tahap sederhana berbanding Tunku Azizah yang memang kuat (makan) pedas. Jadi, kita kena tahu bagaimana untuk menyeimbangkan rasa pedas supaya Tuanku berdua boleh bersantap hidangan yang sama,” katanya.
Hasnah yang mengakui kehebatan Tunku Azizah di dapur berkata baginda juga tidak pernah murka jika masakan hari itu ‘tidak menjadi’, sebaliknya akan menegur dengan lembut supaya kesilapan tersebut tidak berulang.
Tunku Azizah juga, menurut Hasnah, banyak menurunkan ilmu mengenai masakan Johor kepadanya selain tangkas di dapur termasuk semasa menyediakan hidangan dalam kuantiti yang besar untuk majlis di Istana.
Katanya, Sultan Abdullah amat menggemari ‘juadah rumah’ sehingga Seri Paduka lazimnya akan bersantap sebelum berangkat ke sesuatu majlis atau jika kesuntukan waktu, akan menjamah hidangan selepas pulang ke istana.
“Baginda juga tidak suka membazir. Jika pada sebelah malam saya memasak kari, kuahnya akan dipanaskan pada keesokan hari untuk Tuanku bersantap dengan roti canai atau capati,” katanya.
Menurut Hasnah, dapur istana mula beroperasi bagi santapan tengah hari kerana sarapan baginda sama ada nasi lemak, roti canai atau capati dibeli manakala kuih seperti karipap, jemput-jemput pisang dan kuih talam dijadikan pilihan minum petang.
BAWA BEKAL KE LUAR NEGARA
Berkongsi cerita, Hasnah berkata Sultan Abdullah lazimnya akan membawa ‘bekal’ jika ke luar negara terdiri daripada sambal bilis kacang dan rendang dendeng manakala Tunku Azizah gemar membawa acar buah.
Hasnah berkata sambal belacan resepi Tunku Azizah sering dijadikan buah tangan kepada rakan terdekat dan pembesar sama ada di dalam atau luar negara.
“Mereka yang sudah tahu mengenai sambal belacan ini pasti akan mencarinya jika datang ke Istana Abdulaziz. Biasanya kami pastikan stoknya setiasa ada di peti ais, di simpan dalam balang-balang kecil.
“Di sini, kami gelarkan sambal belacan itu sebagai sambal belacan dunia kerana telah berjalan ke pelbagai tempat. Malah ada masanya rakan-rakan Tunku Azizah akan bertanya jika stok mereka habis,” katanya.
Sumber: Bernama