Perkenalan Nona dengan kerabat Kelantan, Tengku Adura Tengku Abdullah awalnya bermula ketika beliau ditampilkan sebagai wajah Tetamu Diraja. Sambil ditemani Mamanya iaitu Tengku Maimun, Adura yang ketika itu bekerja dalam bidang media dan pengiklanan, terasa begitu menyenangkan.
Sejak persahabatan terjalin, banyak acara penting dalam kehidupan Adura yang berdarah diraja Kelantan ini menjadi inspirasi Nona. Antaranya kisah percutian di Croatia, majlis perkahwinan Adura dengan jejaka kesayangan, Ahmad Kamil serta terkini, kemasyhuran Kisses Cream iaitu bisnes kek pavlova Adura yang menjadi sebutan ramai.
Tengku Adura Tengku Abdullah
Rangup di luar tapi lembut di dalam, padat toppings buah-buahan dan kemanisannya… ah, secukup rasa. Memang terbukti sedap pavlova buatan Adura.
Bagi yang pernah merasa, percayalah pasti akan memesannya berkali-kali. Inilah signature Kisses Cream yang menjadi kegemaran ramai khasnya yang tinggal berdekatan Taman Tun Dr Ismail.
Terpanggil untuk berkongsi kisah kejayaan Kisses Cream, Adura membuka cerita sebenar yang membuatkan beliau sanggup berhenti kerja dan menjalankan bisnes kek pavlova sepenuh masa di rumah.
“Mulanya hanya suka-suka sebagai hobi. Tapi keadaan semasa membuatkan hobi ini bertukar kerjaya. Kepuasan datang bila saya dapat buat customer happy dan seronok. It’s not just about selling something but the stories and relationships built with customers membuatkan saya rasa sangat puas,” ceritanya.
Selain mampu menjana pendapatan sendiri, Adura juga lebih puas apabila dapat meluangkan lebih banyak masa berkualiti di rumah. Lebih-lebih lagi semenjak mendirikan rumah tangga pada awal tahun ini.
Bahan yang digunakan adalah premium dan segar
“Disebabkan pandemik COVID-19 yang membuatkan ekonomi tak menentu, banyak kerjaya pun turut terjejas.
So I took a leap of faith and decided to turn my baking hobby into a full time job. Less stress, tak payah layan stres yang tak patut! And I get to spend more time with family at home, itu memang bonus!”
Kini segalanya di hujung jari termasuklah ilmu kemahiran membakar kek pavlova yang dipelajari oleh Adura. “Ya, percaya atau tidak, saya hanya belajar di YouTube. But years of practice makes me better and better.
Keistimewaannya, pavlova saya lain daripada pavlova yang sedia ada. Terutamanya sebab ia kurang manis dan customer boleh pilih sendiri nak topping apa. Ia customisable ikut selera masing-masing,” terang Adura penuh teruja.
Kek-kek pavlova Kisses Cream dihasilkan sendiri oleh Adura dengan dibantu oleh Mamanya dan suami tersayang. “My mom and my husband are my biggest supporters and they help me a lot daily. Lebih senang bila dibantu family because we can bond at the same time.”
Adura bersama ibu dan abang-abang tersayang
Kisses Cream dijalankan secara online menggunakan Facebook dan Instagram @kissescream. Namun kesedapannya menular, menjadi buah mulut dan banyak ditempah oleh kafe-kafe terkenal di sekitar ibu kota. Keramahan Adura juga membuatkan beliau cepat disenangi dan ramai pelanggan yang repeat order, menjadi sahabat barunya.
Impian dalam bisnes ini… “Saya harap suatu hari nanti dapat memiliki studio baking dengan pembantu supaya dapat memenuhi permintaan dan tempahan @kissescream yang sangat banyak. Mungkin selepas adanya studio sendiri, kami dapat menembusi ke lebih banyak tempat di luar Lembah Klang.
Yang penting, to be able to do what I love everyday and not work!” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Di sebalik kejayaan seorang lelaki pasti ada seorang wanita hebat di belakangnya. Genap berusia 65 tahun pada 16 Februari lalu, pesona Emine Erdogan selaku First Lady Turki nyata menyenangkan hati seluruh rakyat. Apatah lagi selepas suaminya berjaya mengubah kembali status bangunan ikonik Hagia Sophia menjadi masjid pada 10 Julai lalu. Sudah tentu, Emine yang sudah lebih empat dekat ‘menghuni’ hati Erdogan turut terkena tempias populariti suami tercinta yang menjadi bualan umat Islam seluruh dunia ketika ini.
Sebelum ini, Emine turut dilaporkan pernah bertemu dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semasa menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 pada 18 Disember lepas. Saling menghormati dan berpenampilan muslimah sejati, kemunculan Emine turut mendapat perhatian rakyat Malaysia.
Beliau yang dilahirkan di Istanbul bukan hanya dikagumi rakyat Turki kerana sifat ramah dan penyayang bahkan turut aktif menceburi bidang sosial, kebajikan dan politik. Penglibatan wanita berusia 65 tahun ini dalam dunia kebajikan sudah mula berputik sebelum beliau menyandang jawatan Wanita Pertama Turki lagi. Menariknya, kegiatan Emine dalam bidang berkenaan semakin rancak selepas mendirikan perkahwinan bersama Presiden Turki berkenaan pada 4 Julai 1978.
Baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan ke-42 pada 4 Julai lalu, pasangan diplomat ini dikurniakan empat orang anak iaitu dua perempuan dan dua lelaki. Anak sulung mereka Ahmet Burak Erdogan berusia 41 tahun, diikuti Necmettin Bilal Erdogan, 39 tahun, Esra Erdogan, 37 tahun dan anak perempuan bongsu yang pernah berkhidmat bersama bapanya sebagai ketua penasihat presiden pada tahun 2013 iaitu Sumeyye Erdogan berumur 35 tahun.
Meskipun kerap bertemu pemimpin-pemimpin dunia dan menjalani kehidupan mewah namun Emine tetap mempamerkan sisi seorang muslimah yang hebat. Memiliki darah keturunan Arab, Emine Erdogan sentiasa membuka mata masyarakat khususnya dalam kalangan isteri pemimpin dunia dengan penampilannya yang sopan dan menutup aurat. Malah, beliau juga gemar mengenakan persalinan labuh, longgar serta bertudung litup. Aura Emine mampu membuatkan kaum wanita menoleh ke arahnya beberapa kali.
Ketika kunjungan Emine dan suaminya ke Malaysia… beliau kelihatan selesa dan mesra bertemu Raja Permaisuri Agong, isteri Perdana Menteri, dan Timbalan Perdana Menteri. Pakaian yang digayakan juga sederhana dalam segala segi. Antara isteri pemimpin dunia yang pernah menerima kunjungan Emine ialah bekas isteri Barrack Obama iaitu Michelle Obama, isteri Donald Trump; Melania Trump, Ratu Jordan iaitu Ratu Rania dan isteri Perdana Menteri Jepun, Akie Abe.
Selain memperjuangkan nasib golongan kanak-kanak dan wanita di negaranya, Emine berkongsi persamaan seperti suaminya yang lantang menyuarakan pandangan terhadap isu penindasan umat Islam di seluruh dunia. Salah satu daripada ribuan kempen kanak-kanak dan wanita yang diadakan Emine ialah ‘Mothers and Daughters at School’ yang membuka peluang kepada golongan ini mendalami bidang akademik dan menguasai kebolehan membaca serta menulis.
Enggan berpuas hati dengan kejayaan itu, beliau seterusnya menyertai persidangan antarabangsa ‘Women in Business Life’ sebagai tanda sokongan kepada penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan dan politik.
Paling menyentuh perasaan adalah ketegasan beliau membela nasib dan mengekang penindasan terhadap umat Islam seperti yang berlaku di Gaza, Myanmar dan Pakistan. Terpanggil untuk membantu saudara sesama Islam, Emine dan Recep Tayyip Erdogan telah pergi ke Myanmar pada tahun 2012 semata-mata untuk memberi bantuan kemanusiaan
kepada etnik minoriti Islam Rohingya biarpun berdepan ancaman keselamatan di sana.
Semoga Emine dan Presiden Turki ini terus menjadi suara pembela umat Islam di seluruh dunia dan diharapkan agar usaha serta kebaikan yang ditonjolkan menjadi suntikan inspirasi kepada semua.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tumpang bangga apabila wanita pertama yang menyandang jawatan Ketua Hakim Negara iaitu Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat menerima penganugerahan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam. Beliau yang merupakan Ketua Hakim Negara ke-10 dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkita (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’ sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.
Mengimbas kembali momen bersejarah tersebut, Tun Tengku Maimun bersama Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Tun Dr Arshad Ayub mendahului senarai 829 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2020 yang berlangsung di Istana Melawati, Putrajaya.
Kemunculan Tun Tengku Maimun sememangnya menarik perhatian masyarakat sejak beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada awal Mei 2019. Lebih setahun menggalas tanggungjawab tersebut dengan sebaik mungkin, kelibat wanita hebat ini sering kelihatan dalam istiadat rasmi. Misalnya, ketika Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpat Jawatan Perdana Menteri Ke-8 pada Mac lalu… penampilan Tun Tengku Maimun yang mengenakan tudung bawal merah jambu dan berbaju kurung turut mencuri tumpuan.
Apatah lagi dengan raut wajah manis dan lesung pipit yang dimiliki membuatkan ramai wanita mengagumi keperibadian Tun Tengku Maimun. Meskipun kecil molek saja orangnya tapi kebijaksanaan Tun Tengku Maimun mengendalikan hal berkaitan perundangan tidak perlu dipertikai lagi. Beliau diberi kepercayaan menjadi Ketua Hakim Negara selepas Tan Sri Richard Malanjum bersara pada 12 April 2019.
Kredit: Instagram Istana Negara
Mengintai latar belakang Ketua Hakim Negara yang berusia 61 tahun ini, Tun Tengku Maimun yang dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan pernah memegang jawatan seperti Majistret, Hakim Mahkamah Sesyen, Peguam Persekutuan dan Penolong Kanan Pendaftar serta Pegawai Khas kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Beliau merupakan siswazah lulusan Universiti Malaya yang memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (KESEDAR) pada tahun 1982. Memetik infomasi dari Bernama, pada 2 Oktober 2006 hingga 4 September 2007 Tun Tengku Maimun merupakan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kemudian beliau dilantik menyandang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selama hampir empat tahun bermula 5 September 2007 hingga 31 Mac 2011.
Pada April tahun yang sama hingga 7 Januari 2013, Tun Tengku Maimun pernah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Selangor seterusnya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya yang berkhidmat selama hampir lima tahun bermula 8 Januari 2013 hingga 25 November 2018. Tidak hanya terhenti di situ, Tun Tengku Maimun turut menerima pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan Putrajaya mulai 26 November 2018 hingga 1 Mei 2019 sebelum diangkat sebagai wanita pertama dilantik selaku Ketua Hakim Negara.
Berikut ringkasan fakta menarik Tun Tengku Maimun sebagai ketua bagi institusi kehakiman di Malaysia.
1. Ibu kepada empat orang anak ini merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) di Universiti Malaya.
2. Pernah bertugas di Jabatan Peguam Negara, Majistret dan Mahkamah Sesyen, sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada tahun 2006.
3. Memulakan kerjaya pada tahun 1982 sebagai Pegawai Undang-Undang, Lembaga Kemajuan Kelantan (KESEDAR).
4. Pernah memegang jawatan sebagai Pegawai Khas Hakim Besar Malaya dan Ketua Hakim Negara.
5. Menghakimi pelbagai kes berprofil tinggi seperti kes melibatkan kematian Altantuya Shaariibuu, M. Indira Gandhi, Karpal Singh dan Datuk Seri Najib Razak.
Sumber: Astro Awani & Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pertama kali menjenguk ke bangunan pejabat dua tingkat milik IDW Design & Build Sdn Bhd di Shah Alam, timbul satu perasaan mengujakan. Berselindung di sebalik perumahan elit, pejabat moden IDr Lokman Hakim Ahmad Subki dan IDr Rabiatul Adawiyah Rasol ini memukau pandangan tetamu yang bertandang.
Rasa bangga dan kagum bersatu, pencapaian luar biasa pasangan anak muda Melayu itu benar-benar mengangkat prestij dunia rekaan hiasan dalaman ke peringkat tertinggi!
Damai petang diselang-seli rasa dingin penyaman udara menemani bicara saya bersama Pengasas dan Pengarah Urusan IDW, Lokman Hakim. Orangnya mesra dan menyenangkan, begitulah keperibadian beliau sepanjang sesi fotografi berlangsung.
Berusia 36 tahun, lelaki asal Kuala Lumpur itu tampak cukup profesional memimpin barisan pengurusan, sementara isteri, Rabiatul Adawiyah pula sangat mahir dalam menguruskan operasi syarikat.
Lokman dan Rabiatul di hadapan bangunan IDW Design & Build
“Semuanya bermula ketika kami berusia 21 tahun. Kami berdua menubuhkan syarikat pembinaan dan reka bentuk dalaman IDW Design & Build Sdn Bhd pada tahun 2007, setepatnya selepas menamatkan pengajian dalam Diploma Reka Bentuk Dalaman di UiTM Shah Alam.” Lokman Hakim
Lebih dari sekadar teman hidup, Lokman dan Rabiatul juga merupakan rakan kongsi yang sama-sama memerah idea dan keringat membangunkan IDW.
“Alhamdulillah dengan izin Allah, kami mampu berkembang pesat sewaktu pandemik. Bangunan kedai ini dibeli pada April 2020 dan kami mula berpindah pada tahun 2021.
Daripada berbelas-belas orang pekerja, sekarang dah meningkat jadi 60 orang. Asbab pandemik, revenue meningkat dan syarikat membesar tiga kali ganda.
Namun mengendalikan bisnes pada waktu itu memang mencabar. Mujurlah kami dah buat persiapan mental menghadapi kemelesetan sejak tahun 2018-2019, cuma saja kita tak tahu apa bentuknya. Tiba-tiba, wabak COVID-19 menular.” Rabiatul
Lokman menyifatkan Rabiatul sebagai pasangan hidup yang paling serasi
Tambah pasangan ini lagi, bayangkan setiap hari mereka adakan mesyuarat Zoom semasa PKP berkuat kuasa.
“Kami berbincang sesama team, pendek kata waktu ni semua orang ikhtiar buat sales.
Masing-masing akan hubungi klien dan berinteraksi dengan prospek pelanggan yang bertanya soalan di media sosial. Kami juga aktif di Instagram dan banyak adakan sesi Live dengan selebriti.
Masa itu juga kami terbitkan sebuah buku kompilasi – IDW Design Collections – yang mengumpul lebih 200 rekaan dalaman dan dekorasi untuk inspirasi pembaca.
Banyak karya IDW dari projek terdahulu yang boleh dimuat turun, sekaligus memudahkan mereka yang ingin menghias rumah untuk berurusan dengan kontraktor.” Lokman Hakim
Tonton video temu bual eksklusif Majalah Nona bersama penerima anugerah Nona Best Interior Designer ini…
FOKUS
Tambah Lokman, beliau banyak membuat forensik terhadap kejayaan syarikat-syarikat gergasi yang berjaya melalui saat sukar recession.
Segala fokus dan tenaga ditumpukan ke arah cara untuk memajukan lagi perniagaan serta tidak panik dengan ujian yang diturunkan-Nya.
“Dalam keadaan gawat, kes COVID-19 meningkat dan seluruh ekonomi lumpuh, rutin harian kami boleh dikatakan sangat padat. Setiap hari kami bangun jam 4 pagi, baca Yassin dan buat sesi ‘morning booster’ dengan mentor.
Kami senaraikan rancangan 5, 10 dan 15 tahun akan datang supaya tetap fokus dan tidak tergugat dengan krisis kesihatan yang meruncing waktu tu.
Saya sentiasa pegang satu pesanan. Sebagai orang Islam, jagalah hubungan kita dengan tiga perkara, iaitu dengan Allah SWT, ibu bapa dan orang sekeliling.
Karakter Lokman Hakim menjadi pemacu kejayaan IDW
Lagi ‘kuat kabel’ kita dengan mereka, lagi banyak rezeki Allah bagi dalam bentuk yang tak disangka-sangka.
Saya juga banyak belajar supaya memaafkan. Jangan menghukum walaupun teraniaya. Sebenarnya lagi cepat kita maafkan orang, lagi cepat Allah akan tolong kita.” Lokman Hakim
Sebagai anak bongsu, Lokman diasuh dari kecil supaya banyak bersabar, mengamalkan slow talk dan sentiasa berurusan secara bijak dalam pelbagai perkara.
Sifat dan tingkah laku lelaki hebat ini diakui sendiri oleh Rabiatul yang sedari sejak awal lagi menjadi pendengar setia.
“Sebenarnya ada banyak ciri-ciri kepimpinan dalam diri Lokman. Tapi sebagai isteri, saya yakin rahsia kejayaan kami terletak pada diri dia sendiri yang sangat taat pada ibu bapa.
Keberkatan dan keuntungan daripada sifat taat itu terlihat apabila banyak rancangan kami menjadi. Selain itu, dia juga seorang yang sangat persistent. Apa yang dia nak, dia akan dapatkan.
Sebagai pasangan, Lokman adalah seorang bapa dan suami yang sangat penyayang. Bagi saya, dia di pejabat adalah ketua, di luar sebagai kawan dan di rumah sebagai suami.”
Ceritanya lagi, perkhidmatan IDW tidak terhad sekadar mereka hias kediaman semata-mata, tapi meliputi projek resort, pejabat dan institusi pengajian.
Saya dan Lokman sentiasa menanam collaborative mindset. Kami sama-sama buang ego ketika bekerja. Dalam mesyuarat, kami adalah rakan sepasukan yang profesional dan jika berlaku masalah, kami adakan brainstorming untuk memikirkan jalan penyelesaian. Bukan sebaliknya. Cara berkomunikasi tu sangat penting bagi mencapai tujuan utama.”
Tak terbawa-bawa urusan kerja ke rumah? Tanya penulis... “Bukan di rumah je, ke mana-mana pun tetap terbawa-bawa!” seloroh Rabiatul dan Lokman yang sama-sama meminati dunia rekaan.
BERI MANFAAT
Meninjau dekorasi kamar pejabat Lokman dan Rabiatul, setiap satunya mencetus sensasi nyaman yang berbeza.
Suasana yang out of the ordinary, berbau harum dan terhias indah bagai membias personaliti kreatif mereka. Gantungan lukisan, lampu gantung dan permaidani abstrak memancing pandangan dengan penuh keasyikan.
Kala diamati, jiwa Pengarah Urusan IDW ini nyata mewah dengan seni. Sambung Lokman, “Asalnya sejak kecil lagi saya teringin nak jadi juruterbang. Tapi atas faktor kewangan dan latar belakang keluarga saya yang susah, minat itu terkubur saja.
Pernah juga saya ditawarkan jawatan sebagai tentera udara, tapi ibu pula tak izinkan.
Jadi saya beralih ke bidang interior design. Minat terhadap seni dekorasi mula menebal sejak saya mengambil Diploma, bertemu isteri, menubuhkan syarikat, berumah tangga, beranak-pinak dan kini kami berdua masih melanjutkan pengajian.
Dah 20 tahun, tapi minat terhadap seni halus ini tak pernah padam,” cerita Lokman yang sedang bertungkus-lumus menghabiskan pengajian PhD in Built Environment dan pernah bergelar pensyarah.
Banyak pencapaian hebat IDW Design & Build sepanjang 14 tahun ditubuhkan. Namun seperti peribahasa, yang bulat tidak datang bergolek, begitu jugalah banyaknya usaha serta ujian yang ditempuhi untuk mencapai kejayaan hari ini.
Pengalaman jatuh bangun syarikat mendewasakan mereka berdua, namun akhirnya dengan bantuan mentor yang tepat, perniagaan mereka kembali ‘memecut’ di atas landasan.
Bercakap tentang tokoh perniagaan yang disegani, Lokman bingkas memetik dua nama insan yang cukup dikaguminya. “Sudah tentu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary dan Datuk Wira Dr Azizan Osman. Kedua-dua insan ini adalah pemimpin yang mementingkan dunia-akhirat serta banyak melakukan amal kebajikan.
Saya suka mengambil teladan dan inspirasi daripada buku-buku bibliografi mereka berdua. Sambil membaca sambil belajar cara berniaga. Teringat satu kisah tentang bagaimana Tan Sri Syed Mokhtar sangat dihormati di kampungnya.
Bayangkan kalau beliau balik kampung, kepulangan itu dianggap macam ‘lailatulqadar’ dek kerana sifat pemurah yang dimiliki! Atap yang bocor dibaiki, lantai yang roboh diganti. Begitulah sifat usahawan Melayu berjaya yang cukup saya kagumi.”
Lokman menjadikan sikap positif billionnaire, Tan Sri Syed Mokhtar sebagai inspirasi
Terkadang, suatu amalan kebaikan perlu disembunyikan dari pengetahuan orang. Ibarat datang, beri dan pulang. Tak perlu kamera atau pujian berjela.
Terkesima penulis mendengar sifat dermawan yang dimiliki Lokman, sungguh pada usia semuda ini, beliau tekun menyemai ladang pahala di akhirat sana!
“Sebenarnya saya amat jarang berkongsi hal ini. Urusan sedekah bukan untuk dizahirkan, apa lagi dijadikan modal marketing. Namun sebagai tanda IDW memberi semula kepada masyarakat, kami kerap juga menyalurkan bantuan kepada masjid-masjid dan surau di serata negeri.
Tapi saya paling suka membiaya pengajian anak-anak yang memerlukan, supaya ilmu itu berpanjangan sampai ke generasi akan datang.”
IMPIAN
Tekad untuk menjadikan IDW Design & Build sebagai satu-satunya syarikat bumiputera di Malaysia yang menjadi pilihan pelanggan, Lokman dan Rabiatul gigih membuktikan keupayaan mereka setiap kali menguruskan projek.
“Tak dinafikan wujudnya stigma negatif dari dulu lagi. Sewaktu kami mula-mula bisnes, ramai yang memperlekehkan kerja orang Melayu yang dikatakan tak setanding bangsa lain.
Inilah yang kami cuba ubah dalam industri, dapatkan semula kepercayaan bahawa hasil kerja Bumiputera juga sebenarnya sangat bagus dan berkualiti tinggi.”
Jadi klien kena sediakan bajet kayangan? Usik penulis disambut senyuman Rabiatul. “Tak juga. Sebenarnya IDW dipecahkan kepada dua – craftmanship level atau yang disebut BESPOKE, dan satu lagi DREAMHOME iaitu sentuhan pereka hiasan dalaman untuk semua jenis rumah.
Kami gunakan prinsip syarikat penapis air Coway iaitu mampu milik untuk semua orang. Semua mampu upah IDW untuk mengindahkan kediaman masing-masing.”Rabiatul Adawiyah
Menjadikan hobi melancong sebagai cara mengeratkan hubungan, pasangan merpati dua sejoli yang berumah tangga sejak 2012 ini kerap menghabiskan masa setiap hujung minggu untuk berjalan ke merata tempat. Terbaharu, mereka mengambil peluang terbang ke Dubai untuk meninjau kepesatan dunia rekaan dan dekorasi di Timur Tengah.
“Ya, sebagai designer kami berdua mesti selalu mengambil tahu perkembangan seni dunia. Inspirasi dari tempat-tempat yang dilawati menjadi karya terindah di IDW.
Kesempatan ini juga dapat membuka fikiran kami sambil berehat seketika dari kesibukan kerja.” Lokman Hakim
Sebagai penerima Nona Best Interior Designer Award dan Nona Best Men’s Innovative Interior Designer Award dalam acara Nona Superhero Award, pengiktirafan yang diberikan kepada Lokman Hakim dilihat amat tepat pada masanya.
Seorang lelaki berwawasan tinggi dan berada di kemuncak kerjaya, figura bapa kepada tiga cahaya mata ini amat sesuai mewakili generasi lelaki Alpha yang bijak, cekal, berjiwa pemimpin dan pandai mengimbangi kehidupan secara holistik.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Norezz Idris
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!