Tidak kira siapa pun kita atau tinggi mana pun pangkat kita, menunaikan rukun Islam yang kelima adalah puncak kepada segala ibadah. Sudah pasti mengerjakan ibadah haji di bulan Zulhijjah menjadi idaman setiap muslimin dan juga muslimat kerana ganjarannya yang begitu besar.
Datin Seri Umie Aida adalah antara insan bertuah kerana telah terpilih menjadi salah seorang Duyufurrahman ataupun tetamu Allah SWT pada musim haji tahun ini. Datin Seri Umie Aida bakal berangkat ke Tanah Suci Makkah pada 4 Ogos ini.
Mengerjakan ibadah haji buat kali pertama, Datin Seri Umie Aida akan ditemani oleh suaminya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Kongsi Datin Seri Umie, “Ketika mengerjakan umrah, Januari lalu, saya berdoa bersungguh-sungguh supaya Allah meluaskan rezeki dan diberi peluang kembali ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji pula.
Alhamdulillah, doa saya diperkenankan. Saya berharap diberikan Allah kesabaran dan kekuatan untuk melaksanakan segala rukun dengan sempurna.
Peluang itu juga saya manfaatkan sebagai ruang untuk muhasabah diri kerana setiap tetamu Allah pasti ingin pulang bersama haji mabrur. Saya mahu kembali ke tanah air nanti menjadi insan yang lebih baik,” kata Datin Seri Umie Aida bersungguh.
Menurut adik kepada Erma Fatima ini, beliau mengharapkan diberikan kesihatan yang baik dan dapat menyempurna ibadah haji dan mendapat haji yang mabrur.
“Teruja sebenarnya atas peluang dan kesempatan ini. Secara peribadi, saya sudah tidak sabar mahu ke sana, malah sedang membilang hari menanti waktu Wukuf. Saya harap sangat diberikan Allah kesihatan yang baik untuk merasai nikmat paling berharga ini,” kata Datin Seri Umie Aida.
Sumber: Berita Harian; Foto: Instagram @umieaida9
This website uses cookies.