Kagum dengan kesungguhan Profesor Madya Dr Soo Wincci yang gigih berpuasa di bulan Ramadan setiap tahun. Dalam keterujaan seluruh umat Islam menyambut bulan mulia, selebriti popular yang juga Miss World Malaysia 2008 ini turut tidak mahu ketinggalan menjalani amalan puasa ini bersama-sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
Menariknya, tahun ini merupakan tahun ke-12 Wincci berpuasa! 12 tahun nyata bukan tempoh singkat dan kemampuan Wincci menahan lapar dan dahaga selama sebulan membuktikan sikap komited jelitawan ini terhadap sesuatu perkara.
Pastinya Wincci merasai kelebihan berpuasa itu sendiri hingga sanggup meneruskan amalan berkenaan lebih sedekad.
Turut bersahur awal pagi sebelum masuk waktu Subuh dan berbuka puasa pada waktu Maghrib, Wincci yang bakal menginjak usia 38 tahun turut mengajak peminat bersahur secara online bersama-sama.
Demi memastikan tidak terlewat masa untuk bersahur dan berbuka, Wincci turut memuat naik jadual waktu solat bulan Ramadan 1444 Hijrah 2023 Masihi bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di media sosial miliknya.
Mengikuti perkembangan kerjayanya, Wincci pada April tahun lalu memulakan tugas sebagai pensyarah serta pengkaji kedoktoran di Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Kesungguhan Wincci berpuasa ini nyata mendapat reaksi positif daripada peminat khususnya mereka yang beragama Islam. Atas semangat kekitaan sebagai rakyat Malaysia, dia secara sukarela mahu ‘meraikannya’ bersama.
Prof Madya Dr Soo Wincci memang tidak pernah lelah menyuntik inspirasi kepada masyarakat. Selain memiliki peribadi yang baik, dia juga wanita pintar dan berjiwa besar.
Sebelum ini namanya terpahat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya mencipta dua rekod iaitu sebagai Ratu Cantik Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak dan Artis Rakaman Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak.