Hebat betul penangan pempengaruh media sosial, Khairul Amin Kamaruzzaman dalam kehidupan staffnya! Mana tidaknya, meskipun sudah memberikan bonus dan duit raya sempena Aidilfitri yang baharu melabuhkan tirainya minggu lalu, nampaknya beliau terus ‘memanjakan’ pekerja kilang sambalnya.
Kali ini, kesemua 60 pekerjanya dibawa bercuti selama lima hari di Langkawi, Kedah.
Beliau memuat naik perkongsian di halaman Instagram @Khairulaming, usahawan berusia 30 tahun itu telah menutup operasi kilangnya selama lima hari bagi merealisasikan hasrat percutian tersebut.
Percutian ke Langkawi itu bukanlah percutian biasa-biasa sahaja kerana dia turut menyediakan penginapan di hotel bertaraf lima bintang, jetski dan pelbagai aktiviti air menarik yang lain termasuk menyewa kapal persendirian untuk melihat matahari terbenam.
Malah kesemua pekerjanya itu sekali lagi mendapat ‘bonus’ yang diberikan untuk mereka membeli-belah di sekitar pulau yang dikenali sebagai pulau bebas cukai itu.
Baginya, setiap yang dilakukan itu adalah untuk memberi kegembiraan dan sebagai penghargaan kepada para pekerjanya yang banyak menyumbang terhadap kejayaan perusahaan yang dijalankan.
“Alhamdulillah semua staff happy,” tambahnya.
Sebelum ini, Khairulaming telah membuat kejutan raya kepada pekerjanya dengan membawa mereka membeli-belah untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri serta berbuka puasa di hotel di samping memberikan mereka bonus Hari Raya.
Dalam posting sebelum ini, Khairulaming pernah memberi bayangan untuk membawa kesemua pekerjanya bercuti. Semoga semakin murah rezeki majikan yang sentiasa meletakkan hubungan yang baik dengan staf ini!
This website uses cookies.