Kejayaan tidak datang bergolek. Menjadi usahawan bukan hanya perlu ada jiwa yang kental tetapi juga memerlukan usaha berterusan dan berani mengambil risiko. Yakin mampu mencapai impian yang diidamkan selama ini, Hasnini Mohd Rudi atau mesra disapa Nini Rudi terpanggil untuk berkongsi pengalaman.
Walau berpengalaman luas dalam bidang kecantikan namun Nini dalam nada rendah diri mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari.
Meniti usia 39 tahun, pengasas Nini Rudi Premium Sdn Bhd seorang yang optimis dalam mengejar tujuan hidup. Dedah isteri Abdul Razak Alwi @ Kassim ini, sejak di bangku sekolah lagi dia sudah mula meminati kecantikan sampai sanggup meluangkan masa berjam-jam hanya untuk meneliti sesuatu produk kosmetik. Malah dia juga memasang impian untuk menjadi peneraju industri kecantikan dan mahu mendidik masyarakat mengenai penggunaan kosmetik berbahaya.
“Saya berasal dari Gelang Patah, Johor. Sebelum ini ibu saya pernah bekerja sambil berniaga tapi sejak pandemik melanda, kontrak ibu ditamatkan. Arwah ayah pula berasal dari Kelantan yang berhijrah ke Johor kerana tuntutan tugas sebagai anggota polis.
Saya mempunyai pengalaman dalam industri kecantikan selama 20 tahun dan mempunyai Diploma dari ITEC atau Majlis Peperiksaan Terapi Antarabangsa dalam jurusan Anatomy & Physiology, Holistic Massage & Professional Business Awareness. Sepanjang menjadi terapi kecantikan, saya juga pernah dapat peluang sambung belajar di CEPP atau kini dikenali sebagai Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) UTM Skudai, Johor.
Habis belajar, saya cari lebih banyak pengalaman kerja di sebuah pusat kecantikan Aster Spring Dermalogica Malaysia di KLCC. Di sana saya belajar banyak perkara berkaitan dunia kecantikan. Selain itu, saya juga pernah bekerja sambil belajar di Singapura dalam bahagian hair waxing dan manicure pedicure.”
Berbekalkan minat dan pengalaman, Nini tekad mahu mengusahakan bisnes kecantikan sendiri. Menggunakan jenama Nini Rudi, syarikat perunding kecantikan yang diusahakan anak keempat daripada lima beradik ini berfungsi sebagai medium untuk mempromosi, mendorong dan mewujudkan pendidikan kepada individu atau entiti perniagaan bagi melebarkan sayap dalam industri kecantikan.
Jelas Nini, sehingga kini perniagaannya menjalankan perkhidmatan seperti pembuangan rambut di tubuh atau hair removal waxing termasuk rawatan pembersihan wajah, penjagaan kuku dan urutan badan.
Mengulas lanjut ‘titik’ pencetus yang membuatkan dia bersemangat untuk mengendalikan bisnes sendiri, Nini berkata idea tersebut datang selepas dia memenangi anugerah. “Idea untuk berniaga ini sebenarnya tercetus lepas saya menang Best Customer Services dan membawa pulang hadiah bernilai RM5, 000 beserta produk kecantikan berjenama. Dari situ, saya fikir saya patut mula berniaga walau pun secara kecil-kecilan.
Dengan modal yang kecil dan tiada tempat khusus waktu itu, saya mahu ada satu ruang kecil untuk dijadikan sebagai ‘mini spa’. Jadi bolehlah kawan-kawan atau jiran datang kalau nak buat rawatan kecantikan bila saya ada masa terluang. Hasilnya, sebagai permulaan saya ubah bilik bujang saya ketika menetap di Kajang, Selangor waktu itu untuk berbisnes sambil bekerja pada tahun 2007.
Jujurnya dalam berniaga ni, saya selesa jadikan ibu sendiri sebagai sumber inspirasi. Dia bukan saja ibu yang cekal berniaga tapi juga ada banyak kemahiran lain. Saya ingat lagi masa kecil, ibu berniaga karipap dan setiap pagi sebelum saya pergi sekolah… dia akan bangun awal untuk goreng karipap sebelum dihantar ke kedai. Tak dinafikan resipi Curry Puff Mama Razan digemari ramai sampai orang Cina di kawasan rumah kami pun suka.
Tambahan pula keadaan waktu itu tidak stabil dengan penularan wabak Covid-19 sekaligus merencatkan banyak aktiviti bisnes seumpamanya. Bagi saya, ia ibarat satu isyarat tentang situasi bisnes kecantikan ketika waktu pandemik. Walau kecewa tapi saya berfikiran positif dan ambil keputusan menjual peralatan kecantikan yang ada kepada mereka yang berminat.
Puas mengkaji keadaan perniagaan semasa, saya dapati wujud fenomena baharu dalam perniagaan masa kini iaitu secara online. Ia seolah-olah bagi nafas baharu kepada bisnes kecantikan agar boleh terus berkembang menerusi platform digital.
Sedar kehendak pasaran dan permintaan semasa yang lebih menguntungkan secara online, saya ambil langkah berani dengan menyertai program keusahawanan sampai ke peringkat antarabangsa. Saya melihat bidang keusahawan ini sebagai cabaran realiti.
Jika segelintir usahawan membelanjakan hasil pulangan mereka dengan membeli aset, saya pula lebih kepada memantapkan diri dalam ilmu kepimpinan dengan menyertai program keusahawanan di samping memberi tunjuk ajar dan khidmat kecantikan kepada mereka yang berminat.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Nini berharap segala ilmu dan pengalaman selama 20 tahun dalam industri kecantikan dapat dikongsi dan dimanfaatkan bersama golongan wanita di luar sana.
“Impian saya dalam masa 10 tahun akan datang, saya mahu membantu golongan yang kurang berkemampuan khususnya wanita menjadi masyarakat berilmu serta bijak mengendalikan teknologi masa kini menerusi syarikat yang saya usahakan. Tak kira walau berada di kampung sekalipun, mereka perlu sedar potensi diri mereka dan ada semangat untuk terus maju ke hadapan.”
This website uses cookies.