24 Mac ini, genap setahun komposer Johan Nawawi kembali ke pangkuan Rahmatullah. Terasa seperti baru semalam kita mendapat perkhabaran itu. Namun bagi insan paling rapat dengan Allahyarham, ia satu tempoh yang panjang dan berliku. Lebih-lebih lagi bagi Nora Ariffin atau nama sebenarnya Wan Noraafiza Ariffin yang mengakui hilang tempat bergantung sejak pemergian suami tercinta.
Berpeluang mendekati penyanyi bersuara lunak ini ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Kumpulan Karangkraf dan Hud Hud Media, Nora yang kini mengambil tugas arwah suami sebagai peneraju syarikat animasi berkenaan tidak mampu menyembunyikan perasaan yang bersarang di ruang kalbu. Malah, ketika diaju pertanyaan tentang kehidupannya waktu ini, tanpa berselindung dia membuka rahsia hati.
“Lepas habis iddah basically saya meneruskan apa yang telah diuruskan arwah sebelum ini. Memang agak sukar bergerak sendiri dan hidup berdikari sebagai ibu tunggal. Hendak membesar dan menyara anak-anak dalam keadaan tidak sedia dan mengejut seperti ini. Tapi saya melihat anak-anak ini sebagai peninggalan dari dia untuk saya teruskan. Dari situ saya bangun kumpul semangat hidup demi anak-anak. Kalau hendak kira perasaan sedih memang ikutkan tak mahu buat kerja semua dah, mahu duduk rumah saja. Dulu kalau bab jaga anak, saya yang uruskan. Arwah pula selesaikan hal berkaitan bisnes dan seumpamanya. Saya tak mahu anggap semua ini sebagai beban sebab ini adalah tanggungjawab.”
Berkali-kali menyatakan dia tidak punya pengalaman mengenai perniagaan dan tidak pernah menghadiri mana-mana urusan mesyuarat syarikat, Nora bagaimana pun bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar daripada rakan-rakan seperjuangan Johan. Kompas hidupnya juga berubah 360 darjah sebagai isteri dan juga ibu selain perlu memandu kereta sendiri untuk ke pejabat. Setiap hari adalah hari baru baginya untuk belajar.
“Sampai satu masa saya kena putuskan apa yang terbaik. Sama ada hendak terus merana dan menatap pemergian atau move on. Saya kena fikir positif yang dia pergi ke tempat yang lebih baik dan Allah lebih sayangkan dia. Walau pun kadang-kadang bila hendak kongsi rasa gembira dan sedih, saya tak ada tempat mengadu. Semuanya kena tempuh seorang. Tapi alhamdulillah saya dikelilingi kawan-kawan dan staf yang baik. Kekuatan saya adalah anak-anak.
Masa dalam iddah 4 bulan, saya menangis tiap hari dan malam sampai mata bengkak. Bila jumpa doktor, mata dah kabur. Waktu itu bukan saja tak mahu jumpa orang, nak cakap dengan sesiapa pun tak mahu. Anak-anak ajak keluar rumah, pergi bercuti dan ajak makan semua tak nak. Memang tak selera makan dan memasak pun tak sanggup dan tak boleh. Sampai sekarang saya tak masak sebab masih terkenangkan arwah, sebab kita yang masak dan hidangkan makanan untuk dia selama ini.
24 tahun kami hidup bersama, dia tulang belakang saya. Kalau ada yang tengok saya kongsi perasaan di IG tu bukan maksud hendak minta simpati tapi lebih kepada luahan. Selama ini saya ingat dugaan hidup saya sangat besar tapi rupa-rupanya ada yang lebih teruk lagi dan mereka pun turut kongsi masalah dengan saya. Ada juga yang anggap saya sebagai inspirasi mereka dan dari situ juga saya ambil perkara ini sebagai tanggungjawab untuk menguatkan semangat wanita lain.”
Walau sedang rancak bercerita perkembangan terbaru, sesekali jelas kelihatan air mata yang bertakung menahan sedih. Apabila ditanya apakah momen yang paling dirindukan Nora tentang arwah, pelantun lagu Hanya Satu ini tersenyum kecil. “Banyak. Paling saya rindu adlah ketika masuk bilik hendak tidur. Kami terlalu rapat dan romantik. Sebelum tidur, kami selalu akan beri good night kiss dan morning kiss bila bangun pagi. Kadang-kadang bila ada masalah dan stres, saya tak tahu dengan siapa hendak cakap. Tidur pun saya berselimutkan jubah arwah, sampai hari ini tak basuh.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Nora turut menitipkan pesanan buat para isteri agar sentiasa menghargai pengorbanan suami. Tidak kira sebesar mana pun pertelingkahan dengan suami, jangan lupa mengenang jasa mereka kerana bila-bila masa saja kita mungkin kehilangan insan tersayang.
This website uses cookies.