Uji Rashid sinonim dengan gelaran ‘penyanyi bersuara manja’ yang juga pemilik nama sebenar Fuziah Haroun Al Rashid atau nama pentasnya Uji Rashid sangatlah mengagumkan. Penyanyi legenda ini pernah menempa zaman kegemilangannya yang tersendiri sebagai penyanyi dan pelakon pada tahun 1970-an.

Ads

Sewaktu popularitinya berada di kemuncak, bukan sahaja gaya fesyen dan rambut beliau menjadi bualan, tetapi mata besar beliau turut menjadi ciri yang ikonik. Malah, sehingga kini ada sejenis ikan yang diberi nama Ikan Uji Rashid dan duit syiling 50 sen yang diberi gelaran duit Uji Rashid di Melaka. Populariti beliau ketika itu adalah sesuatu yang menjadi fenomena sehingga orang ramai mula mengaitkan namanya dengan benda-benda unik sebagai tanda penghargaan.

Uji Rashid ‘Penyanyi Bersuara Manja’

Di sebalik senyuman manis dan suara merdu yang dialunkan rupa-rupanya tersembunyi sebuah perjalanan hidup yang penuh dengan kegetiran, pengorbanan dan cinta yang mendalam terhadap keluarga serta para peminatnya. Selama 50 tahun, beliau bukan sahaja menghiburkan rakyat Malaysia, malah telah menanam benih kasih sayang yang mengikat dirinya dengan peminat-peminat setia.

Mengimbau kenangan paling sukar dilupakan Uji Rashid menyatakan dirinya trauma menyanyikan lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu kerana terkenangkan peristiwa berdarah kematian salah seorang peminat setianya yang bernama Siti Rashidah akibat kemalangan jalan raya. Arwah merupakan seorang remaja yang sentiasa mengikuti setiap persembahannya. Hubungan mereka bukan sekadar peminat dan idola, tetapi lebih kepada adik dan kakak, penuh kasih dan setia.

“Sehingga ke hari ini, saya masih beruka dengan tragedi peminat yang terkorban dalam kemalangan jalan raya selepas pulang berjumpa saya. Arwah sangat meminati saya dan sanggup melakukan apa saja. Saya tidak pernah menyampaikan lagu berkenaan dalam sebarang pertunjukan pentas sejak ia dirakamkan pada 1977 kerana tidak mahu mengingati detik tersebut,” kongsi Uji Rashid.

Tanpa sedar air mata mengalir tatkala bercerita tentang arwah Siti Rashidah, gadis remaja itu sanggup memandu dari Pulau Pinang bersama rakan-rakannya semata-mata untuk bertemu Uji Rashid. “Di mana sahaja saya buat persembahan, gadis muda itu pasti ada, setia menyokong dan memberikan dorongan. Malah arwah Siti Rashidah sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menunjukkan dia berjaya mendapat lesen memandu dan seolah-olah kejayaannya itu perlu diiktiraf oleh saya dulu.

Kenangan itu sangat menyentuh hati, malah menjadi bukti betapa peminat telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya. Namun, perpisahan juga menghampiri apabila arwah Siti Rashidah dan rakan-rakannya terlibat dalam kemalangan tragis. Pemergian mereka menyentap jiwa saya yang menganggap mereka seperti keluarga sendiri.

Saya menangis apabila mendapat perkhabaran tersebut. Lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu dihasilkan sebagai penghormatan kepada arwah dan saya masih tidak berupaya untuk menyampaikan lagu itu sehingga kini walaupun lagu itu sudah berusia lebih 47 tahun. Setiap kali dengar lagu itu, saya akan menangis terkenangkan arwah yang pernah baik dengan saya. Walaupun ramai yang meminta saya dendangkan lagu itu, saya tidak mahu berbuat demikian. Biarlah keindahan lagu itu diabadikan saja sebagai kenangan,” ungkap Uji Rashid sambil mengelap air mata yang jatuh di pipi.

Uji Rashid ‘Penyanyi Bersuara Manja’, Terjun Ke Dunia Seni Demi Kumpul Duit & Berikan Kesenangan Buat Ibu

Buat Laci 10 Tingkat Mudahkan Ibu Berbelanja

Uji Rashid merupakan anak yang sangat baik dan mentaati orang tua. Seawal usia remaja lagi dirinya sudah memikirkan bagaimana hendak mengumpul duit dan memberikan kehidupan yang senang buat ibu tercinta. Membesar dalam keluarga yang berpindah-randah kerana pekerjaan ayahnya sebagai Pegawai Kastam, Uji Rashid menggalas tanggungjawab besar untuk membantu ibunya, seorang wanita cekal yang membesarkan lima anak sendirian dalam keadaan ibunya yang tidak tahu membaca. Malah Uji Rashid juga memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran demi kekal bersama ibu tercinta dan terjun ke dunia seni sebagai satu-satunya jalan yang mampu membantunya menjana pendapatan untuk keluarga.

Menerusi gaji yang diterima sebagai pelakon dan penyanyi, Uji Rashid menyimpan wang untuk ibunya dalam laci bertingkat, seolah-olah penyanyi itu mahu memastikan setiap hari ibunya tahu bahawa dia dicintai, dijaga dengan baik. Uji Rashid juga bersyukur pada ketika itu dirinya mampu menghadiahkan kesenangan kepada ibu, walaupun dalam bentuk yang sederhana namun kasih sayang seorang anak yang mahu memastikan tiada satu hari pun ibunya menghadapi masalah kewangan.

Ditebak mengenai dirinya adakah pernah menerima apa-apa gelaran seperti Datuk? Lantas Uji Rashid menyatakan dirinya berniat hadir dalam dunia seni demi ibu. “Saya tolak gelaran. Niat saya pada mulanya nak mak saya hidup senang. Bila gaji pertama saya terima RM160 saya cuma ambil RM10 selebihnya saya beri pada mak. Jadi bila saya dapat RM2000 dari hasil lakonan saya akan serahkan pada mak.

Orang takkan percaya saya buat laci 10 tingkat. Tiap-tiap laci ada duit. Dulu nak pergi bank susah, nak ke pejabat pos mak saya tak kenal huruf. Jadi pulang saja ke rumah saya akan letak duit dalam laci. Bila mak susah dia boleh ambil bila-bila masa.

“Mak saya pula pemurah orangnya, macam kedai pajak gadai. Mak saya tak pinjamkan orang tapi dia beri orang duit. Dalam sebulan saya cuma pulang ke rumah empat hari, jadi memang kaya-raya mak ketika itu. Apa saja mak nak dia akan beli. Kerusi meja ada dua set. Bila saya balik rumah saya tengok satu set lagi hilang sebab mak sedekahkan pada orang,” luahnya.

Ads

Bagi Uji Rashid, ibu merupakan teman dan penyokong setia. Walaupun pada masa itu pandangan masyarakat terhadap wanita yang menceburi seni seringkali dipandang rendah, ibunya berdiri teguh menyokong dirinya. Namun seiring waktu, takdir memisahkan mereka dan kehilangan ibu adalah kehilangan paling besar dalam hidup.

“Saya tak tahu nak bercerita dengan siapa lagi selepas ibu pergi buat selamanya,” luahnya penuh kesedihan. Malah Uji Rashid juga sangat bersyukur kerana diberi peluang menjaga arwah ibu sepanjang terlantar sakit sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Uji Rashid juga memegang prinsip jika sesuatu rezeki itu kalau dah bukan rezeki kita, dah masuk mulut pun boleh jatuh ke tanah jua. Rezeki tidak pernah salah alamat. “Kalau rezeki tak masuk mulut kita ertinya ia bukan rezeki kita. Macam-macam orang janji. Apapun kalau bukan rezeki, tak akan dapat. Semakin dewasa semakin banyak yang kita belajar. Saya serahkan segalanya pada Allah dan reda. Setiap rezeki itu Allah akan aturkan,” ungkap Uji Rashid.

Uji Rashid ‘Penyanyi Bersuara Manja’, Terjun Ke Dunia Seni Demi Kumpul Duit & Berikan Kesenangan Buat Ibu

Tersedar Rezeki Menyanyi Untuk Ibu & Anak-Anak

Sebagai penerima Nona Legend Award, Uji Rasjid berasa sangat terharu. Ini kerana dia beranggapan dirinya tidak layak sebaris dengan wanita hebat yang terpilih. “Masa team Nona hubungi dan nyatakan saya sebagai penerima anugerah, ada terfikir nak nak undur diri sebabnya saya tengok ramai wanita hebat yang terpilih sebagai penerima anugerah. Saya cuma orang biasa.

Ads

Saya sedar kebanyakkan lagu-lagu ciptaan Datuk Ahmad Nawab, saya hanya menyampaikan saja. Saya tak pandai menyanyi dan saya tak suka menyanyi pada awalnya. Kemudian saya tersedar daripada nyanyianlah rezeki itu datang untuk mak dan anak-anak saya,” sambung Uji Rashid.

Ibu tunggal yang kuat bekerja ini juga menasihati golongan muda agar patuhi perintah Allah dan hormatilah orang yang lebih tua. InsyaAllah hidup akan senang. Menyentuh tentang isu dirinya yang kini sudah berniqab, tenang jawapannya berniqab kerana masalah kesihatan.

“Pasti ada yang keliru kenapa dalam gambar tak berniqab tapi di atas pentas dan sewaktu temu bual vodcast saya berniqab. Sebenarnya berniqab ni tak wajib. Masa pandemik COVID-19 kita semua pakai mask. Kakak saya meninggal dunia sewaktu era pandemik, saya tengok ketika itu kita tak boleh dekat dengan jenazah. Pada ketika itu Cico dan menantu arwah kakak yang turun ke dalam liang lahad. Kalau tak ada orang nak sambut, jenazah akan dicampak saja. Pada ketika itu semua orang pakai mask untuk perlindungan.

Saya pula disahkan ada penyakit lelah. Masa saya pakai mask saya tak boleh bernafas. Saya cakap kenapa saya tak cuba niqab, saya pergi nyanyi pun pakai. Tak ada masalah saya nak selamatkan diri saya agar dilindungi dari kuman. Saya nak semua orang gembira dan dengan nyanyian dapat hiburkan peminat,” akhiri Uji Rashid.

Uji Rashid ‘Penyanyi Bersuara Manja’, Terjun Ke Dunia Seni Demi Kumpul Duit & Berikan Kesenangan Buat Ibu

Baca Disini : Berkilauan Bak Berlian, Tokoh Wanita Berjaya Diraikan Di Nona Superwoman Award 2024!

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI