UJI SENDIRI JENIS RAMBUT ANDA , Cara Terbaik Atasi Masalah Rambut.

Tidak semua wanita dikurniakan rambut normal semulajadi. Perbezaan cuaca, gaya hidup, pemakanan dan peningkatan usia mampu menukar takdir rambut yang sihat kepada pudar tanpa tarikan. Selain itu, penggunaan produk rambut yang bertentangan dengan jenis rambut anda juga mendorong pelbagai masalah seperti kelemumur, rambut gugur dan bercabang. Untuk mengetahui apakah jenis rambut yang anda miliki, cuba lakukan ujian mudah ini.

Langkah 1: Sehari sebelum membuat ujian ini, syampu rambut anda seperti biasa.

 

Langkah 2: Menggunakan sehelai kertas tisu, pedapkan ke akar/pangkal rambut di bahagian tengah kepala serta di belakang cuping telinga selama seminit. Jika kertas tisu nampak berminyak, ini menunjukkan kondisi rambut yang terlebih lembapan, dan begitu juga sebaliknya. 

KENALI JENIS-JENIS RAMBUT

 

  • NORMAL

Rambut dari jenis normal begitu mudah diurus, bersinar dan tidak berminyak.

  • BERMINYAK

Lazimnya rambut hanya cantik bermaya sehari dua selepas bersyampu. Tetapi bila masuk sahaja hari ketiga, ia mulai ‘berat’ dan berminyak-minyak. Biasanya rambut dari jenis ini sering berdepan masalah kelemumur.

 

  • KERING

Rambut dari jenis ini sungguh sukar dikawal. Apalagi selepas bersyampu, ia tampak kusam dan terbelah di hujung. Kadangkala kepala terasa gatal, berkuping-kuping, begitu rapuh dan mudah putus.

  • KOMBINASI

Lahir dari kombinasi berminyak dan kering, rambut kombinasi mudah dikenalpasti kerana rona hujung rambut berwarna lebih cerah berbanding pangkalnya. Ini juga menunjukkan akar rambut anda berminyak tetapi bila sampai ke hujung, ia kering seperti akar kayu.

Setelah anda mengetahui jenis-jenis rambut yang anda miliki, adalah lebih baik menggunakan syampu serta perapi yang sesuai untuk jenis rambut kerana tidak semua jenis rambut sesuai menggunakan syampu yang sama. Pengetahuan yang lebih mengenai jenis rambut mampu menyelamatkan rambut dari masalah seperti kelemumur, keguguran rambut, rambut rosak dan sebagainya. Antara bahan alami untuk merawat masalah rambut:

Lidah buaya

  • Ambil daun lidah buaya, potong bahagian tengahnya dan ambil lendirnya. Lumur pada rambut hingga rata. Urut kulit kepala dan biarkan lima minit. Cuci rambut hingga bersih.

Minyak kelapa

  • Untuk mengatasi rambut gugur, lumur minyak kelapa ke rambut hingga mengenai seluruh kulit kepala. Urut kulit kepala selama beberapa minit dan bilas. Mengurut juga membantu peredaran darah menjadi lebih lancar.

Minyak zaitun

  • Minyak zaitun ada banyak manfaat antaranya sebagai perawat semula jadi rambut bagi mengurangkan kerosakan akibat penggunaan produk perapi atau pewarna rambut yang mengandungi bahan kimia. Caranya campurkan dua sudu minyak zaitun dan minyak kelapa, sapu pada kulit kepala sebelum tidur..

Avokado

  • Ia bukan sekadar mengembalikan kilauan, memperkuat dan membaiki tekstur helaian rambut, malah mengubah rambut kusam menjadi lebih segar, beralun.Lumatkan isi buah avokado bersama pisang. Sapu campuran ini ke kulit kepala dan urut supaya rata.

Daun inai

  • Cuba kisar atau tumbuk lumat daun inai dan campur dengan sedikit air bagi menjadi pes. Ratakan di seluruh kulit kepala dan tutup dengan topi mandi selama tiga jam. Selesai tempoh berkenaan, bilas dengan air bersih dan gunakan perapi.

 

Share
Published by
Rosmah Idayu