“Umi Bukaklah Langsir, Ara Nak Tengok Abang Hijau!” Bacalah Perkongsian Seorang Ibu Tentang Tanda Kematian Anaknya

1327

Tepat setahun lalu, kisah adik Nur Syifa Zara, 4 tahun, yang menderita penyakit Aplastic Anaemia (berkaitan sumsum tulang) ini pernah mencuit perhatian ramai. Artikel “Umi, Tolong Peluk Zara, Zara Sakit!” (baca di sini) sesungguhnya membuatkan netizen sebak dan menitiskan air mata.

Hari ini, derita Zara tiba ke penghujung. Gadis comel itu akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir pada malam Jumaat, 28 Disember 2018 akibat jangkitan kuman di paru-paru kecilnya. Jenazah Zara telah pun selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara.

IKLAN

Luahan ibu angkatnya, Puan Saneha, yang reda dengan pemergian anak syurga itu sekali lagi membuatkan air mata ibu-ibu lain jatuh bercucuran. Dalam sedih yang membungkam, kekuatan hatinya menerima dugaan terhebat ini menjadi inspirasi buat ramai wanita.

IKLAN

“2 hari sebelum pergi, dia minta saya bersihkan badan dia. Bersihkan semua sisa getah pelekat di kulitnya. Sambil tu dia merungut, memegang dada yang berbekas parut luka pembedahan.

Macam mana Ara nak pegi ni, dah rosak semua dah. Dah tak cantik dah.

Bapak Ara jawab, Ara kat sana akan tetap cantik… Semua bekas ni akan hilang, sayang.

Bila dengar pujukan tu, barulah dia tersenyum. Ya Allah, manisnya senyuman Ara, muka berseri-seri dengan bau badannya yang wangi.Kami tahu ‘waktu’ tu makin dekat. Lebih sebak lagi bila dia cakap…

Ara pegi nanti Umi jangan nangis ya. Kalau Umi nangis, macam mana Ara nak pegi? Umi jangan risau tau, kat sana Ara ramai kawan-kawan. Ara dah nak pegi ni Umi.

Itulah kata-katanya setiap hari. Bila duduk diam-diam, ayat ni pasti keluar.

Seminggu sebelum pergi, dia dah cakap dia akan balik. Ara cakap kat Umi, Umi jangan sedih, jangan nangis. Nanti dah tak payah datang hospital lagi. Tak payah jumpa nurse lagi. Tak payah naik Grab lagi. Sebab Ara nak pegi dah.

Patung arnab kesayangan Ara pengubat rindu si adik

Selepas pemergian Ara, patung arnab inilah jadi pengubat rindu adiknya. Itulah bantal busuk arwah masa hayatnya ada. Dia tak pernah tinggalkan arnab tu, dari sejak baby sampai ke besar… tak pernah berpisah. Sekali berpisah untuk selamanya.

Malam terakhir Ara dalam dakapan Umi. Dia minta Umi selawat sampai pagi. Lena dia tidur. Hilang sakit katanya bila Umi berselawat.

Hati ini Tuhan saja yang tahu.
Selama 40 hari saya menangis.
Selama 40 hari saya berendam air mata.
Selama 40 hari saya cuba reda dan rela.
Selama 40 hari kami tak pernah berenggang jauh.

Sampai suami berhenti kerja demi nak menghabiskan masa dengannya hingga ke hembusan nafas yang terakhir. Tiap saat amat berharga buat kami.

Ara ada bagi tahu, hari Jumaat hari raya dia. Dan Umi buatlah kenduri hari tu.

Ya, memang hari Jumaat tu hari raya Ara. Dia dikebumikan pada hari Jumaat. Dan memang hari tu kami buat kenduri untuknya.

TANDA-TANDA PEMERGIAN

Ramai yang tanya kenapa saya terlalu kuat. Sampaikan tiada air mata saat memandikan Ara atau waktu uruskan semuanya. Sebenarnya saya tak kuat tapi saya dah lama bersedia dan reda seawal 40 hari terakhir arwah lagi. Saya masih ingat kenangan berbual dengan arwah 10 hari sebelum pemergiannya.

Ara: Umi dah solat?
Umi: Dah sayang.
Ara: Umi bukak langsir tingkap. Ada abang hijau kat situ Ara nak tengok.
Umi: (Buka langsir. Waktu ni Umi faham maksud Ara, sudah 3 hari berturut-turut selepas Asar dia nampak orang yang sama)
Ara: Umi, Ara nak pegi ni. Umi tak boleh ikut ye, Umi duduk rumah jaga adik. Abah pun duduk rumah jaga adik. Ara pegi sorang-sorang. Umi jangan risau sana ramai kawan Ara.

Lidah saya kelu. Jiwa saya kosong. Saya cuba ukirkan senyuman dan sorokkan air mata. Hanya hati saja berkata-kata…

Sayang anakku, pergilah sayang. Umi tak halang. Dah lama anak Umi bertahan, dah lama anak Umi jadi kuat. Kali ni Umi yakin kat sana anak Umi akan bahagia.

Hari ketujuh sebelum Ara menghembuskan nafas terakhirnya, setiap senja selepas Asar dia akan minta saya bukakan langsir tingkap supaya abang putih boleh datang melawat dia. Begitu juga setiap malam sekitar pukul 2.00 pagi, dia akan kejut Umi dan cerita tentang taman-taman yang dia pergi dengan kawan-kawan.

Taman salji.

Taman bola.

Taman penuh permainan.

Cerita bermacam-macam taman sampailah ke malam terakhirnya.

CATATAN UMI BUAT ZARA

Sayang,
Pergimu membawa seluruh hati ini,
Setiap kenangan akan kekal di sini,
Setiap kisah akan tercatat indah,
Kaulah bidadari yang paling sempurna.

Terima kasih Ya Allah,
Kau berikan aku peluang menjaga bidadari-Mu,
Memilih kami untuk menjaga amanah-Mu,
Walau dalam ujian itu,
Tetap Kau beri ku kekuatan,
Mengharunginya dengan ketabahan.

Duhai bidadariku,
Damailah di sana sayang,
Cari tangan Umi, tariklah…
Ke taman indahmu sayang,
Taman yang kau selalu cerita pada Umi.

Al-Fatihah.

**Kami seisi team Nona mengucapkan takziah buat keluarga Puan Saneha dan Encik Mohamad Zamri Khalid di atas kehilangan anakanda tersayang. Semoga roh Zara dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.