Sudah sekian lama dia berusaha untuk hamil. Kerana rezeki masih belum berpihak pada mereka, wanita ini tekad mengambil bayi comel bernama Zara sebagai anak angkat. Itulah permata hatinya yang dibelai dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang.
Namun tatkala Tuhan menghantarkan berita gembira tentang kehamilannya, Zara pula tiba-tiba sakit dan sakitnya pula membawa maut. 3 nyawa perlu dipertahankan. Zara yang diancam kanser, bayi dalam kandungan dan dirinya sendiri yang hamil pada usia risiko 40 tahun.
Berbekalkan sebuah motosikal dan pendapatan cukup makan untuk menyara kehidupan mereka berlima, nasib malang yang menimpa wanita bernama Saneha ini sesungguhnya cukup menginsafkan.
“Sejak Zara sakit, kehidupan kami sekeluarga banyak berubah. Saya kena jaga Zara sepenuh masa sebab dia tak ada darah putih. Keadaan Zara membuatkan dia tak boleh bercampur dengan kanak-kanak lain kerana senang jatuh sakit.
Dia pun tak ada darah platlet jadi senang berlaku pendarahan kalau terjatuh,” cerita Saneha tentang anak ketiganya, Nur Syifa Zara, 4 tahun.
Berbekalkan pendapatan bekerja kilang, suami Saneha iaitu Mohamad Zamri Khalid, 41, terpaksa bertungkus lumus mencari rezeki lebih bagi menampung keperluan keluarga. Selain Nur Syifa Zara, mereka mempunyai tiga orang lagi anak iaitu Nur Basmah, 18, Mohamad Basri, 16, dan Mohamad Zhariff, 8 bulan.
“Zara dikesan sakit pada hujung tahun 2016. Bermulalah episod duka dalam keluarga kami bila dia kerap demam dan cepat penat. Masa tu kami dapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh tapi tak ada pakar yang dapat kesan penyakit yang dialami Zara masa tu.
Kami bertambah pelik bila Zara dah 2 minggu demam tak sembuh-sembuh. Badannya pula senang lebam. Akhirnya kami dirujuk ke PPUM untuk ambil sampel sumsum tulang.
Keputusan yang diterima memang mengejutkan. Zara sah hidap Aplastic Anaemia, sejenis penyakit sumsum tulang yang tak berfungsi untuk menghasilkan 3 jenis darah ini. Seolah-olah kilang darahnya tutup dan tak menghasilkan darah sendiri.
Februari 2017. Zara buat rawatan ATG Horse pertama dengan perbelanjaan RM15,000. Tapi rawatan tersebut gagal kerana tak ada tindak balas positif ditunjukkan oleh tubuh Zara. Mujurlah biaya rawatan ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak Zakat.
Kemudian Zara menjalani rawatan ATG Rabbit pada bulan Ogos yang menelan kos RM22,000. Kali ini saya terpaksa menebalkan muka minta bantuan dari sebuah persatuan Cina untuk membuat kutipan dana.
Bayangkan lagi masa saya bersalin anak bongsu, Zara sakit tenat dan terpaksa tinggal dalam wad selama 2 bulan. Saya pula perlu menjalani pembedahan Caesarean kerana darah tinggi.
Bila anak sakit, tentulah makan minum, tidur dan rehat entah ke mana. Saya pun berpantang seminggu saja di hospital, lepas tu terus berkampung di hospital jaga Zara. Memang terabai terus pantang bersalin, semuanya lintang pukang entah ke mana.
Meskipun nampak susah, tapi saya rela sebab Zara. Dia bila sakit dan lemah, mesti akan panggil saya minta dipeluk. ‘Umi umi, tolong peluk Zara, Zara sakit.’ Allahu, menitis air mata ni bila dengar suaranya sebut macam tu.
Hati ibu mana yang kuat bila tengok anak sakit. Kalau Zara balik, dia kena kurung di rumah. Tak boleh main dengan orang lain sebab dia senang dijangkiti kuman. Hibanya perasaan bila kena pujuk Zara.
Kami dah biasa ikat perut sejak awal 2017. Bila Zara masuk wad, suami terpaksa cuti untuk jaga anak kecil yang masih bayi. Gajinya dipotong. Dan tiap bulan Zara masuk wad hampir 10 hari. Hari ni saya pecahkan tabung untuk bayar tambang GRAB yang bawa Zara ke PPUM.
Selalunya bila tak ada duit, kami terpaksa berasak naik motor 4 beranak ke PPUM. Kami tak ada kereta, cuma motor tu sajalah ‘kaki’ kami.
Masalah saya sekarang memang sumber wang yang terhad. Saya tak kerja, gaji suami pula dalam RM1,800. Itulah wang sewa rumah, susu Zara dan bayi kami, tampung kos ulang-alik Zara ke hospital.
Apa pun saya bersyukur sebab dapat bantuan zakat sebanyak RM3,000 setahun untuk biaya tambah darah Zara. Zakat bayar terus kos perubatan tu di hospital, selain dapat bantuan hospital untuk bil dia.
Keluarga saya dah banyak membantu tapi mereka pun bukan orang senang. Saya terpaksa pisahkan anak yang besar dengan adik-adik lain dan hantar dia duduk di kampung dengan kakak saya. Berat nak buat macam tu tapi kami tak ada pilihan.”
“Peluk Ara Umi, Ara sakit…” menitis air mata saya. Umi tahu anak Umi sakit. Ara akan rasa lega bila dipeluk. Ya Allah kasihanilah anakku Ya Allah.
Semalam suami saya semput kerana hujan tak menentu. Kami terpaksa ke hospital naik GRAB walaupun tak ada duit. Hati saya tambah sedih bila Zara minta macam-macam makanan… macam-macam mainan. Dia tengok orang main belon dia nak jugak. Tapi Umi kena berjimat sayang.
Saya nak kerja menjahit di rumah sambil jaga anak. Tapi tak ada modal nk bli mesin jahit. Sebelum ni saya memang menjahit. Tapi bila Zara sakit, saya kena alahan teruk dan suami terpaksa ambil cuti 2 bulan tanpa gaji untuk jaga kami berdua. Masa tu semua barang yang ada kami jual untuk menampung hidup selama 2 bulan tu. Sampaikan mesin jahit pun dijual.
Dengan luka pembedahan Caesarean yang belum sembuh, saya gagahkan diri dukung Zara. Tambah lagi suasana bilik aircond yang sejuk, saya menggigil setiap malam ditemani si kecil yang cuma tidur atas kain je di atas simen.”
Buat anda yang prihatin dan berniat ingin meringankan beban Saneha sekeluarga, hulurkan sedikit sumbangan ikhlas kepada mereka melalui ibu adik Zara sendiri di talian 018-2775337 atau Facebook Nur SZ. Boleh juga menderma secara ikhlas melalui akaun Public Bank 4573605105 atau Maybank 162272884555 di atas nama bapanya, Mohamad Zamri Khalid.
Mereka sekeluarga menetap di alamat No. LG 29 Saujana Apartment, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, Petaling Jaya. Semoga diberi kesembuhan dan dipermudahkan urusan! Norzalina Mohd Alias
This website uses cookies.