Umur 19 Tahun, Dapat Berjuta Tontonan & Pujian Arwah Siti Sarah, Kejayaan IMAN TROYE Jadi Inspirasi

Video muzik nyanyian Iman Troye, Teman, meraih tontonan 45 juta di YouTube dalam tempoh setahun ditayangkan. Namanya masyhur di media sosial, punya followers tinggi seramai 1.8 juta di Instagram dan 1.1 juta di TikTok, namun gadis muda ini tetap ‘humble’ dan menjadikan keluarga keutamaannya.

Iman Troye atau nama sebenarnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin mula menempa nama sebagai model sambilan sebelum menyertai sebuah program realiti I Can See Your Voice Malaysia.

Lantunan vokal Iman pernah dikatakan mirip suara Nabila Razali. Tambah manis, bakat gadis muda itu pernah mendapat perhatian Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin apabila arwah datang sendiri ke sekolahnya di Rawang bagi memberikan kata-kata semangat sewaktu Iman menduduki peperiksaan SPM 2019.

Kenangan sewaktu arwah Siti Sarah bertemu Iman di sekolah

 

Rentetan kejayaan lagu Teman serta Pejam Celik Hari Raya pada 2020, Iman Troye terus mengorak langkah dalam bidang seni dengan pelancaran single terbaharu berjudul Nang, baru-baru ini.

Ketika ditemui dalam majlis pelancaran ‘2 Juta Bangkit Belajar’, Iman turut menyangkal dirinya sudah bergelar jutawan meskipun berjaya meraih 4x Platinum bersamaan RM1 juta membabitkan talent management revenue.

Tonton Lensa Nona tentang pesanan ibu bapa Iman Troye kepada penyanyi berbakat besar ini…

 

Menjadikan keluarga sebagai keutamaan, Iman sebagai gadis muda sentiasa berpegang kepada nasihat ibu bapanya agar menjaga maruah keluarga.

Cantik, mesra dan menyenangkan, Iman juga mengakui dia lebih mengutamakan masa depannya dalam industri nyanyian berbanding pendapatan.

“Kalau ada yang menganggap saya jutawan berdasarkan jumlah pendapatan itu rasanya tidak. Apa yang saya nak utamakan dalam industri ini bukan pendapatan. Tapi, saya nak lebih fokus dan kukuhkan nama dalam industri.

Keluarga merupakan tulang belakang kejayaan Iman Troye

 

Lagipun saya masih merangkak lagi. Sebolehnya, saya nak orang pandang saya berlari pula selepas ini. Malah, banyak lagi yang saya kena terokai. Sejujurnya, saya takut apabila berada pada tahap sekarang, sebab tak tahu lagi apa pandangan orang sebenarnya terhadap saya.” Iman Troye

Dalam masa sama, Iman juga melahirkan rasa teruja apabila single

baharunya, Nang berjaya mencapai lebih satu juta tontonan selepas dilancarkan secara rasmi pada 15 Oktober lalu.

Selain itu, video muzik lagu berkenaan juga berada di kedudukan kelima carta trending YouTube dan Top 10 di aplikasi muzik Spotify.

Iman menempa nama sebagai model bagi jenama Muslimah, Leeyanarahman

 

Kejayaan yang luar biasa untuk seorang gadis muda dan cerah masa depannya! Semoga bintang Iman Troye terus bersinar serta menjadi inspirasi para millennials lain yang seusia.

Share
Published by
Norzalina