Manfaatkan waktu memandu dengan mengaji. Inilah rahsia Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022, Sofizah Mousin yang turut merupakan seorang Guru Geografi, isteri dan ibu dalam satu masa.
Alunan bacaan suci Al-Quran bergema di seluruh Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar Johor sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M bermula 12 hingga 17 Jun lalu.
Pada acara final Jumaat lepas, piala Johan Qariah menjadi milik Guru Geografi Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sea, Petaling Jaya iaitu Sofizah Mousin dari Selangor.
Berusia 33 tahun, isteri kepada Ahmad Asrol Saidi itu sering menjadikan sokongan dan kata-kata semangat keluarganya sebagai kekuatan untuk menyertai pertandingan tilawah.
Biarpun kebanyakan peserta lain kebanyakannya muda-muda, namun wanita berkulit putih ini tidak menjadikan usia sebagai faktor halangan.
Sebagai seorang guru, beliau juga berdepan banyak halangan dari segi latihan kerana kekangan masa. Antaranya terpaksa membuat latihan suara sambil memandu.
“Biasanya saya buat latihan taranum dalam kereta, semasa memandu. Saya memang akan buat latihan suara sendiri setiap hari.” Sofizah Mousin
Malah kebetulan pula dua minggu sebelum pertandingan bermula, anaknya mengalami masalah kesihatan. Ini menambah lagi kesukaran beliau membuat persiapan rapi.
Dengan semua kekangan yang dihadapinya, Sofizah Mousin langsung tidak menyangka menjadi Johan Qariah setelah tiga kali menyertai pertandingan ini di peringkat kebangsaan.
Berkat kelunakan taranum, tajwid dan fasahah yang tepat serta ketenangan Sofizah Mousin mengalunkan bacaan berjaya menambat hati juri pertandingan.
Beliau menerima wang tunai RM15,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.
“Suami Selalu Dahulukan Impian Saya Dan Tak Pernah Berkira Apa Pun” HAFIZATUL ATIKAH Dedah Punca Rezekinya Sentiasa Murah
Tiada apa yang lebih membahagiakan jika dapat berkongsi nikmat rezeki hasil daripada perniagaan dengan mereka yang memerlukan. Itulah antara matlamat pengasas Obsess Cosmetics, Hafizatul Atikah Mohd Fauzi atau Atikah yang tak pernah lupa untuk membantu golongan wanita terutama ibu tunggal bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
Selain berkongsi rezeki, satu lagi faktor kejayaan Atikah ialah pengorbanan dan restu suaminya, Muhamad Syahmi yang selama ini tak pernah berkira dari segi masa, kewangan, fizikal mahupun mental. Suaminya juga merupakan seorang usahawan berjaya.
SUAMI BANYAK BERKORBAN
“Kami sebenarnya dah lama kenal sejak zaman sekolah lagi. Waktu tu saya berumur 15 tahun dan suami pula 17 tahun. Sepanjang berkawan tu banyak kali jugalah hubungan kami terputus. Tapi mungkin sebab jodoh kuat, alhamdulillah akhirnya kami berkahwin ketika umur saya 24 tahun.
Lepas berkahwin kami lebih mengenali dan semakin sayang. Suami bukanlah seorang yang terlalu sweet dan romantik, kalau nak bagi apa-apa hadiah selalunya suami akan tanya saya dulu nak apa. Suami kata dia tak pandai nak surprise surprise ni…
Apa pun saya sendiri tak kisah sebab sikapnya sebagai suami dan ayah yang bertanggungjawab itulah yang paling menambat jiwa saya. Tak pernah berkira apabila perlu menguruskan kerja-kerja rumah dan menjaga anak-anak kalau saya ada urusan atau kelas berkaitan dengan bisnes. Anak-anak sememangnya manja dengan Daddy mereka berbanding dengan saya.
Kalau ada berselisih faham selalunya saya akan ambil masa yang sesuai untuk duduk berbincang dengan suami kemudian kami luahkan perasaanbersama-sama. Cara kami, kalau ada apa-apa yang tak puas hati masing-masing mesti berterus terang. Lepas tu barulah saling minta maaf, InsyaAllah keadaan akan kembali pulih.
Suami lebih suka mendahulukan impian saya berbanding dirinya. Saya juga tak akan sampai ke tahap sekarang tanpa pertolongan suami yang banyak menyusun strategi untuk Obsess Cosmetics. Walaupun saya tak suka bergantung sepenuhnya dengan suami tapi saya tetap tak nafikan pengorbanannya.
IMPIAN
“Saya mengharapkan pasaran Obsess Cosmetics lebih meluas. Setakat ini Obsess Cosmetics bukan sahaja terkenal di Malaysia terutamanya Kuala Lumpur dan Selangor malah turut mendapat sambutan hebat di pasaran Brunei, Singapura dan Indonesia.
Tip untuk berjaya dalam bisnes, sentiasa ada perancangan yang bagus dan rekrut sebanyak mungkin agen agar menjadi lebih kuat. Saya juga dalam usaha mengukuhkan lagi jenama Obsess Cosmetics dan terus membantu wanita-wanita di luar sana untuk menjana pendapatan. InshaAllah, saya bakal mengadakan tour untuk kelas solekan secara percuma.
Kredit Foto: Instagram Hafizatul Atikah
Tak Kekok Berniaga Dari Kecil, Inilah Rupanya Alasan DATIN THALIA BAIDURI Pandai Buat Duit!
Walaupun memegang status sebagai seorang Datin, namun bukan menjadi halangan untuk wanita ini mencipta kejayaan sendiri. Datin Thalia Baiduri bukan sahaja lambang seorang isteri, ibu dan anak yang serba menyenangkan bahkan seorang usahawan sukses.
Sungguhpun berperwatakan feminin namun tersemat dalam diri wanita ini semangat luar biasa. Memulakan perniagaan di awal usia 18 tahun benar-benar telah mematangkan Datin Thalia dalam sebuah kehidupan.
“Walaupun pernah beberapa kali gagal tetapi saya akan terus mencuba untuk mencari tapak dalam membina kerjaya yang sangat dicintai ini. Saya pernah melalui fasa ‘jatuh terduduk’ namun ia langsung tidak pernah mematahkan semangat untuk terus berjuang.
Pendedahan awal dalam dunia perniagaan membuatkan saya terus kuat melangkah dalam menerokai bidang perniagaan secara lebih mendalam. Saya sudah didedahkan dengan dunia perniagaan oleh kedua ibu bapa sejak kecil lagi. Saya nekad mahu membina perniagaan sendiri sebaik sahaja tamat persekolahan.
Jatuh bangun dalam membina empayar perniagaan telah benar-benar membuka mata saya untuk menilai setiap kegagalan. Kegagalan adalah guru yang paling berharga. Daripada situ kita belajar mengenal karakter orang, siapa kawan dan siapa lawan.
Saya pernah mencuba pelbagai jenis perniagaan seperti perniagaan berasaskan makanan dan perkhidmatan salon. Namun selepas mengandung Aayan, saya menjual semuanya demi menjaga anak dalam kandungan.
Kini saya sudah bersedia untuk memulakan kembali dan akan terus mencuba untuk mencari tapak dalam membina empayar perniagaan sendiri. Saya mula berjinak-jinak dalam perniagaan kosmetik.
Langkah saya yang pertama adalah menjual wangian iaitu Meirose Perfume. Menggarapkan wangian yang menjadi trend masa kini Meirose hadir dengan tujuh wangian untuk wanita dan tiga wangian untuk lelaki,” terang Datin Thalia yang pantang menyerah kalah ini.
Ketika diajukan pertanyaan tentang mengapa mahu menceburi bidang perniagaan berasaskan kecantikan, tuturnya lembut, “Sebagai seorang wanita, saya memang gemarkan kecantikan. Saya suka kelihatan cantik dan wangi.
Idea mengeluarkan Meirose Perfume ini lahir apabila ramai yang sering bertanya wangian apa yang sering saya pakai. Mereka gemar haruman yang sering saya pakai. Maka lahirnya Meirose Perfume bagi memenuhi impian setiap orang yang bertanya.
Bermula daripada kecil-kecilan kini walau hanya baru enam bulan beroperasi saya sudah mempunyai agen di seluruh negara,” jelas Datin Thalia yang bercita-cita untuk mencebur diri dalam perniagaan pembinaan ini dan dikenali ramai sebelum berusia 40 tahun.
Kejayaan biasanya memerlukan sokongan padu daripada orang di sekeliling. Datin Thalia juga turut beruntung kerana mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong jatuh bangunnya dalam membina kerjaya.
“Saya bersyukur kerana mempunyai suami yang sangat memahami dan sentiasa menyokong apa sahaja yang saya lakukan. Dalam membina kejayaan dalam perniagaan suami sering memberi motivasi dan kata nasihat untuk saya terus maju ke hadapan.
Keluarga saya memainkan peranan penting dalam perjalanan saya memajukan diri dan kerjaya. Ibu dan adik-adik merupakan tonggak utama untuk saya terus berdiri. Tanpa mereka mungkin saya tidak akan berdiri seperti sekarang ini,” ujar Datin Thalia yang merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik perempuan.
FIT Di Usia 40 Tahun, BERBASIKAL PILIHAN Mariana Mohammad
Tubuh kecil molek yang dimiliki oleh Mariana Mohammad sememangnya menjadi kelebihan untuk dirinya bergiat secara aktif dalam sukan berbasikal. Mana tidaknya, wanita yang telah menjengah usia 39 tahun ini dahulunya pernah mewakili negara dalam sukan berbasikal sejak berusia 19 tahun sehingga mengambil keputusan untuk bersara dari sukan tersebut pada tahun 2014.
Walaupun tidak lagi mewakili pasukan berbasikal negara, minat yang mendalam dalam sukan berbasikal tidak pernah padam dalam diri Mariana. Malah, kini lebih selesa menyertai pelbagai acara berbasikal peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa bagi memenuhi minatnya yang mendalam dalam aktiviti sukan yang begitu dekat di hatinya. Keputusan untuk bersara dan mendirikan rumahtangga serta memperolehi cahayamata yang kini sudah meningkat remaja tidak pernah memadamkan semangat Mariana meneruskan aktiviti berbasikal.
Ketika ditanya mengenai penglibatan awalnya dalam sukan tersebut, jelas Mariana ketika berusia 19 tahun, dia berminat untuk menceburi sukan triathlon yang mengkehendaki gabungan acara berbasikal dan berenang di dalam masa yang sama.
“Ketika di usia remaja, saya amat meminati sukan-sukan ekstrem seperti acara triathlon. Untuk memasuki acara seperti itu, kemahiran berenang dan berbasikal amat diperlukan. Jadi, saya tekad untuk mempelajari teknik berbasikal dan selepas beberapa bulan memahami teknik berbasikal yang betul, barulah saya mencuba sukan ini dan terus jatuh cinta,. Berbasikal memang sentiasa dekat di hati saya, malah saya mula berbasikal sejak dari bangku sekolah lagi,” ujar wanita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini yang menyertai beberapa pertangdingan peringkat antarabangsa dan mewakili negara di bawah kelolaan Majlis Sukan Negara.
Jelas Mariana, sepanjang melibatkan diri dalam sukan berbasikal, banyak perkara positif yang dipelajarinya dalam membentuk keperibadian serta memperbaiki postur tubuh dan tahap kesihatan yang baik. Pada pandangannya, berbasikal bukan sahaja dapat memberi kecergasan, malah dapat mengurangkan tekanan serta membolehkan dirinya berfikiran positif dalam pelbagai perkara.
“Bagi saya berbasikal adalah salah satu gaya hidup sihat yang dapat membentuk kecergasan fizikal dan menjadi satu latihan yang akan mengurangkan ketegangan fikiran. Di samping dapat menguatkan otot dan membakar kalori, aktiviti berbasikal juga menyumbang ke arah kesihatan secara efektif. Ia sesuai untuk semua peringkat umur malah dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan aktiviti luar bersama keluarga,” ujar Mariana lagi.
Tambah Mariana lagi, berbasikal memberi satu kepuasan kepadanya kerana ia melibatkan pengembaraan dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain. Dari segi kecergasan pula, berbasikal meningkatkan tahap metabolisme dan stamina tubuh.
“Aktiviti yang mengeluarkan peluh ini menunjukkan bahawa organ dan tubuh saya berfungsi dengan baik dan ini memberi suatu kepuasan. Di samping itu, berbasikal dapat menambah kenalan dan meningkatkan tahap komunikasi dengan semua ahli berbasikal yang lain. Bak kata orang jauh perjalanan luas pemandangan,” katanya yang mengakui jarang jatuh sakit kerana tubuhnya berada dalam keadaan sihat dan bertenaga.
Kebaikan berbasikal dari aspek kesihatan
Mariana amat mengesyorkan aktiviti berbasikal untuk kaum wanita kerana berbasikal mampu menguatkan otot dan membina stamina. Tambahnya lagi, melalui aktiviti berbasikal bukan anggota kaki sahaja yang terlibat apabila basikal malah keseluruhan tubuh terlibat apabila berbasikal.
“Dengan berbasikal juga risiko terseliuh dikurangkan malah mempertingkatkan proses penguatan otot. Berbasikal paling baik untuk membina kekuatan paha dan sendi lutut. Apabila seseorang berbasikal secara rutin anda akan dapati bentuk otot di bahagian kaki anda akan lebih kemas. Jadi, untuk wanita jika mahu postur dan tubuh badan yang lebih menarik, aktiviti ini amat disyorkan,” ujarnya.
Berbasikal memang satu cara yang terbaik juga untuk membina stamina, ini kerana ia boleh dijalankan dalam masa yang lama tanpa membosankan dan begitu memenatkan. Siapa pun tidak akan sedar sejauh mana mereka telah berbasikal dan telah mendapat manfaatnya juga.
“Denyutan jantung seseorang yang berbasikal juga akan menjadi lebih baik dan sekali gus mempertingkatkan kesihatan sistem kardiovaskular. Kajian menunjukkan bahawa kesihatan kardiovaskular seseorang akan meningkat sebanyak tiga hingga tujuh peratus dengan berbasikal,” ujarnya.
Berbasikal juga boleh membakar kalori dan dengan berbasikal selama sejam setiap hari anda boleh membakar kira-kira 300 kalori. Berbasikal memperbaiki koordinasi anggota kiri dan kanan dan yang lebih utama, apa-apa senaman boleh mengurangkan tekanan dan kemurungan dan meningkatkan kesejahteraan dan harga diri.
Berbasikal di luar rumah juga merupakan cara yang baik untuk menjadi satu dengan alam dan untuk merasakan nafas bumi. Ia mengambil minda seseorang daripada tekanan setiap hari kehidupan dan meremajakan jiwa,” ujarnya yang kelihatan begitu bertenaga dalam menjalani kehidupan sehariannya.
Sukan ini bukan sahaja memberi fokus terhadap basikal tersebut, tetapi apa yang lebih penting adalah cara kita mengawal mental untuk menerima tekanan ketika mengayuh, mempunyai hati yang cekal untuk sentiasa kekal positif dan tidak mudah putus asa serta melatih fizikal menjadi lebih sihat dan cergas,” katanya yang menyimpan banyak piala kemenangannya di kedai basikal sebagai tanda penghargaan di atas tajaan basikal dan peralatannya.
Ketika ditanya mengenai aspek keselamatan, tambah Mariana, sukan ini menggalakkan seseorang mencabar kemampuan diri tetapi dalam masa yang sama, ikut kemampuan diri agar tidak terlalu memaksa untuk melakukan sesuatu teknik di luar jangkaan sendiri.
““Kita perlu mempunyai kelengkapan basikal dan pakaian yang sesuai untuk berbasikal terutamanya di jalan raya atau lebuhraya. Yang penting kita perlu berani mencabar diri sendiri barulah diri serasi untuk melakukan sukan berbasikal seperti ini,” katanya seraya mengakhiri perbualan.
Solekan: Ann Karim