Umur di antara 35 ke 40 tahun ialah usia dimana kebanyakan kita mula diuji kehidupannya.
Ujian itu mungkin datang dari ibu bapa seperti jatuh sakit atau kematian, dari pasangan hidup seperti perceraian atau hubungan yang hambar, ataupun dari anak-anak yang meningkat remaja.
Sememangnya bermula usia ini, Allah akan memanggil kita pulang bertaubat kepada-Nya. Panggilan dari Allah selalunya berbentuk ujian. Kerana hanya dengan itu kita akan kembali bersimpuh dan bersujud mengadu dan memohon pertolongan-Nya.
Orang yang bijak akan memperbaiki diri dan amalannya, memperbaiki hubungan dengan ahli keluarga dan pasangannya, berhemat menyimpan untuk hari tuanya. Semua dengan niat mahu berkumpul bersama di syurga nanti.
Orang yang kurang bijak tetap terlena dan langsung tak membuka hati terhadap panggilan Allah malah tetap hanyut dengan kemewahan dunia, berkumpul dengan rakan-rakan dan kurang memberi perhatian kepada urusan akhirat.
Umur 35 ke 40 tahun ini menjadi lebih menarik apabila Al-Quran di dalam surah Al-Ahqaaf Ayat 15 ada menyebut tentang itu. Allah berfirman yang bermaksud,
Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang di saat mengandungnya berserta dengan menyusuinya dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang telah sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata,
Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu).
Ads
Ada segelintir golongan yang sudah berumur 50 tahun, 60 tahun, malah 70 tahun, masih memikirkan kereta mewahnya, tanaman dusunnya, haiwan ternakannya, harta-hartanya, anak-anaknya dan cucu-cucunya.
Alangkah baik jika apabila sudah berumur, masa diisi untuk mendengar kuliah agama, ibadah di masjid, kerjakan umrah dan haji.
Ada yang masih merasakan diri muda belia. Melayani nafsu yang marak menyala padahal kerut dan uban sudah tumbuh merata. Sibuk mencari cinta di luar, sedangkan rumah tangga yang halal dibiar berantakan.
Ada yang merasa masih sihat, walaupun sahabat-sahabat dan saudara mara banyak yang sudah meninggal. Itu semua seakan bahan cerita, “Ehh, tak sangka…tiba-tiba je meninggal di usia muda.”
Ads
Amatlah menyedihkan tatkala orang lain bersiap bertemu Tuhan, kita masih lalai dibuai perasaan akibat tertipu dengan nafsu sendiri.
Nafsu memang tak pernah tua. Ia sentiasa muda dan galak. Yang semakin lelah dan tua adalah tubuh dan kudrat kita.
Rasanya jika Tuhan menghalang tubuh manusia mengalami penuaan, pasti kita semua lebih peka untuk menyahut panggilan pulang ke kampung abadi.
Sehingga tiba saat roh kita diseret kembali meringkuk di hadapan Tuhan.
Ads
Kita hidup di dunia, tidak lama.. Rasulullah SAW pernah bersabda,
Umur-umur umatku antara 60 hingga 70 tahun, dan sedikit orang yang bisa melampaui umur tersebut. [HR. Ibnu Majah: 4236].
Kalau sekarang kita rasa 35 ke 40 tahun atau 70 tahun itu lama, bagaimana setelah alam barzakh atau akhirat juga kita dibangkitkan dan hidup dalam waktu yang sangat lama? Bayangkan satu harinya… bersamaan ribuan tahun!
Ingat, ketika itu tak ada yang berguna kecuali amal kebaikan kita.
Oleh karena itu, lihatlah diri anda, sudahkah kita mempersiapkan bekalan yang sepatutnya?
Allah Taala berfirman,
Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah, dan LIHATLAH DIRI MASING-MASING apakah yang sudah ia PERSIAPKAN untuk KEHIDUPAN ESOKNYA. (Al-Hasyr:18)
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kagum dengan semangat tak pernah putus asa yang ada dalam diri Mila Jirin. Meskipun perniagaan pakej perkahwinan yang diusahakan selama bertahun-tahun terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, dia tetap cekal mengharungi ujian dengan melakukan pelbagai inisiatif. Memang ‘kecil-kecil cili padi’ Mila ni, ada sahaja peluang depan mata terus ‘sambar’ dan dimanfaatkan sebaik mungkin.
Pasrah dengan ketidaktentuan ekonomi ketika ini, Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin bagaimana pun enggan mengalah tempuh cabaran sebagai seorang usahawan. Sesukar mana pun ujian yang datang, kebajikan para pekerja sentiasa menjadi keutamaan dirinya dan suami. Untung staf dapat majikan bertimbang rasa macam Mila!
Disifatkan seorang wanita berjiwa cekal, Mila yang gemar berkongsi kata-kata positif di media sosial mendedahkan situasi yang dialami mereka baru-baru ini. Dalam perkongsian terkininya, Mila bersyukur perniagaan Nasi Arab Bizmilla semakin mendapat permintaan.
Dalam kesibukan menyiapkan tempahan daripada pelanggan, Mila mesra menyambut panggilan Nona. Ujarnya, “Idea nasi arab ini datangnya dari suami saya, Isz Mustapha. Saat perniagaan kami yang melibatkan industri perkahwinan dan katering majlis terkesan, suami saya mendapat ilham dari Allah untuk melaksanakan menu Nasi Arab Resipi Dapur Bawah Tanah ini. Bab memasak, cef Bizmilla Catering yang akan uruskan sementara saya pula bantu mereka dalam soal pengurusan.
Setakat ini kami menawarkan dua pilihan nasi arab iaitu Nasi Arab Bizmilla Kambing dan Nasi Arab Bizmilla Ayam. Alhamdulillah kami bermula dengan 200 pax dan sehingga hari kelima kami berjaya menjual 1,000 pax sehari.”
Tanpa berselindung mendedahkan situasi syarikat yang berdepan masalah kewangan kepada umum, Mila bagaimana pun optimis mencari penyelesaian bagi membantu para pekerjanya. Namun pendedahan Mila mengenai keadaan dirinya dan suami yang tidak menerima gaji selama hampir setahun ini mengejutkan ramai pihak.
“Sebagai pengurusan tertinggi di Bizmilla, saya dan suami memang dah tak ambil director allowance for almost one year. Sebab kita mendahulukan para pekerja. We want to make sure semua mereka ada gaji. Alhamdulillah hampir setahun iaitu dari Mac hingga hari ini, semua para pekerja saya masih diberi full basic salary. Ada elaun yang terpaksa kami kurangkan termasuk elaun perjalanan dan makanan contohnya.
Apa-apa pun, selebihnya dengan bantuan subsidi upah… alhamdulillah kami dapat manage our team. This is our responsibility. Saya enggan melepaskan mereka kerana bagi saya, selagi mana Allah kurnia kudrat, ilham dan idea baru untuk mencari pendapatan syarikat, kami akan berusaha sehabis mungkin untuk para pekerja dalam waktu-waktu sukar ini.”
Murni sungguh hati pasangan suami isteri ini yang sentiasa meletakkan kebajikan pekerja mereka sebagai keutamaan. Bukan senang dapat majikan baik macam Mila dan suami.
Mila yang mempunyai tiga cawangan di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Johor Bahru berkata dia sangat bersyukur kerana memiliki pekerja yang memahami. “Saya ada staf lebih 100 orang dan mereka sangat supportive. Pada mulanya, bila saya ajak mereka buat benda baru untuk tambah pendapatan… ada yang tak boleh terima.
Tapi lepas saya motivate dan terangkan kepada mereka tentang situasi syarikat, akhirnya mereka faham. Sebagai majikan saya perlu jelaskan kepada mereka apa back up plan dan kesukaran syarikat. Bila mereka juga sehaluan, senang untuk kami guide mereka dan sebagainya.
Handle business during PKP memerlukan kesabaran dan kreativiti. Perlu membuat banyak perancangan untuk memastikan perniagaan dapat bernafas. Selain itu, perlu bersedia menceburkan diri dalam bidang yang baharu yang bersesuaian dengan situasi PKP ini.”
Tidak lagi aktif dalam dunia nyanyian, Mila mendedahkan dia pernah dikritik individu tidak bertanggungjawab yang kurang senang melihat perniagaannya hari ini. Enggan menyimpan dendam, ibu kepada seorang cahaya mata ini menyifatkan perkara yang berlaku tersebut adalah asam garam buat dirinya sebagai usahawan.
“Saya ikhlas berniaga kerana Allah. Ini ikhtiar yang kami lakukan dalam kesinambungan kami untuk memastikan para pekerja kami kekal punya pekerjaan dan gaji. Saya memang dah lama tak menyanyi. Bukan sebab tak laku tapi sebab Allah tak izinkan.
Jadi manusia penuh dengan kasih sayang bantu-membantu sesama kita. Tak boleh bantu sahabat-sahabat kita secara wang ringgit, bantu secara kudrat. Andai kudrat pun tak mampu, bantu secara sokongan moral. Saya bersyukur walaupun tak laku dalam dunia seni saya yakin perancangan Allah Maha Hebat. Ada sebab musabab ia berlaku. Hampir setahun Allah uji kami insan-insan yang berniaga. Tapi kami tak akan pernah putus harap sebab kami yakin perancangan Allah Maha Hebat.”
Selain perniagaan Nasi Arab BIZMILLA, difahamkan salah satu cabang bisnes Mila iaitu CakesMilla turut semakin mendapat sambutan luar biasa penggemar manisan. Idea menguruskan bisnes ini tercetus sejak April lalu yang kini telah pun mempunyai sebuah lori untuk memudahkan proses penghantaran.
“Alhamdulillah, bisnes CakesMilla ini juga ilham yang Allah hadirkan di saat perniagaan saya terkesan pada April 2020 yang lalu. Kami membuka Cakesmilla menggunakan team chef pastri Bizmilla. Alhamdulillah sambutan yang diterima pun sangat menggalakkan.”
Nona tumpang bangga dan terinspirasi dengan kegigihan Mila menguruskan empayar. Ternyata, bukan mudah untuk berjaya tapi Mila membuktikan kejayaan dapat digapai jika tidak berputus asa dan percaya akan rezeki yang dikurniakan Allah. Moga terus sukses!
Kredit foto : Instagram Mila Jirin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sesungguhnya Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa cukup beruntung kerana dikurniakan aura luar biasa menerusi ceramahnya hingga mampu membuatkan para pendengar tersentuh hati dan kembali ke jalan kebaikan. Dengan raut wajah sejuk mata memandang dan pertuturan penuh nasihat serta kelembutan, tidak hairanlah hasrat seorang suami yang mahu menceraikan isterinya… berubah sekelip mata tatkala dia mendengar ceramah Datuk Dr Ustazah Norhafizah sepanjang perjalanan bertemu suri hatinya itu.
Bertandang ke negeri Cik Siti Wan Kembang untuk memenuhi undangan ceramah bulan lalu, Datuk Dr Ustazah Norhafizah dikejutkan dengan panggilan telefon seorang pendengar setianya bergelar suami orang. Kongsi Ustazah Norhafizah, “Ada seorang suami hubungi ustazah, dengan air mata dia mengucapkan bebanyak terima kasih kepada ustazah kerana telah jadi jalan rumah tangganya diselamatkan (dengan izin Allah).
Dari Johor ke Kelantan dia memandu kereta mendengar ceramah-ceramah ustazah tentang rumah tangga dan tazkiyatunnafsi. Asalnya memang terasa bila jumpa isteri di Kelantan… nak akhiri hubungan suami isteri. Tapi jadi sebaliknya, sampai depan isteri… menangis minta maaf, dengan penuh kasih ajak isteri cuba sama-sama untuk baiki diri dan keluarga. Alhamdulillah.”
Allahu, besar ganjaran buat Ustazah Norhafizah kerana hanya dengan suara melalui ceramahnya saja dia dapat ‘menjernihkan’ semula keadaan yang sedia keruh. Pastinya tanpa keizinan Allah juga semua ini tidak mungkin akan terjadi. Mengakui terharu mendengar pengakuan suami tadi, Ustazah yang berasal dari Negeri Sembilan ini menzahirkan rasa syukur.
Tambahnya, “Mudah-mudahan 20 tahun lebih ustazah dalam persada dakwah ini akan jadi jariah dan pahala berlipat kali ganda untuk ustazah dan jadi jalan keampunan Allah kepada ustazah. Dosa ustazah bukan sedikit… banyak sangat. Bantulah ustazah dengan doa-doa baik kalian.”
Pada majlis ilmu tersebut, Ustazah Norhafizah turut menerima Anugerah Selebriti / Personaliti Dakwah Muslimah daripada Kerajaan Negeri Kelantan. Tidak meletakkan populariti sebagai tujuan utama, Ustazah Norhafizah dalam nada rendah diri menganggap dirinya belum cukup untuk diangkat sebagai ikon terbaik kerana masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.
“Bukan mudah juga membawa diri sebagai pendakwah wanita ini. Tapi atas semangat amat kasih kepada wanita khususnya muslimah maka inilah jalan yang boleh ustazah hulurkan bantuan iaitu menghidupkan nasihat, tawasau bilhaqqi wa tawasaubissobri. Ustazah sayangkan para wanita dan ustazah ingin sekali kita hidup bahagia dan dapat melalui kehidupan dengan baik.”
Terima kasih Datuk Dr Norhafizah Musa kerana sangat mengasihi kaum wanita dan sanggup mengenepikan rasa lelah hanya untuk memastikan kehidupan wanita ‘ditiup’ dengan semangat positif dan dekat kepada Allah.
Kredit: Instagram Ustazah Norhafizah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Keputusan meninggalkan kerjaya sebagai Akauntan kira-kira 10 tahun lalu merupakan satu tindakan berani yang dilakukan Azlin Mohd Said. Meskipun pada awalnya ibu kepada dua cahaya mata ini ‘berat’ melepaskan karier impian tersebut namun bersandarkan keyakinan yang tinggi terhadap rezeki Allah SWT yang luas, beliau nekad berhenti kerja demi membina legasi dalam bidang perancangan kewangan dinamakan AMS Empire.
Azlin atau mesra disapa Coach Azlin yang berasal dari Bota Kanan, Perak ialah anak kepada bekas pendidik. Kedua-dua ibu bapanya pernah berkhidmat sebagai guru. Begitu juga dua daripada enam adik-beradiknya yang turut mengikut jejak langkah ibu bapa mereka sebagai pendidik. Sementara dua beradik lain dalam bidang kewangan dan seorang lagi Penolong Pegawai Belia dan Sukan Negeri Perak.
PEMBABITAN AZLIN MOHD SAID
“Selepas tamat pengajian Ijazah Perakaunan di Universiti Malaya (UM), saya timba pengalaman kerja di firma audit dan syarikat pembinaan. Pekerjaan terakhir saya ialah Akauntan di salah sebuah badan berkanun di Malaysia selama 10 tahun.
Latar belakang keluarga saya tak ada seorang pun yang buat bisnes dan saya tak pernah ada cita-cita untuk jadi usahawan. Tapi bila fikirkan kesihatan mental saya dan ada keluarga serta anak-anak yang perlu saya jaga, saya terpaksa lepaskan kerjaya Akauntan yang berdepan dengan banyak cabaran.
Untuk melangkah keluar daripada pekerjaan yang stabil memang kena ada kewangan yang kukuh. Saya tak terus berhenti kerja sebaliknya ambil cuti separuh gaji untuk menjaga ibu dan membawanya mendapatkan rawatan susulan setiap bulan waktu itu.
Sehinggalah pada satu hari, konsultan yang bantu pelaburan saya ajak berjumpa dan beri cadangan supaya saya ambil lesen Perunding Unit Amanah. Mulanya ia sekadar untuk memudahkan saya urus pelaburan sendiri. Tapi bila lulus exam dan lihat bagaimana mereka mengalu-alukan penyertaan saya, rasa seperti dunia baru.
Kata-kata penghargaan dari mereka mungkin nampak kecil di mata orang lain tapi besar maknanya bagi saya. Benda yang saya tak pernah dapat daripada pekerjaan dulu. Mulai saat itu, saya tak menoleh ke belakang dan tekad mendalami ilmu perancangan kewangan di samping berkongsi ilmu dengan orang lain,” ujar Pengasas AMS Empire ini yang melibatkan diri secara serius dalam bidang kewangan sejak Ogos 2014.
AMS EMPIRE
Awal penubuhan AMS Empire kurang daripada 10 orang ahli Perunding Unit Amanah dan sekarang berkembang kepada 38 Perunding Unit Amanah bertauliah dengan nilai pengurusan pelaburan mencecah sehingga sembilan angka. Mengulas lanjut mengenai perniagaan ini, Coach Azlin Mohd Said menjelaskan misi penubuhan AMS Empire.
“Singkatan AMS ini bermula sejak dari sekolah lagi sebab ada dua orang nama Azlin. Jadi kawan-kawan panggil saya AMS iaitu Azlin Mohd Said. Walau baru saja masuk dalam bisnes, saya dah ada misi untuk bina empayar dan terus letak nama AMS Empire.
Salah seorang kawan yang juga klien pernah persoalkan sejauh mana besarnya bisnes saya ini sampai mahu digelar ‘Empire’. Kata-kata itu jadi cabaran buat saya!
Nama AMS Empire itu diterjemah kepada maksud A iaitu ‘Achievers’, M bermakna ‘Millionaire’ dan S sebagai ‘Success’ yang melambangkan Perunding Unit Amanah AMS Empire yang komited dan kompeten,” dedah Coach Azlin yang turut memiliki lesen Islamic Financial Planner.
Berbekalkan usaha gigih dan iltizam untuk membawa AMS Empire ke tahap global, usahawan berusia 49 tahun ini sentiasa mempersiapkan diri menghadapi cabaran ekonomi semasa dengan mempelajari ilmu dan selok-belok dunia perancangan kewangan.
Tambahnya, selaku pemilik perniagaan beliau perlu kreatif dan menunjukkan prestasi terbaik berbanding pesaing industri kewangan yang lain supaya dapat meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan klien menggunakan perkhidmatan konsultan AMS Empire.
“Saya upgrade diri saya dengan mengambil certificate sebagai Professional Coach daripada Badan Nasional Sertifikasi Profesi (BNSP) dari Indonesia. Pentauliahan ini merupakan satu level untuk saya bukan saja mengembangkan profesion sebagai perunding kewangan di Malaysia. Malah di luar negara.
Saya juga aktif menghadiri sesi bimbingan daripada coach-coach di Jakarta secara online kerana mahu AMS Empire ada jaringan komunikasi dan sosial lebih meluas yang tidak hanya tertumpu di Malaysia saja.”
PELABURAN SEMBILAN ANGKA
Menjadikan ‘Millionaire Coach’ Dr Niki Shuhada Shukor yang juga salah seorang Mentor beliau sebagai sumber inspirasi usahawan berjaya, penulis buku Jom B.O.S (Bijak Organise Savings) ini mampu tersenyum bangga apabila berjaya memimpin 38 orang Perunding AMS Empire meraih jumlah pelaburan lebih RM100,000,000 dalam tempoh sedekad.
“Cabaran menguruskan klien, team dan staf bukanlah satu perkara mudah. Ada masa kami di atas, ada masa pula di bawah. Saya ialah seorang ketua yang akan selalu tracking figures dan membimbing Perunding AMS Empire supaya jelas dan fokus tujuan mereka mengambil lesen. You don’t know your numbers; you don’t know your business.
Misalnya dua tahun lepas, saya tracking jumlah pelaburan klien yang kami uruskan adalah sebanyak RM80 juta. Setiap bulan kami akan pantau dan bulan Jun lalu sewaktu saya mengerjakan haji dan berdoa di Arafah, saya terima mesej daripada pengurus menyatakan jumlah pelaburan AMS Empire tahun ini melebihi RM100 juta,” ungkapnya sambil mengukir senyuman.
Bagaimana pun Coach Azlin tidak menafikan hakikat bahawa beliau turut diuji dengan dugaan yang menggugat keyakinan diri dan mahu mengalah. Terutama sekali apabila berdepan dengan individu yang cuba menjatuhkan reputasi dan empayar yang dibina. Namun memikirkan tanggungjawab yang digalas selaku ketua, beliau bangkit berjuang.
“Bagi saya bila dah stable macam ini, saya boleh saja stop dan tak perlu kerja keras lagi. Tapi bila fikir tanggungjawab kepada team dan klien, saya tak boleh pentingkan diri. Sepanjang 10 tahun dapat urus pelaburan RM100 juta membuatkan saya emosi kerana bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Ia juga menjadi pencapaian terbesar saya.”
IMPIAN AZLIN MOHD SAID
Bercerita mengenai masa depan legasi perniagaan ini, ada impian besar yang sedang dirancang Coach Azlin.
“Melalui bisnes ini saya harap dapat beri pendedahan tentang pengurusan kewangan kepada lebih ramai masyarakat. Kami sebagai subject matter expert sangat berbesar hati berkongsi ilmu dan pengalaman. Misi saya secara sukarela memberi taklimat dan seminar kepada universiti sebab kebanyakan pelajar kurang pendedahan dan pengetahuan mengurus kewangan.
Saya juga ambil inisiatif mendekati para siswazah untuk menerangkan mengenai ilmu kewangan dengan menghubungi Dekan di universiti-universiti kerana ia adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat AMS Empire.
Kalau tidak, generasi muda akan lalui masalah kewangan yang sangat mencabar kelak. Begitu juga kaum wanita khususnya golongan suri rumah. Mereka perlu tahu ilmu menguruskan wang. Lebih-lebih lagi apabila hilang tempat bergantung atau kehilangan suami.”
Jelasnya lagi, beliau mahu menjadikan empayar miliknya sebagai platform menyampaikan ilmu dan tidak berpaksikan kepada keuntungan semata-mata.
“Menyebarkan ilmu perancangan kewangan ini satu fardhu kifayah. Cuma bidang ini tak popular macam bidang lain. InshaAllah, dalam masa lima tahun akan datang, AMS Empire mampu melahirkan future leader yang boleh bawa legasi ini dan menguruskan pelaburan nilai amanah sehingga RM200 juta,” telus Coach Azlin yang menerima anugerah ‘Women in Business-Financial’ daripada Business Professional Woman (BPW) Malaysia.
Sebelum mengakhiri perbualan, Coach Azlin menzahirkan rasa syukur atas doa dan sokongan daripada ibu iaitu Hajah Paizah Haji Anuar, suami beliau Anuar Hasbul’lah Aboo Hashim serta dua anak tersayang, Aiman Hazim dan Adeeb Hafiz sepanjang melalui perjalanan sebagai seorang wanita, pemimpin dan ‘Financial Coach’.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terinspirasi dengan kesungguhan Hazlin Hussain dalam menimba ilmu dan berusaha menjadi hambaNya yang lebih baik. Nama wanita serba boleh ini dikenali ramai selepas dia menyertai pencarian bakat ‘Gadis Melayu’ Musim Kedua pada tahun 2009 dan kemudian ...