Nama pembaca berita dan pengacara jelita, Nurul Alis Aidil Akhbar atau Kiki Joule sangat sebati dengan dunia permotoran.
Cintanya terhadap aktiviti lasak ini mula tercetus sejak lebih 20 tahun dulu. Lumba kereta dan motor berkuasa tinggi menjadi kepakaran anak jati Negeri Sembilan ini sehingga digelar ‘sifu permotoran’.
Hanya sekadar suka-suka, ibu kepada 4 cahaya mata ini mula aktif dalam sukan go-kart di usinya 22 tahun.
Paling membanggakan, Kiki pernah menyertai perlumbaan Asean Cup Prix 1997. Hebatnya!
Suatu ketika dulu wajahnya sangat dikenali sebagai penyampai berita di RTM dan lebih 20 tahun Kiki diberi peluang mengendalikan segmen sukan.
Bertitik tolak dari situlah minatnya kian bercambah terhadap aktiviti lasak ini sekaligus menjadi sebahagian dari gaya hidupnya sampai kini.
Namun apa yang paling kagum ialah semangat dan kemampuannya masih hebat walaupun usia dah mencecah 40an.
Apatah lagi dengan gelarannya sebagai seorang isteri, ibu serta serta penyampai berita. Ternyata, Kiki bukan calang-calang wanita. Punya stamina dan tahap kecergasan yang tinggi.
Nona mencungkil rahsia sebenar yang diamalkan Kiki untuk kekal sihat, cergas dan awet muda.
JAGA MAKAN
“Saya memang jaga makan sejak dulu lagi. Waktu umur 20an saya jarang makan di luar sebab suka masak sendiri. Masak ringkas-ringkas saja pun tak mengapa asalkan dapat masak sendiri.
“Segala jenis makanan ringan saya elakkan. Memandangkan saya asal Negeri Sembilan semestinya makanan pedas menjadi kegemaran.
“Saya juga amalkan makan buah dahulu sebelum makan nasi. Turut diamalkan ialah makan sayur-sayuran, ulam dan minum air putih secukupnya setiap hari.
“Kalau nak tahu saya bukanlah seorang gym person. Namun saya pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya setiap hari.
“Manakala aktiviti hujung minggu pula semestinya riding bersama rakan-rakan mahupun suami agar sentiasa cergas dan dapat keluarkan peluh secara sihat,” kongsi Kiki yang sentiasa mengamalkan prinsip menunggang selamat dengan bergaya.
Kredit Foto: Instagram Nurul Alis Aidil Akhbar
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.