Umur 48 Tetap Segak! Hrithik Roshan Selesa Jadi Bapa Tunggal Besarkan Hrehaan & Hridaan

Sering digelar The Greek God of Bollywood, ketampanan aktor Bollywood, Hrithik Roshan sampai sekarang masih menjadi pujaan. Walaupun sudah berusia 48 tahun, bapa tunggal kepada dua anak lelaki itu tetap popular dan menjadi salah seorang pelakon termahal di India.

Berdarah kacukan Punjabi dan Benggali, anak kepada pengarah filem terkenal Rakesh Roshan ini mula menempa nama melalui filem ‘Kaho Naa… Pyaar Hai’.

Tapi sayangnya rumah tangga yang dibina dengan pereka fesyen dan pereka hiasan dalaman, Sussanne Khan selama 14 tahun tersungkur di tengah jalan.

Perkahwinan mereka yang termeterai pada tahun 2000 berakhir pada 2014 dengan dikurniakan dua zuriat.

Hrithik, Sussanne, Hridaan, Hrehaan

 

BAPA TUNGGAL

Pasangan Hrithik dan Sussanne dikurniakan dua anak lelaki – Hrehaan Roshan, 16, dan Hridaan Roshan, 14. Meskipun hak penjagaan anak-anak diberikan kepada si ibu, tetapi Hrithik bertanggungjawab memberikan didikan serta kasih sayang sebagai bapa kepada mereka.

Meskipun sudah berpisah, namun pasangan berbeza agama ini tetap menjalinkan hubungan baik. Biarpun sudah mempunyai pengganti, Sussanne yang merupakan anak pelakon Sanjay Khan masih dilihat mesra dengan ahli keluarga bekas suaminya, termasuk menghadiri sambutan hari jadi ke-50 Sunaina, kakak Hrithik baru-baru ini.

 

 

Malah ketika India mengenakan perintah berkurung pada tahun 2020, Sussanne Khan, 46, telah berpindah ke rumah bekas suaminya untuk sama-sama membesarkan anak mereka.

Kesempatan kuarantin tersebut digunakan sebaik-baiknya oleh bapa tunggal itu dengan menghabiskan seluruh masanya disamping anak-anak.

“Saya gembira apabila bekas isteri secara sukarela berpindah sementara ke rumah ini agar anak-anak tidak merasa ‘terpisah’ dengan kami berdua.

Terima kasih Sussanne kerana sentiasa menyokong dan memahami perjalanan kita sebagai ibu bapa.” Hrithik Roshan

 

 

Antara aktiviti mereka di rumah adalah bersenam, selain menghabiskan banyak masa bapa-anak bersama-sama.

Memang terserlah sifat kebapaan yang penyayang di jiwa aktor hebat itu. Kini walaupun sudah kembali sibuk di layar perak, Hrithik sebagai bapa sentiasa mengambil berat perihal anak-anaknya yang kian meningkat dewasa.

Selain lakonan, lelaki yang mempunyai sepasang mata hazel kehijauan ini juga mahir menari. Beliau juga aktif dalam kerja-kerja kemanusiaan, menjadi duta produk dan usahawan.

 

Nampaknya kedua-dua anak lelaki Hrithik bertuah mewarisi rupa paras ibu bapa mereka. Mesti dah besar nanti, segak macam bapa tercinta! Mana tahu bakal warisi bakat Hrithik jugak, jadi anak seni Bollywood.

Jom tengok foto-foto Hrithik dan anak-anak ketika mereka bercuti tahun lalu… 

 

 

 

 

Share
Published by
Norzalina