Umur 5 Tahun Dah Belajar Tarannum, NOR FARHATUL FAIRUZAH Warisi Bakat Mak Ayah!

MashaAllah, sejuk perut ibu mengandung! Baru berusia 19 tahun tapi kejayaan yang diraih Nor Farhatul Fairuzah Panut amat membanggakan apabila dia dinobatkan sebagai Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1440H / 2019M. Walau masih muda… namun mutu bacaan yang diperdengarkan Farhatul berjaya memikat hati panel juri sekaligus melayakkan peserta dari Negeri Sembilan ini terpilih mewakili Malaysia untuk bertanding dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada 15 hingga 20 April depan.

Dalam majlis yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, Farhatul yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik ini berjaya mengalahkan 14 qariah lain dengan memperoleh kutipan markah tertinggi 86.67 peratus. MTHQK tahun ini nyata mencipta sejarah… bukan saja kepada pihak penganjur bahkan buat Farhatul sendiri selepas dia tenang mengatasi pencapaian kakak kandungnya, Nor Faizah Panut yang menduduki tempat kedua dengan markah 86.34 peratus mewakili negeri Selangor. Allahu, hebatnya dua beradik ni! Terus terlintas di fikiran macam manalah mak ayah mereka didik anak-anak sampai berjaya menguasai bidang Al-Quran.

Bersama kakak yang memenangi tempat kedua

Tanpa berselindung, Farhatul yang dihubungi Nona dengan mesra membuka bicara. Ujar pelajar Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Agama Perempuan Labu, Negeri Sembilan ini, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula, saya dah didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan ayah yang banyak mendidik saya sejak kecil lagi sebab mereka berdua bekas Qari dan Qariah.

Ayah jadi Qari sekitar tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar Qariah pula pada tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.”

Terang anak kepada Allahyarham Haji Panut Haji Markum dan Hajah Jaliah Haji Simin ini lagi, dia sama sekali tidak menyangka mampu melakar pencapaian terbesar ini dalam usia yang masih muda. “Memang tak terfikir pun sebab saya baru je cuba masuk MTQHK tahun ni. Sebelum ni hanya johan sekolah-sekolah je.

Kalau diikutkan, selain suka dengar lagu-lagu Arab, tilawah juga salah satu hobi saya. Tapi buat masa ini, tujuan saya masuk tilawah adalah untuk menilai sejauh mana kualiti bacaaan. Belum terfikir lagi untuk jadikannya sebagai kerjaya,” kongsi Farhatul yang bercita-cita menjadi pensyarah bidang Al-Quran.

Apa yang membuatkan penulis kagum dan teruja, kelima-lima beradik Farhatul juga aktif mendalami Al-Quran dan menyertai pertandingan tilawah. “Semua adik-beradik saya pernah wakil negeri dan ke peringkat kebangsaan dalam pelbagai anjuran. Memang ini adalah impian arwah ayah dan mak. Lagipun, mak adalah guru mengajar Al-Quran.

Kenangan bersama arwah ayah dan ibu tersayang
Bersama adik-beradik yang turut menyertai pertandingan tilawah Al-Quran

Mengakui sikap sabar dan tidak mudah berputus asa antara kunci kejayaannya hari ini, Farhatul yang menyimpan hasrat membuka kelas pengajian tarannum suatu hari nanti berkata tiada petua khusus yang diamalkan sepanjang menyertai pelbagai pertandingan.

“Yang penting sekali adalah pastikan bacaan dengan baik. Membaca dulu berulang-ulang kali sehingga yakin dan lepas tu baru susun lagu yang dikehendaki. Saya sentiasa berpegang kepada ‘tip’ yang Al-Quran perlu sentiasa di hati barulah kita jadi suka membacanya.

Kalau nak dekat pertandingan tu biasanya saya tak ambil makanan pedas dan tak akan minum ais. Sehari, saya akan pastikan baca Al-Quran satu ke dua jam terutamanya lepas solat fardhu. Walau macam mana pun, tak ada had masa tertentu bila dan berapa lama nak baca. Terpulang kepada diri sendiri.”

Atas usaha gigih tersebut dan menjadi Qariah peringkat kebangsaan, Farhatul membawa pulang wang tunai RM15, 000, tambahan RM10, 000 untuk menunaikan haji, cenderahati dan sijil penghargaan. Hadiah disampaikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Mahmud.

Seramai 112 peserta dari 14 buah negeri telah berhimpun dan memperdengarkan bacaan masing-masing sepanjang 6 hari sempena penganjuran MTHQK tahun ini.

Para peserta terdiri daripada 28 qari dan qariah bagi kategori tilawah iaitu dua orang wakil (Qari dan Qariah) bagi setiap negeri. Manakala 84 hafiz dan hafizah adalah peserta dari kategori Hafazan iaitu masing-masing 42 orang bagi lelaki dan perempuan.

 

 

Foto: Instagram Farhatul Fairuzah

Share
Published by
Suzi