Terpegun dengan aura personaliti wanita ini. Meskipun lama menyepi daripada dunia seni tapi Nona percaya pasti ramai peminat drama tanah air merindui lakonan dan wajah penuh kelembutan milik pelakon cantik, Siti Shahrizah Saifuddin atau mesra di sapa Eja ini!
Paling menarik perhatian ialah penampilan terkini Eja yang makin anggun dan sejuk mata memandang. Apatah lagi, Eja sudah pun meniti usia 50 tahun pada 18 Januari lepas. Namun figura ini kelihatan masih menawan dan cantik dalam kelas tersendiri.
Mengimbas kembali populariti Eja, dia mula meraih perhatian menerusi game show Roda Impian. Selain itu, Eja juga pernah membintangi beberapa filem antaranya Bilut dan dia cukup sinonim dengan watak wanita Timur yang sarat kelembutan dek kerana wajah ayu dan tutur kata yang sopan.
Disifatkan seorang selebriti yang cukup menjaga privasi diri sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni, Eja turut pernah menggondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Janin dalam Festival Filem Malaysia (FFM 24).
Kali terakhir Nona menemu bual Eja adalah sekitar lima tahun lalu ketika dia menjadi penghias kulit depan edisi April 2017. Waktu itu, Eja sudah pun berhijab dan makin bertambah anggun dengan imej sopan seorang muslimah.
Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata Eja waktu itu apabila diaju persoalan mengenai pembabitannya yang seakan sunyi dalam industri seni. “Saya tidak tahu orang lain tetapi diri saya, pada usia ini benar-benar rasa sunyi dan sepi. Mungkin Allah sedang mendidik saya untuk melepaskan cinta dunia. Itu perasaan saya hadapi.
Kini saya lebih suka bersendiri jauh dari sorotan lampu glamor yang penah dikecap dulu. Memang ada mendengar kata-kata kecil saya sudah tidak mahu bergaul lagi atau sudah sombong. Saya bukan begitu, sebenarnya mahu betul-betul manfaatkan masa yang bersisa dengan Pencipta, suami dan anak.”
Biarpun tidak lagi mewarnai arena seni namun perkongsian Eja di platform media sosial dapat mengubat kerinduan peminat terhadap dirinya.
Bukan hanya berkongsi perkembangan terkini malah Eja turut memuat naik foto anak tersayang dan suami tercinta. Lebih-lebih lagi ketika bercuti.
Terbaharu, isteri kepada Mohd Silahuddin Jamaluddin ini sempat berkongsi momen Aidilfitri mereka. Menerusi gambar tersebut, keluarga ini mengenakan persalinan raya dalam rona senada.
Terserlah kebahagiaan mereka sekeluarga. Anak perempuan tunggal Eja, Nur Eishal pun kini menginjak usia 13 tahun.
View this post on Instagram
Difahamkan pada awal Januari lepas, Eja melancarkan produk sambal keluarannya dikenali sebagai Eishal’s Choice by Eja. Antara perisa yang dikeluarkan termasuk Sambal Petai Putar, Sambal Mangga Murni, Sambal Kicap Koyak dan Sambal Limau Lentik.
Moga perniagaan Eja makin berkembang maju dan sukses.