Umur 53 Tahun, Cucu Seorang Tapi Bekas Model Nik Nafisah Marini Makin Menjadi Awet Mudanya

Kecantikan bekas model, Nik Nafisah Marini pada usia mencecah 50-an sejujurnya amat mengagumkan. Dari segi penampilan serta raut wajah ternyata dia kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenar.

Tambahan pula sejak menimang cucu pertama tahun lepas, kebahagiaan ‘gramma’ jelita ini makin menjadi-jadi, makin manis berseri-seri!

“Saya baru dapat cucu September 2019, Tengku Hannah Mikaela. Baru masuk 8 bulan minggu lepas,” itu mukadimahnya ketika dihubungi. Si comel berpipi merah itu kini menetap di Fuji, Jepun bersama ibu bapanya yang juga anak dan menantu sulung Nik Marini.

Seisi keluarga Nik Marini di Fuji, Jepun
Cucu sulung, Tengku Hannah Mikaela

SUKA MANJAKAN DIRI

Meskipun sudah mencapai usia separuh abad, Nik Marini masih kekal cantik dan awet muda. Tak keterlaluan jika dikatakan semakin cantik sekarang dengan kulitnya yang kekal anjal dan tegang.

“Sebenarnya sama je amalan dulu dan sekarang. Saya suka manjakan diri head to toe.

Amalkan petua tradisional, pakai bedak sejuk muntah belut, selalu urut-urut, makan jamu dan bersenam. Pantang larang dulu-dulu mana yang boleh ikut, saya ikutlah.

Rahsia rambut lebat ye… (ketawa). Bukan rahsia lagi, saya sampai buat haircare sendiri sebab bagi saya, rambut kita ni sangat penting. Saya rajin buat treatment, detoks rambut, urut kulit kepala, uban pun tak nampak.

Produk-produk Marini NaturaleMagic banyak bantu pengguna yang ada masalah keguguran rambut. Bahan yang digunakan ialah minyak kemiri serta pelbagai lagi ramuan tradisional lain.

Cuma bila masuk umur 53 tahun (insyaAllah pada Disember nanti), berat badan mula naik sikit. Saya belum lagi menopaus alhamdulilah. Kulit pun masih tegang sebab saya rajin pakai manja oil. But overall masih rasa sama macam umur 30-an.”

TETAP MANJA

Walaupun jauh, tapi kecanggihan teknologi mendekatkan. Setiap hari, Nik Marini pasti membuat panggilan video, walaupun sekadar untuk melihat keletah Hannah yang comel. Akaun Instagram wanita ini juga bagai ‘dijajah’ oleh cucunya, penuh gambar-gambar Hannah!

“Anak sulung saya, Tengku Mohammad Idris Al-Ariff sudah 14 tahun di sana. Selepas belajar, dapat kerja sebagai jurutera dan berkahwin. Menantu pun sama.

Saya dah lama tunggu kelahiran Hannah. Maklumlah anak saya dah kahwin 5 ke 6 tahun baru dapat anak. Macam tak percaya pula bila baru ni kami ke Fuji, saya dapat pengalaman baru tengok urusan kelahiran bayi di Jepun. Cara kat situ lain sikit daripada sini.”

Selain ibu bapa Hannah, Nik Marini juga mempunyai seorang lagi anak yang tinggal di luar negara. Tengku Ahmed Syakir, 25 tahun, kini bertugas sebagai anak kapal Qatar Airways dan sedang menetap di sana.

Sementara dua lagi anak-anaknya, Tengku Nafisah Nadirah, 31, bekerja mengajar anak-anak autistik dan berkeupayaan khas serta yang bongsu, Ariff Hashim, 15, masih bersekolah dan menetap dengan Nik Marini di sini.

Nafisah dan Syakir bersama arwah nenek
Selamat hari ibu, mak!

Sambil berbual tentang aktivitinya sepanjang PKP berkuatkuasa, suara wanita kacukan Melayu-Serani itu tiba-tiba berubah. “Memang berbeza sebab mak saya baru meninggal dunia pada 21 Februari lepas. Kami pun tak boleh buat tahlil sebab PKP.

Bulan perayaan ni pun anak-anak tak dapat balik dari Jepun dan Doha. Jadi yang tinggal anak perempuan dan anak bongsu saya, suami saya dan burung-burung Macaw peliharaan kami.

Di rumah saya sibuk dengan urusan perniagaan online, Marini NaturaleMagic. Hari-hari buat sabun, buat syampu. Diam tak diam dah enam tahun saya buat bisnes berasaskan produk penjagaan rambut dan wajah natural ni.

Selain tu saya juga suka mengait. Buat crochet selimut dan baju cucu. Memasak… Hmm, itu ajelah aktiviti bila di rumah,” jelas Nik Marini yang merupakan anak kepada bekas Ratu Cantik Malaysia/Dunia 1966, arwah Merlyn Therese Mckelvie @ Farah Abdullah.

HATI PALING PENTING

Bagi Nik Marini, dia percaya bahawa kecantikan yang sebenar bukan diukur dari luaran semata-mata. “Ya, saya jenis tak ganggu orang dan orang pun tak ganggu saya. Saya buat hal sendiri. Kita jaga famili kita. Be a good citizen and good people.

As for me, I just want to relax, be happy and be comfortable. Cita-cita saya nak kejar akhirat dan cari bekalan apa yang tak sempat bekal dulu.

Pesan saya untuk anak-anak dan pembaca semua, stay safe dan jangan keluar sana sini. Kalau tak perlu, tak perlu keluar. Bagi yang ada anak kecil, selalu amalkan basuh tangan.

Khasnya anak-anak saya di luar negara, pakai pelitup muka walaupun orang lain tak pakai. Jangan ambil remeh walaupun orang kat situ ketawakan kita,” akhirinya.

Share
Published by
Norzalina