Nampaknya supermodel ternama Gigi dan Bella Hadid bukan sahaja mengikut jejak langkah ibu mereka, Yolanda Hadid sebagai peragawati. Malah turut mewarisi kecantikan milik wanita berusia 56 tahun tersebut. Meskipun Yolanda kian meningkat usia dan sudah melahirkan tiga orang anak namun dia masih kekal langsing, bergaya dan cantik. Kalau bergambar dengan kedua-dua puteri kesayangan, mesti orang ingat Yolanda ini adik-beradik Gigi dan Bella!
Baru sahaja menyambut ulangtahun kelahiran ke-56 pada 11 Januari lalu, bekas peragawati berketurunan Belanda-Amerika ini juga sebenarnya personaliti televisyen. Mengintai latar belakangnya, Yolanda dilahirkan Papendrecht iaitu sebuah bandar kecil di Holland yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada petani. Memandangkan dia dibesarkan dengan suasana ladang, Yolanda sudah terbiasa menunggang kuda, menjaga
lembu dan bercucuk tanam.
Yolanda kehilangan bapa tersayang ketika dia baru berusia tujuh tahun dan disebabkan mahu membantu ibu dan menyara keluarga, dia sanggup mengambil upah sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran Cina sewaktu berumur 13 tahun. Pada usia 16 tahun, takdir hidupnya berubah apabila dilamar world-famous modelling agent, Eileen Ford.
Dari sinilah, perjalanan karier Yolanda sebagai peragawati bertaraf antarabangsa bermula. Demi mengejar impian dan kehidupan yang lebih baik, dia terpaksa meninggalkan Holland untuk berkhidmat dan menetap di Paris, Milan, Hamburg, Sydney, Tokyo dan New York.
Ketika usianya mencecah 30 tahun, Yolanda berpindah ke Los Angeles dan bertemu bekas suaminya, Mohamed Hadid yang merupakan seorang ejen hartanah berketurunan Palestin-Amerika. Dia dikenali dalam bidang hartanah kerana berjaya membina hotel dan bangunan mewah di kawasan elit seperti Beverly Hills serta memiliki kekayaan yang dianggarkan bernilai 100 hingga 200 juta dolar Amerika.
Hasil perkahwinan selama enam tahun, Yolanda dan Mohamed Hadid dikurniakan tiga anak iaitu Gigi Hadid, Bella Hadid dan Anwar Hadid.
11 tahun hidup sendiri, Yolanda akhirnya memutuskan untuk berkahwin dengan penerbit dan penulis lirik terkenal, David Foster pada tanggal 11 November 2011. Namun perkahwinan mereka hanya mampu bertahan selama 6 tahun sahaja.
Selain pernah membintangi program realiti The Real Housewife of Beverly Hills, Yolanda juga menerbitkan buku mengenai kehidupannya dalam naskhah ‘Believe Me: My Battle with the Invisible Disability of Lyme Disease.’ Puas menikmati kehidupan glamor dan mewah, Yolanda kini dilihat gemar menjalani kehidupan di ladang bersama haiwan ternakan dan tumbuh-tumbuhan selain berkongsi aktivitinya di Instagram buat tatapan lebih 3 juta peminat.
This website uses cookies.