Umur 57 Tahun, Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim Rasmi Bergelar Pesuruhjaya Sumpah, Fokus Kerjaya Di Gombak

Teduh dan nyaman, suasana hijau di lingkungan mahligai Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim menebar ketenangan. Pertama kali berkunjung ke sini, tak lepas mata memandang keindahan banglo yang tersergam. Cukup segalanya, lengkap sebuah pejabat Pesuruhjaya Sumpah di tepi lot kediaman.

Dinamakan sebagai Beyt Sitte Elhabayeb 9922, di sinilah warga Gombak dipelawa mendapatkan perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah. Rupa-rupanya penceramah yang juga ahli politik disegani ini sudah pun memulakan karier barunya bermula 2 Februari 2022 lalu.

“Alhamdulillah setelah hampir setahun saya melalui kursus dan peperiksaan di bawah Mahkamah Persekutuan, akhirnya saya dilantik sebagai Pesuruhjaya Sumpah untuk berkhidmat di kawasan Gombak.

Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim

 

Pejabat rasmi Dato’ Dr. Mashitah

 

Saya jadi macam pelajar balik, saya pun tak tahu kenapa saya cabar diri saya begitu (ketawa). Ramai orang tanya, ‘kenapa nak ambil ya, berapa sen je orang bayar Pesuruhjaya Sumpah ni? Satu surat akuan sumpah baru RM4 je.’

Saya jawab, ia bukan tentang RM4 tapi tentang mencabar diri untuk belajar semula dan mengetahui lebih banyak tentang undang-undang.

Saya pernah menjadi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kini saya nak mencabar diri saya dalam bidang kehakiman dan perundangan pula.

Sebagai seseorang yang datang daripada latar belakang keagamaan dan syariah, ia langsung tak sama dengan bidang kehakiman.

Saya cuma belajar secara cepat untuk jadi Ahli Dewan Negara dan Ahli Parlimen yang baik, mengikut basic requirement.

Jadi sekarang bila dah bukan siapa-siapa, saya ambil keputusan dalam waktu PKP – ‘Kenapa tidak saja belajar untuk menjadi Pesuruhjaya Sumpah?’ Sebab saya rasa itu sesuai untuk seseorang yang dah ada latar belakang ini.” Dato’ Dr. Mashitah

 

 

Mengenali peribadi hebat isteri kepada Dato’ Abdul Shakur Abu Bakar ini, Dato’ Dr. Mashitah sebenarnya bukanlah insan yang asing dalam arena pendidikan tinggi negara kerana pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama 16 tahun bermula 1988 hingga 2004.

Anak kelahiran Kedah yang mendapat pendidikan menengah di Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah (1977-1982) tersebut mempunyai latar belakang pendidikan tinggi yang cemerlang iaitu merupakan lulusan Sarjana Muda Tafsir dan Hadis dari Universiti Al-Azhar Mesir (1984-1987) serta memiliki Ijazah Sarjana Shariah Islamiyyah (1994) dan Doktor Falsafah (PhD) Shariah Islamiyyah (1997) dari Darul Ulum, Universiti Kaherah, Mesir.

Malah, beliau turut memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Revealed Knowledge and Heritage dari UIAM (1991). Dato’ Dr. Mashitah mula menceburi bidang politik apabila memenangi kerusi Parlimen Baling pada Pilihanraya Umum 2004 dan terus diberi kepercayaan oleh Kerajaan untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri selepas itu (2004-2008).

Pada 2008, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Dato’ Dr. Mashitah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri melalui lantikan sebagai Senator.

 

CABARAN

Ditanya bagaimana timbulnya minat untuk kembali mentelaah dan mendalami buku undang-undang pada usia begini, Dato’ Dr. Mashitah sempat tertawa kecil.

“Memang sangat mencabar. Saya terpaksa menghadapi peperiksaan, 1 soalan 1 minit untuk jawab, sebanyak 60 soalan. Saya kata – ‘Biar betul at the age of 57 ni! Kuat lagi ke memori nak ingat ni!’ (ketawa)

Alhamdulillah dalam banyak-banyak beratus orang tu, akhirnya berjaya. Ada orang yang sampai 10 kali peperiksaan pun tak berjaya. Sebab peperiksaan ni agak sukar, banyak buku yang kena dibaca dan lebih lagi tentang undang-undang ni kita kena ‘sharp’.

Saya duduk dalam bidang politik, saya dilatih untuk membolehkan apa saja. Yang tak boleh pun kita kena bagi boleh, sebab kita politician. Iyalah, nak bagi rakyat seronok. Itu kita punya latihan dulu. Tapi duduk dalam undang-undang, it’s a big NO. A is A. Tidak ada tolak-ansur. Ia melatih saya kepada satu bidang baru.

Kerjaya baru Dato’ Dr. Mashitah

 

Menjadi Pesuruhjaya Sumpah, saya perlu lebih precise, sharp, tepat, tidak boleh tersilap. Kena tepat betul, kalau orang datang, kena periksa dulu latar belakang sebelum nak tanda tangan.

Pastikan betul ke dia ni tanpa dipaksa untuk sumpah dia, apa afidavit yang dibawa, kita ni sebagai pembantu Mahkamah apa exhibit dia… A lot of things yang saya belajar dalam satu dunia baru.” Dato’ Dr. Mashitah

 

KERJAYA

Dato’ Dr. Mashitah turut berkhidmat dan menyumbang dalam pelbagai lapangan lain berkaitan institusi agama Islam, pendidikan dan industri antaranya Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (2012-kini); Pengarah Grand Commerce Network Sdn. Bhd (2014-kini) dan Panel Perunding Majlis Perundingan Islam (MPI) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) (2015-2018).

Beliau juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 28 September 2020 hingga 27 September 2022. Pelantikan beliau dibuat oleh YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi adalah selaras dengan Seksyen 17(1)(f) Perlembagaan USIM (Wakil Swasta).

 

Mengakhiri pertemuan singkat kami, Dato’ Dr. Mashitah turut berkongsi perasaannya dengan kehidupan yang dijalani kini.

“Alhamdulillah saya rasa kini saya juga dah menetap langsung di Gombak. Kalau dulu saya berpolitik di Baling, agak sukar. Jadi bila bermula PKP hari tu, saya dah tak boleh balik. Susah nak bergerak ke luar kawasan.

Selepas bincang dengan Presiden Parti untuk bertukar, menumpukan kerjaya politik saya di Gombak supaya tak menyusahkan saya untuk berulang-alik. Akhirnya mendapat restu.

Jadi saya banyak menumpukan karier politik di Gombak sekarang. Anak-anak pun alhamdulillah, ketiga-tiganya sudah berkahwin. Saya rasa penumpuan pada keluarga tu, dapat lebih banyak berbanding dulu.

Di peringkat-peringkat umur ni, saya mahu kestabilan. Dulu kita tak stabil, terpaksa berulang-alik. Di sini tinggal, di sana kena tengok. Sekarang saya rasa diri saya lebih stabil.

Saya ada karier, saya masih lagi boleh berpolitik dan dalam masa yang sama, saya ada pejabat yang kondusif dengan rumah saya. Saya boleh bagi semua orang hak masing-masing.” Dato’ Dr. Mashitah

Share
Published by
Norzalina