Anugerah berprestij Oscars 2021 atau The Academy Awards ke-93 telah pun melabuhkan tirainya tiga hari lalu. Kemenangan Frances McDormand, bintang Hollywood berusia 63 tahun sebagai Aktres Terbaik jelas membuktikan bahawa bakat lakonan jauh lebih penting berbanding rupa paras semata.
Berbanding pelakon A-list lain di Hollywood, nama Frances Louise McDormand mungkin agak jarang diperkatakan. Namun bakat pelakon dan produser Amerika itu sebenarnya disanjung tinggi selepas memenangi pelbagai anugerah di Academy Awards, Golden Globe Awards, BAFTA Awards dan Emmy Awards.
“I have no words. My voice is in my sword. We know the sword is our work and I like work. Thank you for knowing that and thanks for this” – Frances McDormand, Oscars 2021
Begitu mendalam ucapan McDormand pada malam anugerah tersebut sebagai tanda ekspresinya terhadap dunia lakonan.
Berasal dari Gibson City, Illinois, McDormand mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Seni (Teater) 1979 dari Bethany College. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Master of Fine Art dari Yale School of Drama pada tahun 1982, sebelum mendirikan rumah tangga dengan Joel Coen pada tahun 1984.
Meskipun berlangsung dalam suasana normal baharu, malam anugerah Oscars 2021 tetap menjadi tumpuan penggiat seni di seluruh dunia. Nona tertarik berkongsi perjalanan kerjaya Frances McDormand yang diangkat sebagai ‘Best Actress’ berkat penampilannya dalam filem Nomadland (2020).
Wanita berusia 63 tahun itu memulakan kerjaya sejak tahun 1984. Menerusi lakonan beliau dalam filem Mississippi Burning, McDormand menerima pencalonan Oscars pertama sebagai ‘Best Supporting Actress’ pada tahun 1989. Walaubagaimanapun, kemenangan tidak berpihak kepadanya.
Lapan tahun kemudian, McDormand berjaya menggenggam trofi ‘Best Actress’ Oscars pertama pada tahun 1997. Lakonan beliau dalam filem Fargo yang diarahkan oleh sutradara Joel Coen (suami McDormand) juga menerima pujian hebat.
19 tahun setelah kemenangan pertamanya di Oscars, McDormand sekali lagi memecah tradisi apabila diangkat sebagai ‘Best Actress’ menerusi filem Three Billboard Outside Ebbing, Missouri.
Pada tahun 2020, berkat lakonan McDormand sebagai Fern dalam filem Nomadland memberikan kemenangan ketiganya sebagai ‘Best Actress’ Oscars 2021.
Bakat McDormand membuktikan bahawa rupa paras dan usia seseorang bukanlah ukuran penting untuk berkarya dalam dunia lakonan.