Jika Ilhan Omar berjaya mencipta sejarah selaku Anggota Kongres Wanita Pertama Amerika Syarikat yang beragama Islam, Halima Aden pula mengangkat martabat wanita Muslim di peringkat antarabangsa dalam bidang fesyen dan peragaan. Kalau sebelum ini masyarakat dunia agak skeptikal menerima wanita berhijab… kini penampilan dua ikon hebat ini semakin diterima baik dan menjadi inspirasi ramai wanita.
Dilahirkan pada 19 September 1997, Halima Aden merupakan aktivis dan model terkemuka kelahiran Amerika-Somalia yang sedang meniti puncak kerjaya hari ini. Meskipun baru ‘terjun’ ke dunia peragaan dan fesyen, wanita cantik ini sudah pun meraih pelbagai pencapaian membanggakan. Secara tidak langsung, penglibatan Halima dalam bidang glamor ini membuka mata penduduk dunia mengenai kemampuan wanita Islam.
Di kota fesyen terkenal seperti New York, London dan Milan… Halima dikenali peminat fesyen kerana penampilannya yang unik ketika menggayakan hijab, headwrap dan turban. Lebih-lebih lagi tatkala berjalan di pentas peragaan. Sering menghiasi muka depan majalah fesyen popular, pertunjukan fesyen berprestij dan kempen jenama mewah, Halima juga tidak terlepas menjadi buruan agensi model antarabangsa.
Kini, dia merupakan salah seorang ahli IMG Models yang membariskan model terkenal seperti Bella Hadid, Gigi Hadid, Gisele Bunchen, Miranda Kerr, Hailey Bieber, Karlie Kloss dan Kate Moss. Nama-nama hebat tu!
Mengimbas kembali perjalanan karier Halima, auranya mula bersinar sejak dia menyertai pertandingan ratu cantik Miss Minnesota pada tahun 2016. Waktu itu, Halima merupakan satu-satunya peserta yang mengenakan hijab dan layak ke peringkat semi final. Kongsi Halima, dia sudah mula mengenakan kerudung kepala sejak kecil dan meminta tudung sendiri daripada ibunya ketika baru berumur lapan tahun.
Lebih membanggakan, Halima ialah wanita hijab pertama yang menghiasi muka depan majalah British Vogue sekaligus membuktikan kepada dunia bahawa wanita berhijab sepertinya masih punya tempat dalam peragaan fesyen mewah! Tiga tahun kemudian, Halima sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wanita Muslim pertama memperagakan burkini untuk Sports Illustrated Swimsuit.
Gadis yang memiliki ketinggian 5 kaki 5 inci ini juga tanpa berselindung menjelaskan dia dikelilingi dengan wanita berhijab sejak dari kecil lagi dan jatuh cinta dengan penampilan seumpama itu hingga membuatkan dia tertarik untuk turut sama mengenakan tudung. Halima juga menegaskan, memakai hijab adalah pilihannya sendiri dan bukan dibuat atas desakan sesiapa.
Sedar setiap gerak-geri dan penampilannya menjadi ilham kepada wanita hijab lain, Halima tidak lokek berkongsi tutorial pemakaian hijab. Sambil mengakui dia adalah orang yang ringkas dan tidak gemar menggunakan pin semasa memakai tudung, Halima dilihat sering memuatnaik video tutorial hijab mudah yang menjadi pilihannya terutama turban.
Sumber: Stars Insider
This website uses cookies.