Tahukah anda, tabiat pemakanan dan hormon antara faktor penting terhadap timbunan lemak dalam badan sehingga mempengaruhi berat badan? Setelah usia mencapai 40 tahun bukan mudah untuk menurunkan berat badan. Salah satu puncanya ialah perubahan beraktiviti.
Tiga cara utama yang perlu dilakukan bagi menjaga berat badan ideal iaitu bersenam, menjaga pemakanan dan amalan gaya hidup sihat.
BERSENAM 30-60 MINIT SEHARI
Jumlah ini tidak perlu dilakukan sekaligus. Anda boleh melakukan 2-3 kali sehari sehingga berpeluh. Jika anda pergi bercuti sekalipun pastikan anda menjaga jadualnya secara teratur.
MUZIK KEGEMARAN
Muzik yang rancak dan ceria terbukti dapat membangkitkan semangat untuk bergerak dan bersenam. Cubalah! Cari muzik yang anda sukai untuk anda bersenam.
SERTAI KUMPULAN SENAMAN
Selalunya melakukan senaman secara bersendirian banyak halangannya. Disarankan sertailah kumpulan kecergasan seperti aerobik atau zumba di kawasan kejiranan anda. Tentu lebih mudah. Atau, ajak rakan-rakan anda untuk membentuk kumpulan kecergasan sendiri.
MINUM AIR SECUKUPNYA
Air mencepatkan metabolisme badan selain dapat membantu membersihkan racun dalam badan. Minumlah air putih secukupnya setiap hari.
AMBIL MAKANAN BERSERAT TINGGI
Makanan jenis ini menjadikan anda merasa kenyang dalam jangka masa panjang. Antara contoh makanannya ialah kekacang, beras merah, kelapa dan buah pear.
JANGAN BERBELANJA KETIKA LAPAR
Sedang anda mencari barang keperluan untuk program diet di pasaraya, tiba-tiba perut anda berkeroncong. Lantas dengan lajunya anda mencapai snek atau makanan kudapan yang manis masuk ke dalam troli. Jangan dibiasakan tabiat ini, pastikan anda dalam keadaan kenyang sebelum keluar membeli.
CUKUP TIDUR
Tidurlah 7-8 jam untuk kebaikan otot-otot badan setelah bersenam. Mereka yang kurang bersenam biasanya akan mengambil kudapan secara berlebihan. Apabila anda mengalami kesukaran tidur, lakukan senaman pernafasan yang mudah.