Saya amat merindui suaranya terutama ungkapan ‘Sayang Ibu’ yang paling menyentuh jiwa.
Ibu mithali ini kental mengharungi ujian di mana dia harus menjaga anak yang lumpuh dan cacat kekal akibat kemalangan. Ujiannya sungguh hebat. Mazulaiha Saidin, 55, terpaksa menerima hakikat bahawa anak, Alif Hakimi Saharin yang berusia 15 tahun kini hanya mampu terbaring tanpa tindak balas normal.
Mazulaiha dan suami, Saharin Abu Talib (45 tahun) reda dengan ketentuan Ilahi. Kasih sayang terhadap Alif Hakimi tetap tidak berubah. Anak sulung mereka, Afiq Haikal Saharin berusia 17 tahun ringan tulang membantu menguruskan adiknya itu setiap hari.
Keluarga ini tergolong sebagai asnaf gharimin. Saharin berkerja sebagai pembantu tadbir sementara Mazulaiha tidak bekerja. Mereka kini menduduki rumah sendiri dengan kadar bayaran RM1,000 sebulan serta perlu membayar ansuran bulanan kereta sekitar RM700 sebulan.
MALANG TIDAK BERBAU
“Alif seorang anak yang baik, manja, ceria, disenangi ramai serta aktif bersukan di sekolah. 15 Mac 2016 adalah detik sedih buat kami sekeluarga apabila Alif terlibat dalam kemalangan antara motosikal dan kereta.
Segalanya bermula apabila Alif meminjam motosikal ayahnya yang baru pulang dari kerja. Tidak sampai 10 minit kami dimaklumkan Alif kemalangan. Waktu itu sekitar pukul 7 malam. Abangnya, Afiq bergegas ke tempat kejadian dan sedih melihat keadaan Alif waktu itu. Katanya Alif masih sedar tapi darah banyak keluar.
Mata dan hidung cedera. Afiq turut menaiki ambulan hingga ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Sekitar pukul 12 malam Alif dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan ditempatkan di wad ICU. Ketika itu Alif sudah tidak sedarkan diri. Doktor mengambil keputusan untuk menjahit matanya. Hampir tiga bulan setengah Alif diwadkan di Hospital Sungai Buloh.
Kami terpaksa berulang alik. Setelah pembedahan membuka tempurung kepala dilakukan Alif terus lumpuh hingga kini,” luah Mazulaiha yang turut membawa Alif berurut dan menjalani rawatan fisioterapi di hospital.
RUTIN
“Kini Alif sudah mampu membuka matanya. Walaupun tidur namun tiada respon. Alif berada di alamnya sendiri. Terlantar dan tidak dapat mengurus diri sendiri termasuk makan minum, pakaian dan mandi. Walaupun keadaannya begitu saya tidak pernah jemu bercakap dengannya setiap hari. Saya faham Alif mahukan perhatian. Setiap malam kami bergilir-gilir menjaga Alif.
Setiap hari Alif diberikan susu khas setiap tiga jam sekali dan lampin pakai buang. Satu tin susu boleh tahan selama dua hari. Jika dulu minum ikut mulut tapi kini terpaksa pakai tiub di perut. Enam bulan sekali kena tukar tiub.
Rutin lain ialah rawatan fisioterapi dan pemeriksaan mata di hospital. Pemantauan 24 jam penting bagi memantau pengeluaran kahak, batuk dan muntah bagi mengelakkan sawan,” jelas Mazulaiha yang berasal dari Perak.
Bermula Jun 2017, Lembaga Zakat Selangor memberikan bantuan perubatan sebanyak RM600 sebulan untuk keperluan susu khas dan lampin pakai buang.
KENANGAN
“Alif bukan saja menjadi kesayangan kami sekeluarga bahkan orang-orang kampung di sini kerana sikapnya yang rajin, suka bergurau dan mesra dengan sesiapa sahaja. Kini semuanya tinggal kenangan dan saya amat merindui suaranya terutama ungkapan ‘Sayang Ibu’ yang paling menyentuh jiwa.
Saya masih ingat, sehari sebelum kemalangan Alif bersikap pelik dan kuat merajuk. Dia beria sangat hendak tidur dengan saya dan ayahnya. Hendak tidur tengah-tengah pula tu. Mungkin itulah petandanya. Saya bersyukur kerana umurnya masih panjang. Saya akan menjaganya selagi bernafas,” akhiri Mazulaiha yang susut badannya sejak menjaga Alif. Biarpun ada masalah paru-paru namun wanita ini tabah mengharungi ujian Allah SWT. AMY MOHD
This website uses cookies.