Seperti bayi yang belajar berjalan, begitulah tawakal seorang usahawan dalam menstabilkan bisnes yang dijalankan. Dari merangkak mencari tapak, kemudian belajar berdiri dan bertatih memasarkan jualan, proses jatuh bangun itu berkembang sebagai latihan yang normal. Fasa inilah yang mematangkan Pengasas Kayman Beauty, Fatin Nabila Binti Khairul Anuar hingga produk yang diusahakannya menempa nama dalam industri.

Ads

Bermula dengan keuntungan berniaga kecil-kecilan, wang modal yang dikumpul oleh Fatin Nabila atau Belle, dilaburkan untuk membina empayar perniagaan yang diimpikan. “Saya mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ketika berusia 23 tahun. Akhirnya pada tahun 2017 dan bermodalkan RM15,000 hasil perniagaan baju, kasut, dan bag secara dropship agent, saya menubuhkan perniagaan sendiri yang diberi nama Kayman Beauty.

Untung Berniaga Kecil-Kecilan, Belle Bina Empayar Perniagaan Kayman Beauty

Usaha saya banyak dibantu oleh ahli keluarga terdekat termasuk nenek. Paling sukar dilupakan, saya pernah membuat business proposal dan disuruh membentangkannya di depan nenek semata-mata bagi mendapatkan pinjaman pada ketika itu untuk memulakan perniagaan. Dengan modal tersebut juga saya jalankan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk pertama saya iaitu CoalFace Soap dan Alhamdulillah sampai sekarang masih mendapat sambutan hangat,” tutur Bella memulakan bicara.

Sepanjang dua tahun di pasaran, Kayman Beauty telah memasarkan empat produk iaitu Coalface Soap, CoalFace Cleanser, Rosa Glow Treatment Essence dan terbaharu, Skintella Repairing Serum. “CoalFace Soap adalah sabun pencuci muka yang diformulasikan daripada arang dan madu. Manakala CoalFace Cleanser pula menggunakan formula yang lebih lembut untuk menangani kulit kering dan sensitif.

Untung Berniaga Kecil-Kecilan, Belle Bina Empayar Perniagaan Kayman Beauty

 

Rosa Glow Treatment Essence pula adalah esen pencerahan yang difokuskan kepada pengguna yang mempunyai masalah parut jerawat dan kulit kusam. Manakala Skintella Repairing Serum yang baru memasuki pasaran sekitar Jun tahun lalu, mengambil masa selama lebih satu tahun untuk dihasilkan. Ia berasaskan bahan centella dan bifida ferment filtrate, sesuai untuk memperbaiki kulit yang rosak akibat jerawat.”

Jelas wanita berusia 27 tahun ini lagi, sepanjang menjalankan perniagaan ada banyak dugaan dan halangan yang ditempuh sebelum melakar kejayaan. Namun, Belle menganggap setiap cabaran yang mendatang sebagai kenangan manis jika ia dilalui dengan penuh kesabaran.

Ads

Untung Berniaga Kecil-Kecilan, Belle Bina Empayar Perniagaan Kayman Beauty

“Tidak dinafikan, setiap perniagaan ada cabarannya. Bukan senang nak dapatkan kepercayaan masyarakat tentang kualiti produk keluaran Kayman Beauty, jadi itulah cabaran utama kami. Tapi saya yakin sebagai produk keluaran tempatan, Kayman Beauty juga boleh berdiri setanding dengan produk antarabangsa kerana selaku pengasas produk, saya hanya mahu yang terbaik. Tahun 2020 ini  saya merancang untuk menghasilkan produk yang lebih berkualiti tinggi dan menembusi pasaran antarabangsa,” terangnya bersungguh-sungguh.

Untung Berniaga Kecil-Kecilan, Belle Bina Empayar Perniagaan Kayman Beauty
Biarpun menggalas tugas sebagai usahawan dan isteri dalam satu masa, itu tidak sesekali membuatkan Belle mengabaikan tanggungjawab hakiki. Malah, wanita yang memiliki senyuman manis ini menjadikan keluarga sebagai pendorong utama di sebalik kejayaan yang dikecapinya.Menjadikan dua usahawan wanita yang merupakan Pengasas Glow Recipe iaitu Sarah Lee dan Christine Chang sebagai sumber inspirasi dalam dunia perniagaan dan kecantikan, tidak hairanlah jika Belle mampu membuktikan produk keluarannya boleh diterima baik oleh masyarakat.

Ads

“Pengetahuan mereka tentang dunia kecantikan yang sangat terperinci membuatkan semangat saya semakin membuak-buak untuk belajar lebih mendalam lagi tentang sains kecantikan terutamanya dari segi penjagaan kulit wajah, sesuai dengan usaha Kayman Beauty untuk membantu pengguna fokus kepada kesihatan kulit wajah mereka. Tak cukup dengan itu, kegigihan mereka dalam mendidik masyarakat tentang penjagaan kulit wajah dan pada waktu yang sama membina jenama sendiri sentiasa membuatkan saya kagum.”

Ketika diajukan pertanyaan apa lagi impian yang belum tercapai sepanjang bergelar usahawan, Belle menjawab, “Menjadi impian saya untuk melihat Kayman Beauty menembusi pasaran antarabangsa dan dapat berdiri setanding dengan produk-produk jenama antarabangsa di pasaran sekarang.

Selain itu, saya juga ingin menubuhkan persatuan yang mengumpulkan semua usahawan wanita baru di bawah satu bumbung untuk berkongsi permasalahan dan pengalaman masing-masing dalam dunia perniagaan. Kita tahu usahawan muda yang baru ingin bermula agak clueless dengan dunia perniagaan dan diharapkan dengan wujudnya persatuan ini, sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang baru ingin bertapak dalam dunia perniagaan,” jawabnya penuh harapan.

Untung Berniaga Kecil-Kecilan, Belle Bina Empayar Perniagaan Kayman Beauty

Sebelum mengakhiri perbualan, Belle sempat menyatakan syukur ke atas penghargaan yang diterima oleh Kayman Beauty. “Alhamdulillah, terima kasih Majalah Nona kerana memilih saya sebagai salah seorang penerima Anugerah Nona Top Beauty Entrepreneur. Saya teruja kerana masyarakat mula sedar potensi yang ada pada Kayman Beauty dan diri saya sendiri walaupun masih setahun jagung menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Pengiktirafan ini juga membuatkan saya lebih bersemangat dan berazam meningkatkan lagi usaha untuk terus memajukan diri dalam perniagaan. Selain itu, saya juga berharap jenama Kayman Beauty dapat memberi banyak manfaat kepada pengguna pada masa akan datang,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI