Zahirah Macwilson antara pelapis anak seni yang mewarnai dunia lakonan tanah air. Zahirah dilahirkan di Kuala Lumpur dan membesar di Sydney, Australia dan berketurunan British (bapa) dan Melayu (ibu) merupakan anak sulung dari empat adik-beradik.
Memulakan kerjaya awalnya sebagai model pada usia 12 tahun ketika di bangku sekolah, Zahirah MacWilson memulakan kerjaya lakonan profesional pada 2015 menerusi drama orientasi remaja Dunia Generasi Baru dengan memegang watak Zahra, diikuti oleh watak Dr. Katrina dalam Hidayahmu Ramadan.
Namanya mula menjadi perhatian ramai selepas membintangi drama Mencintaimu bersama Sharnaaz Ahmad dengan memegang watak Annisa. Memiliki wajah pan-Asia menjadikan wajah Zahirah tidak jemu dipandang.
Artis-artis wanita berwajah pan-Asia dilihat sebagai antara selebriti yang paling mudah mencipta nama. Senario ini sebenarnya bukan baru bagi dunia hiburan tanah air kerana tradisi sedemikian sudah lama diwarisi.
Ada kalanya ia hanya bermula dengan penampilan dalam iklan komersial, mereka lantas dengan mudah ditawarkan berlakon filem mahupun bergelar penyanyi. Semuanya semata-mata kerana wajah pan-Asia yang dimiliki mereka. Apa istimewanya golongan ini sehingga dengan begitu mudah mereka mencipta populariti dalam dunia seni tanah air?
Tatkala ditanya tentang kelebihan memiliki wajah pan-Asia bagi Zahirah semuanya bergantung pada bakat. Bagi Zahirah, wajahnya tidaklah terlalu pan-Asia jika dibandingkan dengan pelakon-pelakon lain yang lebih ‘kuat’ aura pan-Asianya.
“Bakat adalah perkara utama apabila melibatkan diri dalam dunia lakonan. Memiliki wajah pan-Asia juga tidak membataskan diri saya untuk melakonkan watak wanita kampung. Saya tidak menganggap wajah pan-Asia sebagai platform untuk berjaya dalam dunia seni kerana bagi saya, wajah cantik sahaja tidak mencukupi jika tidak disertai dengan bakat,” ujar Zahirah.
Apabila melihat wajah Zahirah dan juga Amelia Henderson, pasti akan mengingatkan kita tentang pelakon berwajah pan-Asia yang cukup terkenal suatu ketika dahulu. Nama-nama seperti Julia Rais, Sofea Jane, Ramona Rahman, Deanna Yusof dan lain-lain menjadi siulan di bibir peminat. Meskipun berlainan era namun akui Zahirah dia mengenali nama-nama pelakon terkenal tersebut.
Dalam perkembangan lain, Zahirah bakal muncul dengan drama 28 episod, Jangan Benci Cintaku untuk slot Akasia.
Seperti Zahirah, si cantik manis berwajah ‘Mat Salih’, pelakon dan model berdarah campuran India dan Scotland, Amelia Henderson juga dianggap bertuah kerana memilik wajah pan-Asia. Sama seperti Zahirah, Amelia tidak pernah menganggap wajah pan-Asia memberi satu kelebihan buat diri seorang anak seni sepertinya.
“I don’t think so. Wajah pan Asia itu bukan satu kelebihan, at the end of the day kalau kita tak ada bakat, walaupun memiliki wajah pan-Asia, kita tidak akan ke mana-mana. Nama-nama besar seperti Julia Rais dan Sofea Jane sudah berjaya membuktikan bahawa mereka bukan sahaja memiliki rupa paras yang menawan tetapi juga berbakat besar dalam dunia lakonan,”ujar Amelia.
Memulakan kerjaya seawal usia 10 bulan, bakat Amelia mula digilap ketika terlibat dengan iklan komersial. Kini Amelia bukan sahaja terlibat dalam dunia lakonan tetapi juga dalam dunia pengacaraan.
Ditanya antara dunia lakonan dan juga pengacaraan, Amelia mengakui bahawa agak susah untuk dia memberikan jawapan. Hal ini kerana dunia lakonan dan juga pengacaraan adalah bidang yang sangat berbeza. Bagi Amelia, kedua-dua bidang tersebut punya kelebihan yang tersendiri.
Menyentuh tentang perkembangan terkini dirinya, Amelia bakal muncul dalam drama Pengantin 100 Hari dan drama Jangan Benci Cintaku.
This website uses cookies.