Upah Mekap ‘Seikhlas Hati’ Cara MUA BELLAZ Bantu Pengantin Kurang Mampu Telah Dikecam

Nama MUA Bellaz telah menjadi tular berikutan kepetahan Makeup Artist yang terkenal dari utara ini berkomunikasi dalam sesi tutorial solekan di laman media sosial miliknya. Ramai jurusolek muda telah mengangkat anak jati Tanjung Dawai, Kedah ini sebagai idola mereka dalam dunia solekan.

Walaupun begitu kejayaan MUA Bellaz tidak datang bergolek tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Bila sudah ‘senang’ dan berjaya MUA Bellaz tak pernah malu mengaku datang dari keluarga susah. Kejayaan yang berada dalam genggamannya sekarang bukan tiket untuk wanita ini terus mendabik dada bila sudah berada di kemuncak.

Niat wanita yang mempunyai pengikut berjumlah 1.3 juta di laman Instagram ini untuk membantu bakal pengantin yang kurang berkemampuan tetapi mahu tampil cantik di atas pelamin seperti orang lain telah disalahertikan. Ini ekoran dari kenyataan MUA Bellaz yang meletakkan kadar upah mekap ‘seikhlas hati’ buat bakal pengantinnya.

Kongsi MUA Bellaz, “Saya tiada niat lain bila keluarkan kenyataan upah mekap seikhlas hati melainkan mahu melihat pengantin gembira di hari bahagia mereka. Namun, bukan semua calon pengantin layak mendapat peluang sebegini. Saya hanya akan memilih calon pengantin yang benar-benar kurang berkemampuan sahaja.

Ada sesetengah mak andam fikir bila saya minta upah begitu akan jatuhkan market mak andam atau senang kita panggil macam value. Sedangkan apa yang saya cuba buat tu adalah untuk bantu orang yang betul-betul tak mampu tapi inginkan kelihatan cantik di hari bahagia mereka.

Bukan saya buat selalu, cuma sekali tu saja. Tapi tak apa lah saya tak marah pun siapa yang kecam. Sebab itu adalah hak mereka. Saya yakin kalau mereka faham niat sebenar saya mesti mereka akan support

. Ini kerana saya buat ni adalah sebahagian amal jariah membantu orang-orang yang inginkan sentuhan dari MUA Bellaz tapi tak mampu. Sebab tu saya buka peluang untuk orang yang benar-benar memerlukan,” ulas MUA Bellaz atau nama sebenarnya Nur Nabila Zulyadaini.

MUA Bellaz mula meneroka bidang solekan sejak mengandungkan anak pertamanya Iris Alisya 6 tahun dahulu. Malah wanita berdarah kacukan Turki-Melayu ini juga sudi menitipkan nasihat kepada 9 peserta Fabulous MUA yang bersiaran di episod 1 tempohari.

Isteri kepada Anuar Ahmad ini menceritakan pengalamannya mula bertatih di media sosial sebagai jurusolek, “Saya bermula dengan Facebook Live. Masa itu belum ada lagi jurusolek yang membuat tutorial mekap di Facebook Live. Kalau nak berjaya kita kena buat sesuatu yang orang belum buat lagi.

Mula-mula saya kongsi ilmu, orang akan follow kita sebab nak belajar. Start daripada situ saya bina nama dan kerjaya dalam bidang ini. Daripada situ nama saya terus berkembang sehingga sekarang.

Tapi yang penting kena ada keyakinan. Kalau nak buat facebook live malu atau segan semua kena tolak tepi, kita kena kebal kecaman. Kalau masuk dalam dunia mekap ni hati kena sado. Kecaman tu perkara biasa bagi saya tapi, kalau nak berjaya kena banyak sabar.

Tipu kalau kata saya tak pernah menangis. Saya juga ada pernah menangis bila ada klien pernah tarik diri hanya semata-mata disebabkan fitnah. Tapi nak buat macam mana kita kena kuat, pengalaman dijadikan pengajaran,” tutur MUA Bellaz yang baru berusia 27 tahun ini.

Share
Published by
Hamizatul Maizan