Raut wajah Datuk A. Aida ternyata menggambarkan rasa syukur dan gembira apabila anak sulungnya, Wan Az Aleesa Wan Aminuddin, 27 mengikat tali pertunangan dengan juruterbang, Zain Azrai Abdul Aziz, 27 tahun sabtu lalu.
Majlis pertunangan pasangan tersebut telah diadakan di pusat peranginan D’Manggis, Janda Baik, Pahang milik produser tersebut.
Bekas suami Datuk A. Aida, Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng turut menyaksikan majlis istimewa anak sulungnya sambil memberikan restu terhadap fasa perjalanan kehidupan anak dan bakal menantunya itu.
“Saya tahu mereka sudah lama berkawan. Ada fasa putus, kemudian berbaik semula. Zain seorang lelaki yang baik. Seimbang dunia dan akhirat.
Sebagai bapa, benda pertama yang saya soal kepadanya adalah soalan asas sama ada dia mampu membaca surah Al-Fatihah dengan sempurna”, ujar Ameng yang ternyata bersyukur anak sulungnya bakal dijodohkan dengan seorang lelaki yang mempunyai asas agama yang baik sekaligus mampu menjaga anaknya dengan baik.
Sementara itu, bagi Datuk A. Aida, perasaan sebak menyelubungi dirinya sebaik sahaja anak sulungnya itu bergelar tunangan orang.
“Kita sudah menjaga dia dari kecil. Tiba-tiba, dia akan dilepaskan menjadi milik orang. Selama ini, pergi ke mana pun saya sebagai ibu akan tahu di mana dia berada. Kami anak-beranak sememangnya amat akrab.
Kini saya mengerti mengapa ‘drama air mata’ akan berlaku apabila anak-anak melalui fasa baharu dalam hidup mereka. Sebagai ibu, saya doakan segalanya yang terbaik buat Aleesa dan Azrai,” ujar A.Aida yang turut mengundang 200 tetamu terdiri daripada keluarga dan kenalan rapatnya.
Segala persiapan majlis pertunangan dilakukan sendiri oleh Datuk A.Aida sebagai tanda rasa syukur dan teruja bakal menerima menantu sulung di dalam keluarganya. A Aida pernah mendirikan rumah tangga dengan vokalis kumpulan Spring, Ameng pada 1994, tetapi bercerai pada 2003. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak perempuan, Wan Az Aleesa dan Wan Azevanatassha.
Pasangan ini bakal melangsungkan majlis pernikahan pada 15 Julai hadapan di lokasi yang sama.