Hajah Noraniza Anwar atau dikenali sebagai Aniz Haji Anwar merupakan graduan Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling Psikologi dari Universiti Putra Malaysia. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang kaunseling sejak tahun 2003 dalam bidang kekeluargaan & perkahwinan, pengurusan stres, kesihatan mental, masalah depresi, kemurungan, penderaan silam, trauma, pembangunan insan, analisis personaliti & kerjaya serta transformasi diri.
Tidak dinafikan bahawa sosial media mempunyai peranan yang besar dalam kehidupan masyarakat hari ini. Dari semasa ke semasa sosial media menjadi platform yang cukup berpengaruh baik dari sudut positif mahupun negatif. Ada yang sanggup berkongsi apa sahaja kisah peribadinya di laman sosial media tetapi ada juga sebaliknya.
Pertama sekali apabila kita hendak melakukan sesuatu perlu tahu peraturan dan batasnya. Kedua, perlu ada peranan. Saya sendiri melihat sosial media sebagai platform tanpa sempadan untuk kita mencari ilmu termasuk merentasi benua. Bagi wanita-wanita yang tidak berpeluang untuk ke depan bolehlah menjadikan sosial media sebagai ruang untuk mentransformasikan dirinya ke arah yang lebih baik.
Justeru, tanya diri sendiri untuk apa kita melakukan sesuatu. Contoh, untuk mencari rezeki buat keluarga dan dalam masa yang sama menjaga batas-batasnya. Saya percaya kalau niat kita baik dan pandai menjaga diri, Allah SWT akan menjaga kita. Pohonlah pertolongan Allah SWT agar Dia menjaga kita daripada perkara-perkara negatif, dilindungi daripada individu-individu yang tidak jelas tujuannya berada di sosial media.
Baik wanita mahupun lelaki perlu sama-sama menjaga batas hubungan biarpun di alam maya. Ini kerana Islam menuntut setiap umatnya agar menjaga adab pergaulan. Pastikan setiap perkara yang dilakukan di sosial media berlandaskan syariat Islam. Jika ada sebarang masalah contohnya dalam rumah tangga, jangan pergi kepada individu yang berlainan jantina. Sebaiknya dapatkanlah bantuan daripada mereka yang profesional.
Itu lebih baik kerana kadang-kadang seseorang itu akan mudah terjebak dengan isu-isu serius seperti perceraian. Kadangkala ada juga yang cuba menafikan atau lari daripada masalah. Akibatnya hilanglah kebahagiaan dan seseorang itu mungkin akan mencari kebahagiaan di luar. Jangan mudah terperangkap kerana ia mungkin bakal memburukkan lagi keadaan.
Tidak kisahlah kita hendak meneroka ilmu mana sekali pun. Kalau yang buruk kita jadikannya sempadan supaya tidak mudah terperangkap dan menyesal di kemudian hari. Maka, perlunya panduan hidup kita sebagai seorang Muslimah. Al-Quran, sunnah serta segala yang ada dalam syariat digunakan untuk mengembalikan batas itu. Saya sendiri memanfaatkan sosial media sebagai platform untuk saya memberikan bantuan kaunseling buat mereka yang memerlukan.
Berhati-hatilah dalam apa jua yang dikongsi di sosial media. Sebaiknya berkongsilah dengan individu yang selamat untuk kita bercerita. Mungkin kadang-kadang perkongsian itu melibatkan aib perkahwinan, aurat keluarga dan sebagainya. Tidak semua orang kita boleh berkongsi hal peribadi kerana di sosial media netizen terdiri daripada berbagai-bagai latar belakang yang mungkin boleh memburukkan lagi keadaan.
Kesimpulannya, kita sendiri yang memilihnya sama ada mahu menjadikan sosial media sebagai satu platform yang positif mahupun sebaliknya. Kembali kepada peranan dan matlamat kita. Untuk apa kita kongsi dan sebagainya. Setelah kita sedar ‘kenapa’ baru kita faham dunia ini hanya sementara. Apabila kita faham konteks perjalanan hidup menuju akhirat maka kita tidak akan mensia-siakan platform itu untuk berbuat kebaikan.
Apabila kita sendiri ‘membuka jalan’ untuk masyarakat mengecam kita perlu adanya sempadan supaya kebahagiaan dan ketenangan kita tidak mudah diceroboh. Apa yang berlaku sekarang ini kebanyakannya diri sendiri yang memulakan seolah-olah sengaja mengundang masyarakat untuk mengecam. Jadi, jangan sengaja cipta masalah kerana anda yang akan menanggung akibatnya.
Sebagai seorang Muslim semestinya kita mengharapkan untuk ke syurga Allah SWT. Sentiasalah mengingatkan diri sendiri bahawa apa yang dilakukan itu dapat membantu dunia dan akhirat. Kalau kita rasakan ianya membantu untuk menjadikan diri kita lebih baik, mendekatkan kita dengan syurga Allah SWT serta bukan sekadar untuk diri kita maka teruskanlah.
Mungkin perkongsian tentang pengalaman atau cabaran yang kita lalui menjadi satu inspirasi dan kekuatan buat mereka yang mengikuti kita di sosial media. Sekurang-kurangnya dapatlah mereka mempelajari sesuatu daripada perkongsian kita itu. Secara tidak langsung juga platform sosial media boleh menjadi ruang pahala buat kita semua.
This website uses cookies.