“Usah MEMBUKA JALAN Untuk Dikecam, Jadikan Sosial Media Sebagai Ladang Pahala” ANIZ HAJI ANWAR

Tak dinafikan sosial media kini berperanan besar dan berpengaruh dalam kehidupan masyarakat hari ini baik dari sudut positif mahupun negatif. Ada yang sanggup berkongsi apa sahaja kisah peribadinya di laman sosial namun ada juga sebaliknya.

Berikut nasihat terbaik daripada Pakar Kaunseling dan Motivasi, Hajah Noraniza Anwar atau terkenal dengan panggilan Aniz Haji Anwar.

“Pertama sekali apabila kita hendak buat sesuatu perlulah tahu adab dan batasnya. Kedua, peranan. Saya sendiri melihat sosial media sebagai platform untuk kita mencari ilmu. Bagi wanita yang tak berpeluang untuk ke depan, bolehlah menjadikan laman sosial sebagai ruang mentransformasikan diri ke arah yang lebih baik.

Contoh, mencari rezeki melalui bisnes online namun pada masa yang sama perlu menjaga batas-batas. Kalau niat kita baik dan pandai menjaga diri Allah SWT akan menjaga kita.

Pohonlah pertolongan Allah SWT agar Dia menjaga kita daripada hal-hal negatif, dilindungi daripada individu-individu yang tak jelas tujuannya berada di sosial media. Ikhtilat (menjaga batas pergaulan) itu perlu sentiasa dijaga. Baik wanita mahupun lelaki perlu sama-sama menjaga batas hubungan biarpun di alam maya.

Kalau ada masalah rumahtangga, jangan pergi kepada individu yang berlainan jantina untuk meluahkan atau berkongsi masalah. Sebaiknya, dapatkan bantuan daripada mereka yang pakar. Itu lebih baik kerana kadang-kadang seseorang itu akan mudah terjebak dengan isu-isu serius seperti perceraian.

Ada juga yang cuba lari daripada masalah. Akibatnya seseorang itu mungkin akan mencari kebahagiaan di luar. Usah mudah terperangkap kerana ia mungkin bakal memburukkan lagi keadaan.

Berhati-hatilah dalam apa jua yang dikongsi di sosial media. Sebaiknya berkongsilah dengan individu yang selamat untuk kita bercerita. Mungkin kadang-kadang perkongsian itu melibatkan aib perkahwinan dan aurat keluarga.

Apabila kita faham konteks perjalanan hidup menuju akhirat maka kita tak akan mensia-siakan platform itu untuk berbuat kebaikan. Usah membuka jalan untuk netizen mengecam kita.

Apa yang berlaku sekarang ini kebanyakannya diri sendiri yang memulakan seolah-olah sengaja mengundang kecaman netizen. Jadi, jangan sengaja cipta masalah kerana anda yang akan menanggung akibatnya.

Mungkin perkongsian atau cabaran hidup yang kita lalui menjadi inspirasi serta kekuatan buat netizen. Mereka dapat belajar sesuatu daripada perkongsian itu. Secara tak langsung sosial media menjadi ladang pahala buat kita.”

Share
Published by
Amy Mohd