Usah Terlalu Teruja, Kawal Nafsu Makan Sepanjang RAMADAN. Ini Cadangan Menu Sihat Untuk Berbuka & Sahur

Salam Ramadan buat semua yang beragama Islam. Sedia maklum, tahun ini kita sekali lagi menjalani ibadah puasa dalam norma baharu. Walau ada bazar Ramadan secara fizikal dan dapat bersolat tarawih berjemaah di masjid namun kita perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan

Sebut tentang bazar Ramadan, selalunya ia umpama ‘pesta’ menjual makanan. Begitu meriah dengan pelbagai jenis kuih-muih, lauk-pauk dan minuman manis. Apa pun bijaklah berbelanja, jangan lupa matlamat utama kita untuk beribadah. Kekalkan amalan pemakanan sihat sepanjang berpuasa.

Kenapa perlu makan secara sihat sepanjang bulan Ramadan? Ini adalah penting untuk mengelakkan beberapa masalah kesihatan seperti sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut, kandungan gula rendah dalam darah dan sebagainya. Jika masalah ini berlaku boleh mengganggu tumpuan kita yang sedang berpuasa.

MAKAN SECARA SIHAT

Makan pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang walaupun di bulan puasa. Semua kumpulan makanan perlu diambil mengikut Piramid Makanan Malaysia iaitu nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran, ikan, ayam, daging dan kekacang, susu dan produk tenusu serta sedikit minyak, lemak, gula dan garam. Selain itu, ambil air secukupnya sama ada dalam bentuk minuman atau sup.

HIDANGAN SIHAT BERBUKA PUASA

Rata-rata gemar berbuka puasa dengan minuman dan kuih-muih manis. Bagi mengelakkan makan secara berlebihan, ambil makanan ringkas terlebih dulu ketika berbuka puasa. Ini juga mengelakkan ketidakselesaan sistem penghadaman. Mengikut sunnah, lebih afdal mengambil kurma sebagai makanan pertama ketika berbuka. Kurma kaya dengan tenaga dan serat.

Pengambilan makanan pedas dan berempah juga tidak digalakkan ketika berbuka puasa. Ini dikhuatiri menimbulkan ketidakselesaan perut di siang hari. Berikut contoh cadangan menu yang bagus diambil sepanjang Ramadan:

BERBUKA 3 biji kurma, ½ cawan jus buah-buahan, 1 cawan sup sayur atau ½ cawan bubur lambuk dan 1 keping kuih.
MAKAN MALAM 1½ cawan nasi, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur dan 1 biji buah.
MAKAN LEWAT MALAM (MOREH) Snek ringkas seperti roti, biskut, sandwich, kuih-muih, kacang atau buah-buahan.

SAHUR

Amalan bersahur penting semasa berpuasa bagi membekalkan tenaga sepanjang waktu berpuasa di siang hari. Sebaik-baiknya, waktu bersahur setengah jam sebelum waktu imsak. Bersahur awal atau sahur sebelum tidur tidak digalakkan.

Semasa bersahur digalakkan mengambil makanan berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat. Pengambilan makanan tinggi serat seperti roti tinggi serat atau roti mil penuh serta oat pula dapat mengurangkan rasa lapar. Jangan lupa mengambil buah-buahan dan air yang mencukupi ketika bersahur.

Pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi tidak digalakkan kerana boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan. Contoh makanan untuk sahur yang boleh diambil seperti berikut:

SAHUR 1½ cawan nasi, 1 ekor ikan goreng, ½ cawan sup sayur campur dan tauhu, 1 biji pisang atau 3 biji kurma, 1 gelas air kosong dan 1 gelas susu rendah lemak Atau 1 cawan bijirin sarapan dengan ½ gelas susu rendah lemak dan kismis/hirisan pisang, 2 keping roti mil penuh dengan sedikit jem, 1 gelas jus oren dan 1 gelas air kosong

 

Sumber: MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia

Share
Published by
Amy Mohd