Usaha Elak Jangkitan Covid-19, BELLA DALLY & Suami Buat Khidmat Sanitasi Percuma!

Alhamdulillah, seorang lagi selebriti tanah air tampil menghulurkan bantuan kepada masyarakat saat negara dilanda wabak Covid-19 ketika ini. Selepas Dato’ Sri Eizlan Yusof
dan isteri, Datin Seri Natasha Boudville memerah keringat menyumbangkan makanan kepada frontliners, pelawak terkenal Harith Iskander dan isteri, Dr Jezamine Lim memasak lebih 1,000 pek makanan kepada golongan terjejas serta para pereka fesyen tanah air menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas kesihatan… kali ini pelakon cantik, Bella Dally dan suami pula tampil meringankan kegusaran orang awam terhadap jangkitan virus Covid-19 dengan menawarkan khidmat sanitasi secara percuma!

Nona percaya selain nama-nama selebriti yang dinyatakan di atas, pasti ada ramai lagi penggiat seni tanah air yang turut tidak ketinggalan memberikan bantuan kepada individu terjejas mengikut kemampuan masing-masing. Terbaru, niat murni Bella Dally dan suaminya telah menarik perhatian masyarakat.

Berkongsi usaha tersebut di laman Instagram miliknya, isteri kepada Arif Izuddin ini menjelaskan khidmat pembersihan awam ini adalah satu bentuk tanggungjawab sosial mereka kepada pihak memerlukan terutamanya di kawasan masjid dan surau. “My husband and I have decided to do CSR (public sanitisation) for mosques/surau in KL & Selangor areas for free. Kalau korang tahu any AJK masjid/surau please share this message with them and ask them to DM (direct message) me their telephone number, my husband will contact them personally.

Kami akan tanggung semua cost termasuk chemical dan peralatan. Sesiapa yang nak jadi sukarelawan pun dialu-alukan. Just DM me with your contact details. Thank you,” pesan Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally.

Difahamkan idea tersebut timbul dua hari lalu selepas suaminya dan beberapa kakitangan terlibat melakukan operasi pembersihan awam di sebuah pangsapuri di Rawang, Selangor. “My husband’s team did public sanitisation today! They started at a flat in Rawang. It’s not an easy task for sure! Doing sanitisation in their PPE suits in this kind of weather, carrying the machine, going up and coming back down without lifts to refill the chemical. May Allah protect them all.”

Murninya hati pasangan suami isteri ini kerana sanggup mengeluarkan belanja sendiri demi memastikan orang ramai terhindar daripada virus Covid-19. Satu inisiatif yang patut dipuji dan menjadi contoh kepada lebih ramai public figure dan ahli korporat untuk tampil menghulurkan bantuan. Inilah masanya rakyat Malaysia bersatu-padu meringankan beban yang dihadapi kerajaan ketika ini dan dalam masa sama dapat membela nasib golongan terjejas tidak kira dari segi wang ringgit, tenaga, kelengkapan perubatan, mahupun makanan.

Mengimbas kembali perkahwinan Bella dan Arif, kedua-duanya dilaporkan baru menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama pada 31 Mac lepas. Pastinya sambutan ulang tahun perkahwinan ini memberi memori unik buat Bella dan suami kerana kesudian mereka berkongsi ‘rezeki’ dengan orang ramai semata-mata demi memastikan khalayak terhindar daripada jangkitan Covid-19.

Bella dan Arif selamat bergelar suami isteri pada tanggal 31 Mac 2019 dalam resepi gilang-gemilang di Putrajaya selepas kedua-duanya mengikat tali pertunangan pada Januari tahun lalu. Hanya mengenali hati budi masing-masing selama enam bulan, Duta Ariani yang juga aktres berasal dari Sabah ini terbuka pintu hati untuk menerima Arif sebagai suami selepas melihat kesungguhan jejaka tersebut untuk memperisterikan dirinya.

Moga bantuan Bella Dally dan suami memberi suntikan semangat dan inspirasi kepada orang ramai untuk turut sama membuat kebajikan serta dikurniakan rezeki melimpah ruah selepas ini.

 

 

Kredit foto: Instagram Bella Dally

Share
Published by
Suzi