Usahawan Cili Buat ‘Comeback’, Ramai Terpukau Aura AYU DAMIT!

Kemunculan penuh bertenaga Ayu Damit dalam program hiburan popular, Gegar Vaganza semalam berjaya menarik tumpuan umum. Vokal mantap dan persembahan bersahaja yang ditonjolkan Ayu nyata membuktikan kredibilitinya sebagai penyanyi yang sudah 12 tahun bertapak dalam industri. Meskipun populariti Ayu tidak begitu bersinar namun ‘comeback’ yang selebriti ini malam tadi meraih sejumlah besar peminat seni tanah air. Tahniah!

Tidak sekadar bergantung harap dengan kerjaya seni, dalam diam Ayu juga sebenarnya usahawan tani berjaya. Selain sibuk menjalani rutin harian sebagai isteri, ibu tiga anak dan penyanyi, Juara One In A Million ini turut menguruskan perusahaan pertanian di samping suami tercinta. Bermula dengan tanaman secara kecil-kecilan, kini Ayu dan suami mampu meluaskan tanaman di ladang seluas 4 ekar!

Terbuka berkongsi perniagaan pertanian ini bersama Nona tidak lama dulu, Ayu dalam nada merendah diri mengharapkan kisah kejayaan dia dan suami dijadikan pembakar semangat buat kaum wanita yang berhasrat mendalami bidang ini kelak.

“Alhamdulillah, Ayu dan suami mengusahakan cili padi sistem fetigrasi selama tiga tahun. Tapi sebenarnya, kami sudah terlibat dalam bidang pertanian hampir enam tahun. Pada mulanya, kami mengusahakan penanaman kelapa mataq dan nanas.

Pun begitu, buat masa sekarang kami lebih fokus kepada penanaman cili padi. Tanaman kelapa masih ada cuma nanas je dah tak ada. Sebab utama pilih cili padi adalah kerana pasaran yang agak tinggi selain Malaysia kekurangan pengeluar cili dan kebanyakan pembekal cili berasal dari negara lain. Sebenarnya suami yang menggalakkan Ayu ceburi bidang ini sebab dia sangat berminat dengan pertanian. Memang dia di kampung pun dia suka bercucuk tanam.”

Terang isteri Syed Fauzi Syed Baharuddin ini lagi, “Setakat ini kami menyewa tanah Orang Asli yang terletak di Pangsoon, Hulu Langat seluas 4 ekar dan di ladang tersebutlah kami usahakan tiga jenis tanaman iaitu cili padi, timun dan terung. Namun sekarang alhamdulillah kami dapat menambah satu lagi tanaman iaitu kacang panjang. Selain tanaman sayur-sayuran berkenaan, Ayu turut mengeluarkan produk keluarannya sendiri seperti cili padi jeruk, cookies

dan satay.

Soal pengurusan tanaman dan bisnes pertanian ini dikendalikan sepenuhnya oleh suami. Tugas Ayu lebih kepada membantu dari segi promosi dan penjualan saja. InshaAllah, dalam masa lima tahun akan datang Ayu ingin meluaskan ladang yang ada sekarang ini untuk dieksport ke luar negara. Selain masih aktif bernyanyi, Ayu dan suami juga buat consultant untuk petani-petani baru.”

Pada 12 Julai lalu yang juga hari ulang tahun kelahiran Ayu, wanita berjiwa besar ini turut berjaya membuka satu lagi perniagaan baru iaitu Restoran Ayu Damit X Tok Mak Citarasa Antarabangsa yang terletak di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Sebagai ibu bekerjaya, bukan mudah bagi Ayu untuk membahagikan masa di antara keluarga, perniagaan dan karier seni. Pun begitu, baik Ayu mahupun suami kedua-duanya memilih untuk tidak lagi menggunakan khidmat pembantu rumah selepas berdepan dengan pelbagai dugaan.

“Dulu Ayu memang menggunakan khidmat pembantu rumah tapi banyak kali lalui macam-macam ragam pembantu ni. Jadi, buat masa sekarang Ayu dan suami yang menjaga anak-anak. Kalau Ayu ada kerja, suami yang akan jaga dan begitu juga sebaliknya.”

11 tahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Syed Nasrul Haikal (10 tahun), Sharifah Alya Adriana (8 tahun) dan Syed Aqif Najmi yang kini berumur 4 tahun.

 

Kredit: Instagram Ayu Damit

Share
Published by
Suzi